UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Harakah Pilih Kasih ?

Pada 2 Februari 2002, PAS Kawasan Ampang Jaya telah menganjurkan satu majlis minum teh untuk membantu Ahli Parlimen Batu Gajah, YB Saudari Fong Po Kuan, dari DAP yang telah digantung dari Parlimen selama 6 bulan.

Di dalam majlis di mana AJK PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli, turut berucap, para hadirin telah menyumbang untuk membantu YB Fong yang telah dinafikan juga elaun beliau sebagai ahli Parlimen selama tempoh tersebut.

Pada pendapat saya program ini adalah satu “landmark” kerana ianya menyahut cabaran Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Mahfuz Omar, agar PAS membantu YB tersebut di atas semangat mempertahankan keadilan. Oleh itu PAS Kawasan Ampang Jaya merupakan di antara kawasan yang pertama mengadakan program sedemikian walaupun satu ceramah besar bersama YB tersebut telah diadakan baru-baru ini di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat. Program di Ampang Jaya adalah di peringkat “grassroot” dan dianjurkan di kawasan Parlimen YB Ong Tee Keat, Ketua Pemuda MCA yang sedang menghadapi krisis dalaman partinya.

Maka memahami akan hakikat ini, tidak hairanlah akhbar-akhbar nasional seperti dari akhbar berbahasa Cina telah menghantar pemberita-pemberita mereka untuk membuat liputan. Oleh itu kegagalan Harakah, akhbar milik PAS sendiri, untuk hadir walaupun telah dimaklumkan adalah amat menghairankan jika tidak mengecewakan.

Mungkin kerana saya dari Ampang Jaya maka saya membuat kenyataan sedemikian namun ramai yang dapat melihat satu trend bagi Harakah untuk membuat liputan hanya di kawasan-kawasan yang “glamour” sahaja. Bagi negeri Selangor, hanya kawasan-kawasan yang mempunyai ADUN seperti Gombak, Hulu Langat, Sabak Bernam dan Tanjong Karang mendapat perhatian Harakah. Hanya berita-berita “super” sensasi di kawasan-kawasan lain akan dilaporkan. Jika tidak, janganlah diharapkan.

Memang benar ruang di dalam Harakah adalah terhad tetapi jika penumpuan hanya kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja maka adakah ini akan membantu rancangan PAS untuk menawan Selangor pada pilihanraya umum yang akan datang ?

Memang tidak dapat dinafikan Harakah telah berjaya mengukuhkan kedudukan dan prestij PAS di kawasan-kawasan yang mempunyai ADUN namun kawasan-kawasan lain juga perlu dibantu. PAS dan Barisan Alternatif tidak akan dapat memerintah Selangor dengan 4 atau 5 kerusi DUN sahaja. Oleh itu satu usaha diperlukan untuk memenangi kawasan-kawasan lain yang seolah-olah terdapat “news blackout” oleh Harakah.

Tanpa pendedahan oleh Harakah, PAS dan Barisan Alternatif di kawasan-kawasan itu akan menghadapi masaalah untuk mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan seterusnya merampas kerusi-kerusi tersebut dari Barisan Nasional.

Sehubungan dengan itu saya juga ingin merujuk kepada satu peristiwa yang boleh dikatakan satu “landmark” di dalam perjuangan setinggan ( peneroka bandar ) yang telah berlaku di Ampang Jaya.

Pada bulan Jun 2000, sebuah kampung setinggan telah dikepung oleh pihak polis dan pemaju untuk dirobohkan. Tetapi setelah satu perbincangan bersama pimpinan PAS Kawasani, perobohan tersebut telah berjaya ditangguhkan bagi memberi peluang kepada penduduk untuk berbincang dengan pemaju. Amatlah payah bagi kita untuk mencari kes yang serupa di mana lebih 200 anggota polis termasuk dari FRU yang dikerahkan telah pulang tanpa melihat sesebuah kampung setinggan itu dirobohkan.

Akhirnya setelah beberapa siri rundingan yang dibuat di antara pemaju dan PAS Kawasan maka penduduk kampung telah mendapat sejumlah pampasan hampir RM 15,000 bagi setiap keluarga.

Perkembangan ini merupakan satu “landmark” di dalam perjuangan setinggan di nagara kita kerana jarang sekali rundingan di antara PAS dan pemaju dapat membuat pihak pemaju bersetuju untuk membayar pampasan. Selalunya rundingan diadakan di antara wakil-wakil rakyat BN dan pemaju.

Memandangkan ianya satu pencapaian yang bersejarah maka tidaklah hairan apabila peristiwa ini dilaporkan oleh akhbar-akhbar berbahasa Cina. Tetapi amat malang sekali akhbar yang dikuasai oleh PAS sendiri tidak melaporkan berita ini.

Saya rasa kejadian ini bukan unik bagi Ampang Jaya kerana mungkin terdapat kawasan-kawasan lain yang merasakan perkara yang sama telah berlaku kepada mereka.

Memang benar terdapat edisi internet tetapi pengguna internet di Malaysia mungkin tidak sampai 5% dari penduduk negara kita.

Walau bagaimanapun mungkin Harakah menghadapai masaalah dengan bilangan terbitan yang dihadkan oleh KDN tetapi isu-isu dan berita-berita yang perlu dilaporkan semakin bertambah. Mungkin juga kita terpaksa menghadapi kenyataan bahawa Harakah bukan lagi akhbar yang membuat liputan terhadap berita-berita di peringkat “grassroot”. Dengan kedudukannya yang semakin kukuh dan dikenali di dalam dan di luar negara, akan tiba masanya Harakah akan hanya memuatkan berita-berita dan isu-isu nasional dan antarabangsa.

Walaupun “grassroot” yang menghidupkan Harakah ketika ianya hanya dikenali oleh ahli-ahli PAS namun “grassroot” mestilah menghadapi kenyataan bahawa masa telah berubah. Harakah sekarang bukan Harakah dahulu.

Mungkin sudah tiba masanya Perhubungan PAS Negeri-Negeri yang belum lagi mengeluarkan buletin atau akhbar mereka memulakannya dengan serius secara tetap iaitu bukan sekejap ada sekejap tidak ada serta secara profesional iaitu dicetak bukannya sekeping A4 yang difotokopi.

Walau bagaimanapun adalah lebih baik sekiranya Harakah dapat dicetak dengan ruangan “supplement” untuk berita-berita tempatan yang berbeza menurut zon atau negeri ianya diedarkan. Tetapi itupun jika Harakah merasakan berita-berita tempatan itu lebih menguntungkan dari iklan-iklan yang disiarkan seperti iklan alat menambah kepuasan kaum lelaki yang mungkin jauh menguntungkan dari segi kewangan dari berita-berita dari Ampang Jaya atau Sungai Siput.

ISKANDAR A. SAMAD
AMPANG JAYA
3 FEBRUARI 2002
iskandar_samad@hotmail.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com