UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




KAPSUL MEMALI; PERINGATAN BUAT PAS

Malam tadi (31.01.2002) tersiarlah sudah di TV1 apa yang mereka namakan Kapsul Memali. Kenapa rancangan 30 minit itu dinamakan kapsul tidaklah diketahui.Yang kita tahu kapsul ialah ubat yang perlu dimakan bila kita sakit atau demam. Selain itu kapsul mengikut pengertian kamus Dwibahasa (DBP,1985) ialah 1.selaput (sarung) benih, 2.sarung kecil yang berisi ubat dan mudah hancur,3.penutup logam untuk botol dll, dan 4.tempat (untuk alat sains atau angkasawaan) yang akan terpisah dari roket induk di angkasa lepas. Namun bukanlah tujuan itu tulisan ini ditulis,tetapi yang lebih penting apakah mesej yan ingin disampaikan kepada penerima mesej di mana TV menjadi salurannya untuk sampai kepada sasaran atau penerima mesej,iaitu para penonton dan pendengar. Siapa berkata apa kepada siapa melalui saluran mana dan dengan kesan apa adalah satu teori komunikasi yang masyhur yang diterima pakai di jabatan-jabatan komunikasi atau sekolah komunikasi .

Tetapi bukanlah maksud kita untuk membincangkan teori komunikasi di sini,kerana seperti yang telah disinggung di atas tadi apakah mesej yang ingin disampaikan oleh Kapsul Memali(KM) itu kepada penerima mesej. Apakah yang dipaparkan melalui KM?. Tiada apa-apa yang ingin dipaparkan di situ selain sejarah hitam kampung Memali 17 tahun dahulu sepintas lalu. Sejarah hitam itu menyentuh tentang perjuangan Assyahid Ustaz Ibrahim Libya dalam usaha menyebarkan Islam sebagai satu peraturan hidup atau way of life yang lengkap dan sempurna,bukan sebagaimana yang difaham oleh kebanyakan pengikut dan para penyokong Umno, iaitu sebagai satu upacara ibadah ritual semata-mata dan pemerintahan dan sistem politik tiada kena mengena dengan agama, iaitu satu pemahaman berdasarkan sekularisme yang seringkali mereka nafikan,tetapi hakikatnya adalah jauh sekali dari penafian mereka itu.

Kapsul Memali memaparkan sekilas cuma perjuangan Islam di kampung Memali yang pada pandangan pihak berkuasa adalah tidak benar dan bercanggah dengan kebenaran Islam itu sendiri. Pemaparan yang singkat itu sebenarnya membuktikan akan kebenaran yang dibawa oleh Ustaz Ibrahim Libya,yang telah ditembak syahid oleh barua-barua kerajaan yang terdiri dari polis dan polis hutan,lengkap dengan senjata M16,trak-trak FRU dan lain-lain seolah-olah mereka berhadapan dengan pengganas nombor satu negara. Sedang yang sebenarnya Ustaz Ibrahim hanyalah seorang pendakwah,yang dulunya pernah berkerja di Pusat Islam (sekarang Jakim) tetapi akibat sesuatu hal,meninggalkan jabatan kerajaan dan menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang dakwah dan penyebaran Islam. Di manakah silapnya Ustaz Ibrahim? Bagaimanakah mereka boleh menerima beliau bekerja di Pusat Islam jika benar beliau seorang pengganas? Inilah satu pembohangan yang nyata dari kerajaan BN yang cuba memberikan justifikasi dari tindakan melulu yang mereka lakukan 17 tahun dahulu.

Tercungap-cungap Musa Hitam memberitahu rakyat Malaysia 17 tahun dahulu tentang apakah sebenarnya yang berlaku di kampung Memali ketika itu,sedangkan Mahathir yang memberikan kelulusan dan mengarahkan tindakan itu sudah berlepas ke Cina untuk mengelakan diri dari bertemu rakyat jelata kerana takut akan kesalahan yang telah dilakukannya. Tinggallah Musa Hitam menanggung kesan-kesan keterlanjuran BN itu yang akhirnya membawa perletakan jawatannya sebagai TPM, meskipun bukan itulah sebab-sebab utama perletakan jawatan beliau.

Rancangan Kapsul Memali melihat perjuangan menegakkan Islam di negara ini adalah merupakan satu ajaran sesat,yang harus dibendung jika negara ingin terus maju ke hadapan.Masalah umat Islam pada mereka bukanlah masalah penghayatan Islam secara menyeluruh telah tidak sempurna,tetapi adalah soal kemiskinan yang menyebabkan umat Islam mundur dan terpinggir.Inilah sebenarnya ajaran songsang yang ingin disampaikan oleh kerajaan BN melalui rancangan itu. Di samping itu,Parti Islam Se-Malaysia turut menjadi sasaran Kapsul Memali. Parti Islam PAS dikatakan ekstrimis agama yang jika dibenarkan berkuasa akan memporakperandakan sistem sosial yang sedia ada,sehingga terpaksa pula dijemput satu kuasa besar lain seperti Amerika untuk membebaskan wanita-wanita Islam Malaysia,kerana mereka telah dikongkong hebat dalam sistem politik Islam yang diamalkan oleh PAS.Maksudnya PAS akan memerintah seperti Taliban di Afhanistan, dan Amerika diundang untuk membebaskan wanita-wanita Afghan dari sistem dan tatasosial Islam yang dianggap mereka kolot dan ketinggalan zaman. Wanita-wanita Malaysia juga perlu dibebaskan oleh Amerika dari kekolotan sistem politik Islam yang diamalkan oleh PAS,jika mereka berjaya memerintah Malaysia.

Di sini sebenarya kerajaan BN telah memburuk-burukkan imej PAS sebagai sebuah Parti Islam yang sebenarnya sudah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Kerajaan BN juga telah menakut-nakutkan orang-orang bukan Islam terhadap Islam sebagai satu sistem hidup yang sempurna,dan mengkaburkan ajaran Islam yang sebenar kepada rakyat Malaysia.

Itulah mesej sebenarnya dari rancangan TV Kapsul Memali itu. Ianya khas ditujukan kepada gerakan Islam di negara ini,khususnya PAS, dan memberi amaran kepada umat Islam agar tidak berusaha untuk menegakkan sistem hidup dan politik Islam di negara ini. Ianya juga adalah sokongan terhadap Amerika dalam siri memerangi pengganas setelah tragedi 11 September,yang sebenarnya adalah dalam siri memerangi Islam oleh puak-puak Yahudi dan disokong pula oleh Umno dan BN. Ia juga adalah persiapan awal dalam menghadapi pilihanraya akan datang yang dijangka akan diadakan pada tahun 2003 atau selewat-lewatnya pada awal 2004.

PAS dan ahli-ahlinya harus mengambil iktibar dari persoalan ini,dan cuba menangkis tohmahan yang dilemparkan oleh BN melalui saluran rasminya dengan mmemanfaatkan ruang-ruang yang masih terbuka dalam sistem demokrasi yang amat terbatas ini. Di samping itu PAS dan BA haruslah bersiap sedia dalam menghadapi pilihan raya lebih awal berikutan dari sedikit sokongan moral yang diperolehi oleh Umno dan BN melalui tragedi 11 September yang melanda Amerika,yang kesannya sehingga kini masih terasa hangatnya. Kita haruslah mempersiapkan diri mulai dari sekarang, walaupun kita tahu dalam sistem demokrasi ala Malaysia ini amat sukar parti-parti pembangkang meraih kemenangan. Kalau pun kita menang, kita harus mengambil iktibar dari kemenangan FIS di Algeria beberapa tahun dahulu, dan apakah kemenangan itu bermakna buat mereka? Namun perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman tidak akan berhenti sampai bila-bila, kecuali bila kiamat menjelma.

AlKundangi,
1.2.2002






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com