UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Isu penulis hina Islam akan ke parlimen

Oleh Nur Abd Rahman

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Hrkh) - Ketua Pembangkang di Parlimen, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor, akan membawa isu tulisan menghina Islam oleh beberapa penulis di akhbar tempatan ke persidangan parlimen pada Mac akan datang.

Fadzil, yang ditemui semalam berkata, beliau terpaksa menyuarakan perkara berkenaan memandangkan serangan terhadap Islam itu 'sangat serius.' Beliau seterusnya berkata, PAS menyokong memorandum yang dihantar oleh pelbagai pertubuhan Islam kepada Majlis Raja-raja Melayu baru-baru ini yang meminta Raja-raja mengambil tindakan ke atas pihak-pihak terbabit sesuai dengan kedudukan mereka sebagai Ketua agama di negara ini.

Beliau seterusnya berharap Raja-raja Melayu memberi perhatian yang berat terhadap perkara tersebut.

Sementara itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan menggesa Majlis Raja-raja, dalam kedudukan mereka sebagai Ketua agama mengambil tindakan terhadap tulisan beberapa penulis di akhbar tempatan yang mengandungi unsur-unsur menghina Islam.

Gesaan itu dibuat dalam sebuah memorandum yang diserahkani oleh tujuh pertubuhan kepada Pengerusi Majlis Raja-raja di pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu di sini, Isnin lepas. Memorandum berkenaan telah diterima oleh wakil Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu, Sabtu Awab.

Tujuh pertubuhan itu adalah Persatuan Ulama' Malaysia (PUM), Persatuan Ulama' Kedah (PUK), Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Iman International (Iman), Majlis Persidangan Mahasiswa Islam (MPMI), Persatuan Graduan Syariah Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Dalam kenyataan bersama ketika menyerahkan memorandum tersebut, mereka berkata bahawa memorandum itu mengandungi maklumat terperinci mengenai tulisan yang dianggap menghina Islam itu dan juga tuntutan supaya Majlis Raja-raja mengambil tindakan sewajarnya terhadap penulis terbabit.

Penulis yang dinamakan dalam meorandum itu termasuklah, Pengarah Eksekutif Sisters In Islam, Zainah Anwar dan tiga kolumnis akhbar tempatan, Dr Kassim Ahmad, Dr Farish Noor, Akbar Ali serta pensyarah Universiti Malaya, Dr Patricia Martinez.

Yang Dipertua PUM, Abdul Ghani Shamsuddin, ketika sesi sidang media di pejabatnya berkata, pihaknya yakin penulis terbabit membuat kenyataan secara sedar, jelas dan berterusan dengan niat dan tindakan untuk menghina Islam.

"Mereka ini cuba memberi gambaran Islam yang salah dengan mengikut pandangan peribadi mereka semata-mata tanpa dirujuk kepada asas-asas kaedah dan displin ilmu pentafsiran Al-Quran dan Al-Hadith yang betul berdasarkan persepakatan ulama' yang muktabar (yang diterima pakai dan tidak dipertikai oleh seluruh ulama')," katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya membantah sebarang percubaan mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya menjadikan hukum Islam sebagai suatu perdebatan yang bebas mengikut sesuka hati.

"Berbuat demikian bukan sahaja merosakkan imej dan kesucian agama Islam, malah akan menimbulkan kekeliruan yang merbahaya di kalangan masyarakat awam, khususnya masyarakat Islam di negara ini," katanya lagi.

Beliau menambah, jika hukum Islam dibiarkan didebat secara bebas seperti yang ditulis oleh penulis terbabit tanpa mengikut disiplin ilmu-ilmu Islam yang betul, maka kewibawaan seluruh institusi-institusi Islam di negara ini akan terdedah kepada cercaan dan penghinaan.

"Kami mendapati kecenderungan pihak tertentu terus menyerang ulama' secara menghina dan biadap dalam tulisan mereka tidak dapat diterima dan kami membantah sekeras-kerasnya kecenderungan tersebut," katanya.

Beliau seterusnya mempersoalkan tindakan pihak terbabit menjadikan ulama' sebagai sasaran serangan secara berterusan sedangkan ulama' tidak pernah mendakwa diri mereka sebagai manusia sempurna.

Sementara itu, merujuk kepada beberapa kenyataan yang menghina Islam, Abdul Ghani seterusnya mengemukakan beberapa tulisan oleh Zainah Anwar yang mengetengahkan pendapat beliau (Zainah) bahawa Islam boleh ditafsir oleh sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakangnya dan juga pendapat beliau bahawa hukum syariat Islam boleh ditentukan oleh sesiapa sahaja.

Katanya, kedua-dua kenyataan itu boleh dilihat dalam Utusan Malaysia bertarikh 26 September 2000 dan New Strait Times, 11 Disember 2001.

Sementara itu, kolumnis, Dr Farish Noor, dalam beberapa tulisan yang disiarkan oleh akhbar NST dan majalah The Edge, turut mengandungi unsur-unsur menghina Rasulullah s.a.w, kata Abdul Ghani lagi.

Berhubung tulisan yang menghina Islam, Abdul Ghani memberitahu, tindakan boleh dikenakan mengikut Enakmen-Enakmen dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 7 dan 8 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Kuala Lumpur 1997 yang memperuntukkan bahawa sebarang penghinaan terhadap Islam atau mempersendakan ayat suci al-Quran dan Al-Hadith adalah satu kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda sehingga RM5,000 dan dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

Kandungan yang sama juga termaktub dalam Seksyen 7 dan 8 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996.

Sebelum ini, kata Abdul Ghani lagi, Persatuan Ulama' Kedah (PUK), pada 26 April 2001, pernah membuat satu laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor mengenai penghinaan terhadap Islam oleh seorang penulis bernama Akbar Ali dalam akhbar The Sun.

"Namun sehingga kini kami belum mendapat sebarang maklum balas mengenai tindakan yang telah diambil tentang laporan yang telah dibuat," kata beliau lagi.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 7 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com