UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Ketatkan Akta Mesin Cetak: Kewarasan Pemerintah Hilang!

Jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)

Ura-ura KDN mengetatkan lagi undang-undang sedia zalim, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, termasuk mengenakan peraturan baru yang mewajibkan laman-laman web turut mendapat permit KDN terlebih dulu membuktikan kerajaan semakin tidak bertindak waras dalam isu kebebasan bersuara.

Peraturan sedia ada, yang nyata mengongkong akhbar-akhbar di negara ini, sepatutnya dipinda bagi memberi kelonggaran yang lebih, bukannya dengan mengetatkan lagi sisa-sisa kebebasan yang ada.

Selama ini, media cetak sudah cukup tertekan apabila setiap tahun permit penerbitan perlu dipohon semula dan pihak KDN berhak untuk tidak memperbaharui permit berkenaan tanpa sebarang alasan. Akta yang dipinda pada 1987 itu memberi kuasa sepenuhnya kepada Menteri Dalam Negeri, sama ada untuk menolak atau menerima permohonan baru, yang juga untuk menggantung dan mengharamkan permit sedia ada.

Menteri juga berhak untuk tidak memberi apa-apa respons kepada sebarang permohonan untuk mendapatkan permit baru. Dan apabila Menteri merasakan perlu sesuatu penerbitan itu diharamkan, akta sedia ada memberi ruang selesa untuk Menteri supaya tidak memberikan apa-apa sebab kepada pengharaman itu.

Saya sendiri yang terbabit sepenuh masa dalam bidang penerbitan sejak 1986, langsung tidak pernah diberikan permit biarpun puluhan kali, sejak 1989 memohonnya. Malah, saya tidak pernah dimaklumkan apakah sebab-sebab permohonan itu tidak diluluskan.

Dan lebih buruk lagi, sejak lebih setahun lalu, saya memohon empat permit untuk menerbitkan akhbar mingguan, tetapi sehingga kini, Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi, langsung tidak memberi apa-apa jawapan. Saya dimaklumkan oleh pihak Unit Kawalan Penerbitan, KDN, bahawa sebarang urusan mengenai permit akhbar (bukannya majalah atau penerbitan berkala lainnya) hendaklah ditujukan terus kepada Menteri, dan tidak boleh berurusan dengan pegawai-pegawai di bawahnya.

Saya juga dapat memahami bagaimana peritnya mengendalikan perniagaan media apabila dua majalah di bawah seliaan saya, iaitu Detik dan Al-Wasilah, diharamkan KDN sebaik saja keputusan pilihan raya 1999 diketahui.

Justeru, apabila Ketua Setiausaha KDN, Aseh Che Mat memaklumkan bahawa draf pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang lebih zalim telahpun siap, dan akhbar dalam talian juga akan turut dikongkong oleh akta berkenaan, saya merasakan kewarasan pemerintah Barisan Nasional dalam isu-isu kebebasan memberi pandangan dan pendapat secara terbuka, sudah hilang sama sekali.

Ia hanya petanda jelas bagaimana pemerintah begitu takut dengan pandangan yang berbeza daripada rakyat meskipun mereka telahpun menguasai sepenuhnya media massa utama, seperti akhbar-akhbar harian (dalam semua bahasa, sama ada bahasa Melayu, Inggeris, Cina atau Tamil, serta akhbar-akhbar di Sabah dan Sarawak), siaran radio dan televisyen.

Sebenarnya pindaan yang akan dibuat dalam sidang Parlimen akan datang ini tidak relevan sama sekali kerana yang sepatutnya dirombak ialah membuang mana-mana peruntukan yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia khususnya dalam isu kebebasan bersuara.

Kerajaan yang membenarkan rakyat bebas memberi pandangan adalah kerajaan yang berjiwa besar dan berwibawa. Manakala pemerintah yang sentiasa mencari jalan untuk menekan dan mengongkong rakyatnya -- bukan saja dari bebas bersuara tetapi juga menghalang rakyat daripada menerima pandangan kedua yang tidak mengaminkan apa saja titahnya -- adalah pemerintah yang takut dengan bayang-bayang sendiri, akibat dosa-dosa yang dilakukannya selama ini.

Selama ini, apabila penerbitan Harakah dikurangkan pengeluarannya daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, saluran alternatif untuk rakyat mendapat perkembangan berita terkini hanyalah melalui akhbar-akhbar dalam talian seperti Harakahdaily dan Malaysiakini, serta laman-laman web lainnya seperti Tranungkite, Mahazalim, Detikdaily, Minda Rakyat dan lain-lain lagi.

Jika saluran yang cukup terbatas ini pun mahu disekat -- apatah lagi selepas pemerintah bertindak ganas mengharamkan ceramah umum meskipun dalam markas parti pembangkang -- saya bimbang ia akan mencetuskan suasana yang lebih tidak sihat, yang tidak akan menguntungkan sesiapa saja.

AHMAD LUTFI OTHMAN






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 4 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com