UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Kemilitanan Umno

Persoalan berkaitan dengan "militan" seringkali diketengahkan oleh para pemimpin UMNO, khususnya Dr. Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi. Apa yang nyata, Dr. Mahathir cuba menonjolkan diri sebagai jaguh yang berjaya melenyapkan pihak militan di Malaysia. Soalnya, siapakah golongan militan yang dimaksudkan? Nampaknya dalam apa situasi pun, Dr. Mahathir ingin mengaitkan gerakan militan dengan PAS (tentunya atas dasar keupayaan PAS mencabar UMNO dalam mengaut undi golongan Islam. Ini disebabkan UMNO walau dalam apa bentuk sekalipun bukanlah sebuah parti Islam dan tidak berupaya untuk menonjolkan imej Islam berbanding dengan PAS), seolah-olah PAS merupakan tapak yang menyuburkan gerakan militan (dalam hal ini Dr. Mahathir sengaja membutakan mata sejarah). Pada masa yang sama Dr. Mahathir gagal untuk membuktikan keterbabitan PAS dengan gerakan militan, meskipun terdapat usaha-usaha untuk dikaitkan PAS dengan penahanan di bawah ISA sembilan orang pemuda PAS.

Namun apa yang pasti, sehingga kini, kesemua mereka yang ditahan itu, masih tidak terbukti akan keterlibatan mereka dengan apa yang didakwa oleh Dr. Mahathir, sebagai gerakan untuk mengguling kerajaan dengan kekerasan. Pastinya penahanan mereka adalah penahanan diluar batas keadilan, semata-mata untuk mempastikan UMNO, khususnya Dr. Mahathir, untuk terus berkuasa.

Hakikatnya, kewujudan UMNO pada hari ini, adalah atas dasar kekuasaan yang ada pada UMNO, tanpa kuasa, UMNO akan hilang lenyap bersama kabus utara! Akan tercabut bisanya dan Dr. Mahathir menggelupur di Putera Jaya. Apa yang ketara, UMNO dan para pemimpin UMNO terkesandung dalam keharuan sikap serta kecelaruan tindakan. Sehingga kini, Dr. Mahathir gagal untuk membuktikan bahawa wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan melalui kekerasan. Dalam hal ini, keadilan kemanusiaan jelas ternoda dan yang pasti, telah diperkosai oleh para pemimpin UMNO (lihat, Saari Sungip. 2001. Suara dari Kamunting Jilid 1 dan 2).

Para pemimpin UMNO, khususnya Dr. Mahathir, telah gagal untuk membuktikan wujudnya perkiraan militan dalam PAS (meskipun agenda terbaru PAS cuba dikaitkan dengan pembakaran trak polis yang didalam jagaan dan kawalan polis, satu dakwaan "gila" tanpa adanya bukti kukuh. Mendakwa sebelum adanya siasatan profesional. Soalnya apakah peranan SB?) kenyataan ini diperkukuhkan dengan kegagalan Dr. Mahathir untuk menghadapkan kesemua yang dituduh sebagai militan serta merancang untuk menggulingkan kerajaan secara bersenjata, ke mahkamah terbuka. Ini bermakna, pemikiran militan serta anasir militan sebenarnya terdapat di dalam UMNO itu sendiri!

Tindakan semberono yang dilakukan tanpa bersandarkan bukti yang kukuh, merupakan tindakan drakonian, tanpa penghalusan akal budi. Militannya UMNO, terutama para pemimpinnya, khusus Dr. Mahathir, adalah disebabkan kegagalan untuk membuktikan wujudnya kesalahan yang dilakukan oleh orang kena tuduh secara nyata. Walaupun tanpa bukti bersalah, orang kena tuduh telah dianggap salah dan terus menerima hukuman. Inilah pemikiran kurang cerdik yang menjadi amalan di kalangan para pemimpin UMNO. Maka militan sebenarnya adalah UMNO dan para pemimpin UMNO yang bertindak atas dasar matlamat menghalalkan cara. Apa pun hujahnya, terdapat banyak petunjuk bahawa Dr. Mahathir adalah "machiaveli".

Keterlibatan UMNO dalam gerakan militan, begitu ketara sekali jika ditinjau dari aspek sejarah; pada tahun 1948, dengan dokongan pihak kolonial UMNO bersekongkol mengharamkan Hizbul Muslimin, UMNO juga telah menyokong undang-undang darurat yang kemudiannya dilanjut kepada ISA, untuk menahan tanpa bicara tokoh-tokoh politik nasionalis Melayu yang dengan itu membolehkan UMNO mengeksploitasi sokongan masyarakat Melayu, semata-mata untuk membolehkan UMNO berkuasa. Dalam apa bentuk sekalipun UMNO adalah lanjutan dari pertubuhan yang dibentuk oleh Kolonial British.

1978 UMNO telah mencetuskan huru hara di Kelantan, orang-orang UMNOlah yang telah bertanggungjawab melontar batu serta membawa lari ayam, itik dan kambing kepunyaan Timbalan Menteri Besar Kelantan. UMNO juga yang telah menelanjang dan membogelkan raja-raja Melayu semata-mata untuk menghalalkan tindakan mereka meminda perlembagaan negara. UMNO juga memainkan peranan mencetuskan unsur perkauman dengan mengusahakan penganjuran perhimpunan setengah juta Melayu yang mana Muhd. Muhammad Taib yang cuba menjadi heronya.

UMNO juga bertanggungjawab ke atas peristiwa Samad Gol, Umno juga terlibat ke atas peristiwa Lubuk Merbau, UMNO juga menggunakan polis untuk menyerang Ibrahim Libya dalam Peristiwa Memali (sebab itulah sehingga kini UMNO takut untuk berdepan dengan orang-orang yanga terlibat di Mahkamah, bahkan polis melarang PAS menganjurkan peringatan ulang tahun peristiwa Memali tetapi polis tidak pula melarang penyiaran kapsul Memali di TV1, menunjukkan betapa gilanya UMNO dan para pemimpinnya).

Orang-orang UMNO juga terlibat menyerang persidangan berkaitan dengan Timur Timor, disebuah hotel di Kuala Lumpur. Pemuda UMNO juga telah menyerang mesyuarat Suqiu. Tahap kemilitanan UMNO begitu, ketara sekali dengan menodai demokrasi, mendera kerajaan Kelantan, menarik balik royalti minyak untuk Terengganu, setelah Terengganu jatuh ke tangan PAS. Mewujudkan perpecahan rakyat di kedua-dua negeri tersbut dengan mewujudkan dualisme pentadbiran, tidak mengiktiraf pegawai-pegawai masyarakat lantikan kerajaan kedua-dua buah negeri tersebut. Memberikan keistimewaan kepada ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua cawangan UMNO dalam mengendalikan wang ehsan Terengganu. Sedangkan wang tersebut sepaptutnya dikendalikan oleh kerajaan.

UMNO juga telah menyalahgunakan kemudahan awam dan jentera kerajaan untuk kepentingan politik peribadi, dewan orang ramai dijadikan pusat kegiatan parti. Tindakan menekan parti-parti pembangkang dengan mengharamkan ceramah, mengharamkan penjualan VCD, menghalang kemudahan awam untuk digunakan oleh parti-parti pembangkang, melayan-melayan parti-parti pembangkang, seolah-olah pertubuhan haram, menyekat penyebaran maklumat melalui media, menjadikan media arus perdana sebagai organ parti adalah pelengkap kepada gerakan kemilitanan UMNO dan keganasan para pemimpin UMNO.

Oleh : kelana bakti






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com