UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Golongan Ketiga

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Ceramah telah dilarang keras oleh pemerintah sementara pembangkang pula berkeras untuk merempuhnya. Sampai bila rempuhan ini mampu dilakukan oleh pembangkang tiada siapa yang tahu. Pemerintah juga amat berhati-hati supaya larangan tersebut tidak terlalu ketat justeru bisa menghasilkan satu bentuk kebangkitan bersifat revolusionary yang tidak memihak mana-mana pihak - pemerintah atau pembangkang.

Masing-masing kini bermain tarik tali, sekejap tegang dan sekejap mengendur. Dalam permainan seperti ini, strategi yang diketahui ramai ialah satu pihak akan memberikan peluang kepada pihak lainnya untuk bernafas, supaya mereka dianggap sudah letih, dan secara tiba-tiba pihak yang memberikan ruang pernafasan itu akan merentap tali tersebut secara tiba-tiba, maka tungang-langganglah pihak yang sedang enak bernafas tadi.

Kewujudan parti politik pembangkang di negara-negara autoritarian bertujuan untuk menjadi semacam satu 'buffer' yang mampu melindungi pemerintah daripada sebarang kemungkinan yang bersifat revolusionary oleh golongan yang tidak menyertai secara aktif di dalam kedua-dua arus perdana tersebut. Buffer itu pula tidaklah boleh dibiarkan terlalu menebal sehingga boleh ditakrifkan sebagai sebuah negeri yang berasingan pula. Oleh itu ia haruslah dikawal supaya sentiasa berada pada paras yang berpatutan. Pengawalnya tentulah golongan yang memerintah kerana merekalah yang biasanya memiliki segala 'gadget' untuk memandu arah.

Pembangkang kini nampaknya sedang diasak sehingga tidak dapat bernafas kecuali dengan bantuan alat-alat pernafasan. Ini setelah mereka dibiarkan bermaharajalela di dalam negara selama dua dekad untuk mempromosikan satu budaya yang tidak dapat diserasikan dengan kehendak, atau lebih tepat lagi, nafsu, pemerintah. Budaya tersebut ialah pastinya, Islam. Islam ialah polong bagi nafsu rakus pemerintah.

Kini pemerintah nampaknya sudah agak terlewat untuk membendung polong tersebut daripada menjadi semakin besar dan kenyang. Ini kerana ia telah pun meresap ke segenap urat saraf sistem itu sendiri. Peralatan scanner mana pun jenisnya sudah tidak mampu lagi mengesan, apatah lagi menghancurkan virus yang semakin selesa berada pada tempatnya masing-masing khususnya di dalam saraf pemerintah itu sendiri.

Pendokong PAS khususnya yang kini dihadapkan dengan ujian larangan berceramah, penutupan Pasti dan sebagainya sudah semakin hilang sabar, walaupun pucuk pimpinan parti tidaklah semestinya demikian. Penganalisa (yang melihat dari pandangan helikopter) melihat 'gelagat' PAS dan komponen BA pada awal larangan berceramah dahulu dengan senyum sinis. Bagaimana tidak...Reaksi yang diberikan ketika itu hanya bersifat hangat taik ayam sahaja. Kini reaksi tersebut cuba diulang-tayang. Apakah ia juga akan dilihat sebagaimana awalnya dahulu masih menjadi tanda soal.

Sesetengah pihak beranggapan bahawa tindakan pembangkang memberikan beberapa reaksi pro-aktif terhadap larang berceramah itu kini hanyalah untuk mengambil hati elemen-elemen tertentu dalam dan luar parti yang agak bersifat panas dan mungkin meletup jikalau didiamkan. Reaksi 'terancang' sedemikian kemungkinan akan berterusan sehinggalah kepada hari pengundian umum setahun dua lagi.

Pemerintah juga tidaklah begitu gelojoh untuk terus mengharamkan PAS begitu sahaja sebagaimana andaian ramai sejak akhir-akhir ini. Tindakan gelojoh ini hanya akan melahirkan bibit-bibit radikalisme dan akhirnya militanisme ke dalam kehidupan rakyat negara ini yang aman damai. Walaupun kebangkitan trend jihadi ini pada awalnya tidak ketara tetapi tiada siapa yang dapat menjamin ianya akan terus begitu. Pemerintah tentunya tidak ingin berlakunya episod pasca-Anwar bahagian kedua yang bisa menghilangkan terus saki-baki pengaruh yang ada khususnya di kalangan orang Melayu.

Walaupun demikian, ura-ura bahawa pemerintah bercadang untuk melakukan sesuatu kejutan ketika ketidakwujudan Memanda Perdana Menteri semakin mencabar kerasionalan orang yang rasional. Di antaranya sibuk diperkatakan bahawa pemerintah ingin memperosokkan ramai pimpinan pembangkang ke dalam ISA. Ini mungkin lebih selamat bagi pemerintah daripada tindakan mengharamkan terus parti-parti pembangkang tertentu.

Penulis beranggapan bahawa jikalau ini berlaku, pembangkang akan bereaksi sebagaimana di atas juga. Ini diambil demi keberlangsungan mesej dan risalah parti iaitu Islam, secara khusus. Ramai yang akhirnya akan dapat disejukkan dalam suatu jangka waktu yang lebih panjang sedikit. Tetapi ramai tidak bermaksud semua, dan disinilah kemungkinan duduknya masalah jangka panjang bagi survival kedua-dua pihak.

Pemerintah harus menunjukkan, walaupun secara paling minimal, bahawa sistem demokrasi adalah jalan terbaik untuk semua pihak terlibat dalam pembuatan keputusan. Pembangkang pula, khususnya PAS, yang telah memutuskan, sekurang-sekurangnya sehingga kini, untuk menyertai rentak tersebut, juga harus membuktikan dengan sepenuh jiwa dan raga bahawa sekali masuk gelanggang harus bermain sehingga tamat permainan. Untuk berpaling ke belakang setelah bermain selama 50 tahun bukan satu keputusan yang bijak. Namun pembuat keputusan di pihak PAS kini sedang diperhatikan oleh semua pihak lebih daripada waktu-waktu sebelumnya. Ini kerana corak permainan yang sememangnya tidak seimbang sejak sekian lama sudah semakin hilang terus saki-baki keseimbangannya.

Keadaan ini akan memaksakan wujudnya satu kelompok di tengah masyarakat yang sudah hilang kepercayaan kepada sistem demokrasi yang cuba dipengaruhkan ke atas mereka. Inilah yang harus dibimbangi oleh kedua-dua pemerintah dan pembangkang. Kelompok ini sememangnya sudah wujud sejak dua dekad yang lalu dan semakin bermomentum sejak akhir-akhir ini. Ia boleh wujud dalam bentuk civil dis-obedient atau, ya, atau militansi. Kecerendungannya untuk lebih marak lagi boleh dicetuskan oleh keadaan ekonomi yang tidak menentu kini. Ia juga boleh lahir hasil daripada pengaruh globalisasi melalui talian elektronik dalam bentuk idea mahupun sumber manusia yang diimport atau yang mengeksportkan dirinya sendiri ke dalam negara.

Seorang sahabat mengandaikan bahawa pemerintah sedar kewujudan kelompok yang ketiga ini. Oleh sebab itulah penangkapan ke atas anggota "KMM" telah dibuat sejak sebelum 11 September lagi, mungkin sebagai persiapan ke arah menghadapi kemungkinan yang tidak diingini akan berlaku jikalau tindakan kasar seperti penangkapan beramai-ramai pemimpin pembangkang dilakukan oleh pemerintah, selain faktor-faktor lain yang turut diperkatakan.

Samada benar atau tidak spekulasi tersebut, ia tidak boleh menolak terus kemungkinan ini boleh menjadi satu kenyataan yang mengerikan bagi sistem 'demokrasi' acuan pemerintah. Pemerintah boleh menjadikan gerombolan 'KMM' ini sebagai satu momok untuk menakutkan kaum tertentu terhadap PAS secara khusus, tetapi ia sebaliknya juga boleh menjadi satu momok bagi pemerintah itu sendiri akhirnya.

Pimpinan pembangkang pula ketika itu akan berdepan dengan kerja berat bukan sahaja untuk memenangkan parti tetapi lebih dahsyat daripada itu, untuk meyakinkan kepada pengikut bahawa sistem demokrasi itu sendiri masih boleh berfungsi untuk mencapai matlamat akhir mereka. Kerana apabila keyakinan itu sudah hilang, tidak sukar untuk membayangkan akibat seterusnya.

Apabila pengikut sudah tidak yakin dengan Yasser Arafat dengan pergerakan Fatahnya yang menyeru kepada perdamaian dengan Israel di meja rundingan, maka timbul Hamas yang bersifat militan. Daripada bersenjatakan batu dan lastik, kini dengan kilang di rumah mereka telah mampu menghasilkan Qassam-2, sejenis roket dengan 20 kilogram TNT yang boleh terbang hampir 8 kilometer. Apabila pengikut sudah tidak yakin dengan Nur Misuari dengan MNLFnya yang menyeru kepada asimilasi ke dalam establishment, maka timbul MILF yang lebih yakin dengan perjuangan bersenjata.

Malaysia mungkin masih terlalu jauh untuk menuju ke arah itu, kalau pun boleh. Lagipun kita tidak ingin melakukan sesuatu yang boleh diambil kesempatan oleh musuh untuk menerobos masuk ke dalam sempadan negara apabila keadaan negara kacau-bilau. Musuh yang kecil tetapi pintar sudah sekian lama memerhatikan untuk 'ngap' sahaja apa yang boleh di-ngap di bawah sana.

Pemerintah yang sudah hilang kewarasan boleh melakukan apa sahaja dalam keadaan terdesak sekarang sebagaimana mereka memecat DSAI dahulu. Tetapi pembangkang yang waras pula tidak harus hilang kewarasannya sama. Di masa yang sama, ia perlu mengambil hati semua pihak yang menyokongnya supaya jangan sampai mereka itu lari dan terus lari jauh membina kelompok sendiri yang tidak meyokong mana-mana pihak kecuali keyakinan mereka sendiri. Jikalau ini berlaku, pemerintah akan gagal mengawal semua pihak dalam pembuatan keputusan sementara pembangkang pula akan hilang pengaruh untuk terus bermain di gelanggang yang semakin mengecil.

Salam,

HC
honciv@yahoo.com





        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 18 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com