UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




ADAKAH HARAPAN UNTUK KEADILAN DALAM PILIHANRAYA UMUM 2004 ?
POSMOTERM BEBAS SELEPAS PILIHANRAYA KECIL INDERA KAYANGAN


PENDAHULUAN

Kebenaran dipohon kepada Pimpinan serta Ahli KeADILan bagi menyiarkan Posmoterm Bebas ini selaras dengan Kebebasan Untuk Menyuarakan Pandangan sebagaimana yang telah diperjuangkan oleh Menifesto Barisan Alternatif dalam Pilihanraya Umum 1999 yang lalu.

Pelbagai komentar telah kita baca, lihat dan dengar samada melalui Media Propaganda Kerajaan mahupun Media Alternatif pasca Pilihanraya Kecil Indera Kayangan yang baru lalu. Posmoterm Bebas lebih berminat untuk membicarakan persoalan sejauh mana KeADILan benar-benar responsif dalam memenangi hati rakyat dalam menghadapi strategi politik dari musuh-musuhnya.


KESILAPAN BERULANG YANG PERLU DIJADIKAN IKTIBAR

Secara ringkas, berikut dinyatakan beberapa kesilapan yang telah dilakukan oleh Jentera Pilihanraya KeADILan dalam Kempen Pilihanraya Kecil Indera Kayangan yang baru lalu:


Lebih Emosi Dari Rasional:

Sifat tidak berlapang dada serta tidak berfikiran terbuka di dalam menerima kritikan dan pandangan masih menebal di kalangan Pimpinan serta Ahli KeADILan. Sebagai contoh mana-mana idea yang datangnya bukan dari orang-orang yang rapat dengan pimpinan tertentu atau dari klik yang berlainan akan diketepikan begitu sahaja tanpa didahului oleh semangat syura mahupun diskusi yang sihat.

Adalah amat malang bagi sebuah parti politik yang mempunyai objektif untuk menerima kepelbagaian bentuk keahlian serta corak pemikiran dan penaja Konsep Politik Baru seperti KeADILan masih mempraktikan keasabiahan penerimaan idea. Perlu diingat, sebuah perjuangan memerlukan kesatuan, kemuafakatan dan semangat pembaharuan yang sentiasa digilap dari setiap peringkat agar setiap tindakan yang bakal dilaksanakan menghasilkan sesuatu produk yang kreatif serta berinovatif. Semua ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa penggembelengan idea dari semua peringkat dan latar belakang corak pemikiran serta klik.

Sehubungan dengan itu, pemilihan seseorang pimpinan bagi mengisi jawatan Pengarah di dalam mana-mana Pilihanraya pada masa yang akan datang perlulah mengambil kira tahap keimanan serta mentalitinya. Tidak ada untungnya melantik seorang Pengarah yang melebihkan emosi dan mengurangkan rasional. Falsafah Peperangan Sun Tzu ada menyebut: Seorang pemimpin yang kuat emosi dan kurang rasional akan mengakibatkan kemusnahan kepada pasukan yang dipimpinnya samada cepat mahupun lambat.

Renungilah firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran Ayat 103 yang bermaksud: Berpeganglah kamu sekelian kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah-belah dan ingatlah akan nikmat Allah (yang diberikanNya) kepadamu, ketika kamu bermusuhan-musuhan, lalu dipersatukanNya hatimu, sehingga kamu jadi bersaudara dengan nikmatNya.

Tidak ada ruginya Saudara Azmin Ali menerima idea walaupun datangnya dari seorang ‘sejahat’ SB , klik ABIM ataupun apa juga yang fraksi dalam KeADILan sekalipun. Fikirkan.., disebabkan idea yang anda praktikkan hanya datangnya dari satu arah, maka ianya jumud, tidak berkembang, dan mempunyai kurang nilai R&D. Kenapa gagal menerima hakikat bahawa kepelbagaian adalah aset paling bernilai buat KeADILan. Fikirkan..,

Mengulangi kesilapan mendekatkan diri dengan provokasi pihak musuh:

Mohon maaf, tidak ada simpati atau penghormatan kepada para Pemuda dari Shah Alam kerana telah menjadi mangsa provokasi musuh. Kalian tidak belajar dari insiden serangan berdarah yang menimpa anda di dalam Kempen Pilihanraya Negeri Sarawak yang lalu kerana terbukti anda adalah mangsa yang sama.

Perlu diingat dalam politik segalanya mungkin terjadi, termasuk amalan samseng. Pemuda Shah Alam sepatutnya menghindarkan diri sejauh-jauhnya dari menjadi mangsa samseng-samseng pihak musuh itu. Mereka berani bertindak liar kerana mereka group undercover. Bagaimana pula status Pemuda Shah Alam yang menjadi mangsa itu dari kacamata pengundi di Indera Kayangan ?. Nyata kalian tidak ‘alert’ dengan strategi berpolitik.

Telah berulangkali diingatkan bahawa pihak musuh pasti akan menggunakan taktik berkenaan sebagai ‘jerangkap samar’ mengelirukan pengundi mengenai siapa sebenarnya pencetus keganasan. Pihak musuh berjaya dalam isu ini kerana terbukti secara psikologinya lebih ramai pengundi di Indera Kayangan yang percaya bahawa Pemuda Shah Alamlah yang memulakan pergaduhan.

Adalah benar, hati orang REFORMASI mana yang tidak marah apabila melihat poster-poster KeADILan dikoyak-koyakkan oleh anggota pihak musuh. Namun sebagai seorang manusia yang waras, perbuatan menegur tindakan pihak musuh tanpa mengukur kekuatan diri sendiri dan membandingkannya dengan mereka adalah tidak bijak sama-sekali. Falsafah Peperangan Sun Zu ada menyebut: Seorang perwira yang bijaksana akan mengakui kekuatan serta kelemahan diri sendiri sebelum membandingkannya dan mengambil tindakan terhadap pihak musuh.

Anda gagal dalam misi sebagai seorang Anggota Red Indian (sekarang Skuad Briged Pemuda KeADILan) kerana tidak mampu mengenalpasti dan bekerjasama terlebih dahulu orang-orang tempatan samada awam mahupun jentera Kerajaan terutamanya pihak Polis yang boleh dijadikan rakan pelindung sebelum memulakan sesuatu operasi berkempen atas kapisiti melindungi keselamatan sebagaimana yang telah diperuntukan di dalam undang-undang. (Masuk negeri orang, berilah salam terlebih dahulu).

Senantiasa mengamalkan sikap ‘Rasmi Padi – Semakin Tunduk Bila Berisi. Anda gagal dalam misi ini kerana lebih emosi dan kurang rasional.

Tidak ada ruginya Saudara Johari SD dan rakan-rakan menerima nasihat walaupun datangnya dari seorang ‘sejahat’ Bekas Polis sekalipun. Bab-bab membabitkan soal keselamatan kenapa tidak dirujuk kepada Tuan Kudus ?. Adakah hanya semata-mata kerana Tuan Kudus seorang bekas Pegawai Cawangan Khas PDRM, anda dalam KeADILan sembrono mengetepikan beliau. Fikirkan.., di manakah KeADILan anda ?.

Tidak belajar dari Kemenangan Undi Pos di Telok Kemang:

Tidak perlu dikeluh-kesalkan apabila melihat keputusan Undi Pos 95% menyebelahi pihak musuh. Dilaporkan Jentera Pilihanraya KeADILan di Indera Kayangan bahkan semasa Pilihanraya Negeri Sarawak sekalipun langsung tidak pernah menubuhkan Jawatankuasa Perlaksanaan Undi Pos.

Kecuali hanya Saudara Saifuddin Nasution yang ada menyentuh mengenai Undi Pos dalam siri ceramahnya di Indera Kayangan, penceramah yang lain tidak begitu serius mengenainya.

Difahamkan dalam Pilihanraya Kecil Telok Kemang sekalipun, keputusan 95% Undi Pos Tentera & Polis yang berpihak kepada KeADILan bukanlah dari hasil inisiatif Jentera Pilihanraya KeADILan namun lebih merupakan hasil usaha segelintir budak-budak tepi jalan.

Perlu diambil berat, usaha untuk membebaskan Undi Pos dari dimanipulasi pihak musuh memerlukan komitmen dari Pegawai/Anggota Tentera & Polis itu sendiri. Sehubungan dengan itu langkah-langkah pembinaan hubungan diplomatik antara seseorang Pengarah Pilihanraya dengan pihak Komander/Pegawai serta anggota Tentera & Polis amatlah diperlukan. Mereka tidak keberatan untuk mengundi pembangkang seandainya mereka benar-benar difahamkan akan terdapatnya Peraturan 11 & 12, Akta Pilihanraya 1958 (Peraturan Pilihanraya [Undi Pos], 1959) yang mengizinkan seseorang pengundi Pos menghantar sendiri Undi Pos mereka pada saat-saat akhir. Hanya melalui kaedah ini, barulah Undi Pos Tentera & Polis selamat dari dimanipulasi.

Tidak ada ruginya Saudara Azmin Ali mempelajari pengalaman Saudara Ruslan Kasim (walaupun dari klik yang berlainan) bagaimana cara untuk menjuarai Undi Pos di Telok Kemang dahulu. Fikirkan.., cuba bayangkan jika calon KeADILan - Cikgu Khoo berjaya memperolehi Undi Pos yang cukup tempohari, bermakna majoriti yang diperolehi oleh calon MCA - Cikgu Oii akan berjaya diturunkan dengan banyaknya. Kenapa Azmin mempersia-siakan kepentingan Undi Pos ?.

Undi India, kenapa dipersia-siakan ?.

Tidak bijak orang-orang Saudara Azmin Ali membawa kehampaan penolakan masyarakat India di Ladang Siliau pada KeADILan dalam Pilihanraya Kecil Telok Kemang terbawa-bawa hingga ke Indera Kayangan.

Perlu diambil berat dalam Pilihanraya Kecil Lunas, Saudara Saifuddin Nasution berjaya memperolehi undi yang secukupnya dari Ladang Victoria oleh kerana masyarakat India di ladang berkenaan dikejutkan dengan suatu bentuk penghormatan psikologi yang tidak memerlukan modal mahupun tenaga yang besar. Cukup sekadar ucapan ‘Wanekem’ sambil mempraktikkan adat menyentuh kaki sudah cukup untuk melembutkan dan mencairkan hati mereka bersimpati dengan KeADILan. Sebagai suatu kumpulan masyarakat yang masih terbelenggu dengan kemiskinan dan mentaliti ‘kehambaan’ oleh kerana taraf pendidikan yang agak rendah, penghormatan psikologi adalah amat penting. Praktikal ini sudah terbukti berjaya menumpaskan apa juga bentuk rasuah dari MIC sekali pun.

Difahamkan kehadiran Saudara N.Gobalakrishnan dalam KeADILan gagal dimaksimumkan untuk mempelopori usaha memasarkan KeADILan ke dalam jiwa masyarakat India. Beliau didakwa lebih popular dan dikenali oleh masyarakat Melayu berbanding masyarakat India.

KeADILan perlu konsisten dan komited mendekati masyarakat India walaupun tanpa ‘request’ dari mereka sekalipun. Laburkanlah budi pekerti yang mulia serta bersedialah menghulurkan bantuan kepada masyarakat India di tempat anda seawal hari ini untuk memastikan jiwa mereka bersama kita pada Pilihanraya 2004 nanti. Jiwa mereka perlu anda dekati dari sekarang. Takkan itupun ditunjuk ajar ?.

Tahniah kepada sekumpulan Wanita dari Bukit Bintang dan Lembah Pantai di atas kreativiti anda dari Lunas hinggalah ke Indera Kayangan. Walaupun memperoleh sokongan sekitar 10 ke 15%, kalian berjaya meyakinan masyarakat India untuk mengundi KeADILan kerana anda memiliki mentaliti ‘only those who see the invisible can do the impossible’. Tidak ada ruginya Orang-Orang Besar dalam KeADILan belajar dari budak-budak tepi jalan kerana mungkin ada sesuatu resipi untuk memikat orang yang mereka ketahui anda tidak menyedarinya. Fikirkannya..,


Hentikan sikap prajudis dan menganggap semua orang sebagai SB.

Suatu masa dahulu, kekuatan REFORMASI amat disegani rakan dan lawan. Masjid Jamek dan Masjid India adalah di antara beberapa lokasi popular tempat perkumpulan mereka. Nama-nama seperti Kak Eton, Kak Ketty, Haji Rock, Leeya, Kak Habsah, Pak Long dan Pak Ngah, sebagai contoh – sanggup buka payung di hadapan Masjid India untuk menerima pendaftaran keahlian KeADILan tanpa arahan dari sesiapa.. Persoalan, ke manakah mereka hari ini ?.

Difahamkan ramai di antara mereka yang berasa kecewa kerana dituduh sebagai SB. Salah seorang daripada mereka yang dituduh sebagai SB – Saudara Sabran Hamzah (bekas OKT REFORMASI) kelihatan turut sama membantu KeADILan di Indera Kayangan tempohari. Syabas diucapkan kepada Saudara Sabran kerana tidak ambil kisah fitnah orang terhadap dirinya. Namun bagi yang lain.., sejauh mana moral serta mental mereka mampu bertahan ?. Itu yang membimbangkan kita. Baru-baru ini sampaikan Nora (OKT Wanita yang dibogelkan dalam lokap) pun digelar SB oleh kerana ada pihak-pihak yang cemburu dengannya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa di dalam KeADILan itu sendiri telah diresapi elemen syak wasangka tak bertempat yang terlalu melampau-lampau: Dituduh SB bagi sesiapa sahaja yang cenderung mempunyai corak pemikiran berbeza, atau mungkin mempunyai kepandaian lebih dari yang lain, atau mungkin memiliki kenalan lebih dari orang lain. Sampai bila perangai hasad dengki ini akan berlarutan, tiada siapa yang dapat menjangkakannya.

Perlu diambil berat, nampak gayanya pihak musuh telah berjaya memecah-belahkan kekuatan REFORMASI dan pendokong KeADLan itu sendiri melalui kata-kata azimat: Orang itu SB, Orang ini SB. Kalau semuanya SB, siapa yang bukan SB ?.

Cukuplah semua ini.., kini tibalah masanya kita menghukum orang-orang yang sering menuduh orang itu SB, orang ini SB. Jangan biarkan mereka terus-terusan menyebarkan fitnah sebegini dalam kekal KeADILan. Marilah sama-sama kita fikirkannya..,


Hentikan Berjanji kosong.

Adalah amat malang sekiranya amalan ini berterusan dalam KeADILan. Janganlah oleh kerana mencari populariti dalam ceramah dalam mengulas sesuatu isu sehingga menyebabkan janji tinggal janji. Kata-kata hikmat DSAI ada menyebut: Jika takut ada resiko, usah bicara soal perjuangan. Jika bimbang pada implikasi undang-undang, adalah lebih baik didiamkan sahaja dari memukul canang.

Tiada sesiapa yang memaksa atau menggesa Saudara Azmin Ali mendedahkan rahsia kotak misteri dalam kempen di Indera Kayangan tempohari. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Nampaknya oleh kerana nila setitik (Azmin berjanji kosong) sehingga rosak susu sebelanga (KeADILan dituduh parti penipu). Pengundi amat peka dengan janji tersebut.

Pimpinan KeADILan diseru agar meletakkan sasaran yang realistik agar tidak lagi dituduh oleh pihak musuh sebagai sebuah parti yang tidak punyai hala tuju. Berjanjilah pada perkara-perkara yang anda mampu laksanakannya. Berjanjilah pada perkara-perkara yang boleh mencuri jiwa mereka, bukan menambahkan lagi ketakutan mereka. Contoh: perjuangan untuk melaksanakan cuti Hari Thaipusam, Hari Vaisaki seluruh Malaysia jika BA berkuasa.


Hargailah Penjawat Awam sebagai seorang Manusia dan bukannya Anjing.

Tidak ada faedahnya Pimpinan serta Ahli KeADILan terus-terusan mengambil pendekatan berkonfrantasi dengan Penjawat Awam. Fikirkanlah.., lebih cepat anda ‘cow team’ dengan mereka lebih cepat anda memperolehi kejayaan membebaskan DSAI dan seterusnya mengambilalih kepimpinan negara kita ini secara demokrasi. Lebihkan rasional, kurangkan emosi. Bertindaklah seperti Pimpinan serta Ahli PAS di Kelantan & Terengganu, mudah memberikan kerjasama dengan pihak keselamatan di tempat mereka. Setelah itu sudah pasti mereka akan menerima perkhidmatan yang MESRA, CEPAT & BETUL daripada pihak Polis. Orang Berbudi Kita Berbahasa, Orang Memberi Kita Merasa.

Renungkan firman Allah dalam Surah AlMaa’idah Ayat 8 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak melakukan keadilan (terhadap mereka). Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampri kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu kerjakan.

Berpolitiklah Untuk Mencari Keredhaan Allah Bukan Glamour Duniawi. Ingat, KeADILan terpaksa berperang dengan psikologi para pengundi, bukannya berperang dengan BN ataupun Jentera Kerajaan. Jaga dan kuasai psikologi pengundi, barulah KeADILan akan berjaya.


JAMIL HAJI ISMAIL






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com