UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Perancangan Ke Arah Mengharamkan PAS?

Bagi UMNO, kekuatan Pas adalah kerana pegangan Pas yang kuat terhadap Islam dan prinsip-prinsipnya. Pas dan Islam seolah-olah satu nama yang sudah sinonim bagi rakyat Malaysia. Strategi utama UMNO yang sedang dijalankan kini adalah untuk mengikis tanggapan umum terhadap Islam yang diperjuangkan oleh Pas.

Telah sekian lama UMNO cuba memburukkan imej para pemimpin Pas yang dianggap tok guru atau ulamak oleh kawan dan lawan. Mereka sanggup melakukan apa sahaja fitnah dan keburukan asalkan rakyat menolak imej Islam yang dibawa oleh Pas. Apa sahaja ucapan yang keluar dari pimpinan utama Pas akan diputar-belitkan bagi menunjukkan kononnya mereka sebenarnya tidak layak bercakap tentang Islam, mereka tidak layak menjadi pemimpin sebuah parti Islam dan seumpamanya.

Walau apa taktik kotor yang dimainkan oleh mereka, masih tidak mampu mengikis sokongan dan simpati rakyat terhadap perjuangan Pas. Malahan sokongan terhadap Pas semakin meningkat dari hari ke hari. Golongan terpelajar dan golongan atasan telah mula menunjukkan kecenderungan terhadap perjuangan Pas. Ini menimbulkan kebimbangan bagi pihak pemerintah.

Apa yang lebih membimbangkan , kaum Cina dan India juga telah menunjukkan minat terhadap Pas dan Barisan Alternatif. Sekaligus menolak kepimpinan UMNO dan BN. Menanti kedatangan Pilihanraya Umum kali ke-11 amat meresahkan. Kerusi yang diduduki terasa panas dan tidak selesa. Sebenarnya bukan mereka bimbangkan kepimpinan negara bertukar kepada BA. Apa yang membimbangkan adalah segala penyelewangan, rasuah dan segala taktik kotor dan jahat mereka selama ini terbongkar dan diketahui rakyat.

Ceramah-ceramah umum diharamkan. Alasan mereka adalah untuk mengawal supaya tidak berlaku huru-hara dan kekacauan. Di dalam lipatan sejarah ceramah pihak pembangkang belum pernah berlaku huru-hara, biar seramai mana rakyat yang hadir. Kekacauan dan huru-hara berlaku apabila campur-tangan dari pihak polis. Yang melakukan provokasi, mengganggu dan mengancam para hadirin. Pihak pemerintah mengatakan bahawa mereka tidak menyekat kebebasan bersuara, tetapi jika hendak berhimpun perlulah memohon permit. Sedangkan permit untuk berhimpun telah pun dibekukan. Kalau diminta sudah tentu tidak diluluskan.

Sebenarnya larangan berceramah adalah helah politik UMNO dan BN yang bimbang jika ceramah terus diadakan, maka kudis, kurap dan nanah mereka akan diketahui oleh rakyat jelata. Kebimbangan UMNO dan BN terhadap Pas telah sampai ke peringkat yang paling kronik. Pihak polis seumpama boneka, yang tidak mampu melaksanakan tugas dengan adil. Hanya menjadi badut kepada pihak pemerintah. UMNO dan BN bebas berkempen dan bertemu rakyat di mana sahaja yang mereka suka tanpa sekatan atau halangan. Di manakah demokrasi yang dilaungkan?

Isu dosa dan pahala, syurga dan neraka tidak terlepas dijadikan modal untuk menghentam Pas. Bagi Pas, soal dosa dan pahala adalah isu utama yang perlu difikirkan sebelum melakukan sesuatu perkara , tidak seperti parti sekular UMNO. Tujuan utama mengapa ahli Pas menyertai Pas antara lain adalah untuk memastikan Hukum Allah dapat dilaksanakan. Allah sendiri menjamin di dalam Al-Quran dan sepertimana yang diajar oleh Rasulullah bahawa sesiapa yang melakukan kebaikan akan dianugerahkan pahala. Bukankah hasrat supaya hukum Allah dilaksanakan adalah satu usaha kebaikan? Dan bukankah sesiapa yang menentang Hukum Allah dari dilaksanakan akan dilaknat oleh Allah dan disabitkan dosa? Sebagai parti sekular, UMNO tidak pernah memikirkan soal dosa dan pahala seperti itu. Membujur lalu melintang patah.

Sebenarnya UMNO dan BN sudah tidak ada modal untuk memburukkan Pas dan kepimpinannya. Kepimpinan Pas semuanya bebas dari rasuah, penyelewangan, kaki betina, kaki judi, kaki arak dan sebagainya tidak seperti kepimpinan UMNO dan BN. Rakyat melihat keburukan kepimpinan UMNO seumpama seekor lalat yang hinggap di hidung sedangkan keburukan pimpinan Pas jika ada akan dilihat seumpama sebuah gunung yang akan menghempap kepala. Sikap buruk kepimpinan UMNO telah menjadi seperti darah daging atau kebiasaan harian sahaja dan rakyat tidak terkejut jika diberitakan mana-mana pemimpin UMNO melakukan satu-satu kesalahan yang besar. Semuanya biasa sahaja.

Taktik paling kotor UMNO adalah cuba mengaitkan Pas dan keganasan atau militan. Dengan cara ini dirasakan akan meningkat kebencian rakyat terutamanya kaum Cina dan India terhadap Pas. Peristiwa Sauk terus sahaja dikatakan angkara pengikut Pas yang bertindak ganas dan cuba menggulingkan kerajaan dan seterusnya untuk menubuhkan Negara Islam. Berbagai cara cuba ditimbulkan untuk mengaitkan Pas dan keganasan. Hinggakan ada pemimpin dan peyokong UMNO yang jahil agama cuba menggambarkan bahawa jika negara dipimpin secara Islam, maka akan timbul huru-hara dan orang bukan Islam akan ditindas dan dipaksa memeluk Islam atau akan dihukum potong tangan. Sehinggakan kadang-kala dirasakan bahawa bukan Pas itu yang dimusuhi tetapi Islam sendiri yang ditentang oleh mereka.

Isu Negara Islam mula dimainkan bagi menakut-nakutkan orang bukan Islam. Mereka berjaya menakutkan DAP tentang Negara Islam yang akhirnya DAP berpecah dari Barisan Alternatif. Dalam masa yang sama mereka mendakwa bahawa Malaysia hari ini adalah sebuah Negara Islam walaupun tidak melaksanakan pemerintahan mengikut Al-Quran dan Sunnah. DAP dan orang bukan Islam lebih memahami yang mana Negara Islam yang sebenar yang ingin diperjuangkan oleh Pas dan yang mana Negara Islam palsu yang didakwa oleh UMNO.

Bagi menambahkan lagi ketakutan rakyat dan golongan bukan Islam terhadap Pas dan Islam, maka mereka mula menangkap penyokong-penyokong Pas di bawah ISA, termasuk Nik Adli anak MB Kelantan dan disabitkan dengan KMM - Kumpulan Mujahidin Malaysia (kemudian ditukar kepada Kumpulan Militan Malaysia) yang kononnya bertujuan untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan dan menubuhkan Negara Islam. Hingga kini tidak seorang pun yang dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan secara adil. KMM juga dikaitkan dengan rancangan untuk menubuhkan Negara Islam Nusantara iaitu yang melibatkan Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Peristiwa 11 September merupakan sebagai durian runtuh kepada pihak pemerintah. Tohmahan untuk mengaitkan Islam dan keganasan semakin dimainkan. Mereka cuba khabarkan kepada dunia bahawa tindakan pemerintah menangkap mereka yang disyaki sebagai pengganas adalah satu tindakan yang tepat. Dr. Mahathir telah cuba mengembalikan nama baiknya yang telah tercemar setelah peristiwa pemecatan DSAI dengan mengutuk keganasan dan menyokong tindakan US memerangi keganasan.

Bagi Amerika, peristiwa 11 September adalah angkara ekstremis Islam. Osama Bin Laden dan Al-Qaeda adalah sasaran utamanya walau hingga kini tiada bukti yang dapat ditunjukkan. Serangan tentera US dan sekutunya terhadap penduduk Afghanistan tidak ada siapa yang dapat menghalang kerana mereka berkuasa dan sebagai polis dunia. Yang menjadi mangsa adalah penduduk yang tidak berdosa.

Samada sedar atau tidak sebagaimana tindakan US menindas penduduk Islam Afghanistan sebigitulah jika hendak diumpamakan tindakan pemerintah Malaysia menindas dan menginiaya pejuang Islam dan penyokong PAS di Malaysia. Mereka berkuasa dan bebas melakukan segala macam bentuk kezaliman tanpa dapat dibantah oleh mana-mana pihak. Polis dan Badan Kehakiman seolah-olah melaksanakan tugas di bawah telunjuk pihak pemerintah.

Sebagaimana bencinya US terhadap Al-Qaeda dan perjuangan Islam begitulah juga jika untuk diumpamakan bencinya UMNO terhadap Pas dan perjuangannya. Meraka bukan sahaja berusaha untuk mengharamkan penggunaan Islam pada Pas, tetapi lebih dari itu iaitu untuk mengharamkan Pas itu sendiri.

Mereka cuba gambarkan Pas sebagai Taliban. Kununnya Taliban adalah golongan pelampau agama, ingin melaksanakan Islam secara kekerasan, melarang wanita bekerja, menindas wanita dan sebagainya. Sedangkan apa yang digambarkan mereka tentang Taliban adalah sebagaimana fitnah yang dilemparkan oleh Barat. Suara mereka dan suara Barat seolah-olah senada.

Taktik terkini yang cuba dimainkan oleh UMNO dan BN ialah mengembalikan ingatan rakyat terhadap peristiwa Memali yang setiap hari ditayang di TV seolah-olah Pas adalah parti yang ganas dan liar. Tidak cukup dengan itu, peristiwa 10 Feb lalu di Kuala Ketil sebenarnya cuba dijadikan Peristiwa Memali Ke-2. Ceramah oleh TG Nik Aziz di dalam hutan getah di Kuala Ketil dirasakan cukup sesuai untuk membuktikan kepada rakyat bahawa Pas adalah parti pengganas.

Peristiwa membakar trak Polis cuba dikaitkan dengan perbuatan penyokong Pas walaupun sebenarnya tiada bukti yang dapat ditunjukkan. Tidak mustahil trak tersebut dibakar sendiri oleh pihak polis kerana mana mungkin penyokong Pas dapat menghampiri trak tersebut yang dikawal oleh sebegitu ramai anggota polis yang bertugas. Sepatutnya tindakan tegas perlu diambil terhadap pemandu trak dan polis yang bertugas mengawasi trak tersebut kerana gagal mengawalnya sehingga trak dapat dibakar.

Apa yang mereka mahukan supaya terjadi di Kuala Ketil itu adalah penyokong Pas bertindak agresif melawan pihak polis seterusnya berlaku sepertimana peristiwa hitam di Memali. Dengan itu sekali lagi Pas dapat dikaitkan dengan keganasan. Mereka mahu supaya rakyat terus ditanam dengan anggapan bahawa Pas adalah pengganas dan pengganas adalah Pas. Mereka merancang dan Allah juga merancang. Apa yang mereka rancangkan mengalami kegagalan kerana sememangnya penyokong Pas tidak akan bertindak ganas. Penyokong Pas sedar bahawa menentang keganasan dengan keganasan akan mendatangkan kemudaratan yang lebih besar kepada Pas.

Dasar Pas adalah untuk mendirikan sebuah negara Malaysia yang merdeka yang terlaksa di dalamnya hukum yang mendapat keredhaan dari Allah iaitu hukum yang berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Jalan yang ada ke arah tersebut hari ini hanyalah melalui pilihanraya. Dan Pas memilih jalan tersebut walau telah sepuluh kali tewas di dalam pilihanraya.

Saban hari media dalam negara dan luar negara seolah-olah sekata di dalam menghentam perjuangan Islam. Rangkaian TV dan akhbar Malaysia terus menerus memburukkan perjuangan Islam Pas manakala media asing terus menerus memburukkan perjuangan Islam di Afghanistan, Palestine, Filipina, Pakistan dan di mana-mana sahaja.

Kempen menentang keganasan terus dicanang oleh Amerika dan sekutu. Lebih 600 tentera US telah berada di Filipina bagi menentang pejuang Islam Abu Sayaf dll. Keluaran terbaru majalah Time juga seolah-olah cuba mengaitkan Malaysia dan Al-Qaeda atau keganasan. Dunia mula membicarakan Malaysia dan keganasan.

Semua ini adalah angkara pihak pemerintah sendiri yang menghebahkan bahawa di Malaysia terdapat pengganas atau pelampau agama seperti Al-Maunah dan KMM. Kerajaan Malaysia patut disalahkan. Tetapi yang melucukan adalah apabila ura-ura untuk meng ektradisi Yazid Sufaat yang kononnya terlibat dengan Peristiwa 11 Sept. Menteri Dalam Negeri mengatakan US mesti kemukakan bukti. Tetapi dalam masa yang sama saudara Yazid merengkok di dalam penjara Malaysia juga tanpa bukti. Bermakna beliau ditahan tanpa bukti.

Penyokong Pas dan pejuang Islam harus sentiasa beringat dan bersedia. Pihak pemerintah Kuwait pernah memohon bantuan tentera US bagi melindunginya dari keganasan Iraq kununnya. Dan yang terdekat ialah pihak pemerintah Filipina telah meminta bantuan tentera US bagi menentang pejuang Islam di Mindanao yang kununnya pengganas. Apakah mustahil selepas ini pihak pemerintah Malaysia memohon batuan tentera US untuk menentang Pas yang selama ini telah dicop sebagai pengganas? Yang cuba disamakan dengan Taliban yang menjadi musuh dan kebencian utama US. Atau sekurang-kurangya meminta tekanan dari US supaya Pas diharamkan kerana menyokong keganasan?

Jadi fikirlah jika tidak diada-ada masakan tempua bersarang rendah. Jika tidak diada-ada masakan Al-Maunah nak dikaitkan dengan Pas? Begitu juga dengan KMM, Memali dan peristiwa membakar trak polis di Kuala Ketil. Seandainya tentera US memasuki Malaysia bukan sekadar Pas yang akan diperanginya tetapi pemerintahan Malaysia juga akan dijatuhkan kerana bukankah Malaysia adalah sebuah Negara Islam?

Fikirlah wahai bangsaku. Jangan sampai kita dijajah semula. Sematkan di dalam hati, walau apa yang terjadi, Islam tetap matlamat perjuangan kita, walau terpaksa dibayar dengan darah dan nyawa. Bersamalah mempertahankan maruah agama dan negara.

Maksud firman Allah: "Hai nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka ialah Neraka Jahannam. Dan itulah tempat kembali yang seburuk-buruknya" (At Taubah:73)

* Allah matlamat kami, Rasul pimpinan kami, Al-Quran perundangan kami, Jihad jalan kami, Syahid cita-cita kami!

,b> Hamzalah
Pejuang Kebangkitan Islam






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com