UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




PETIKAN KHUTBAH - Ustz Hj Adinan -

ASSALAMUALAIKUMWM WBT;

Di bawah ini di sunting petikan khutbah yang telah di sampaikan oleh Tuan Haji Ustaz Haji Adinan di atas tajuk: SALAH FAHAM TERHADAP AGAMA.

Semoga dengan ini akan dapat menjadi panduan dan bimbingan.

Suatu kenyataan yang sangat menyedihkan bagi umat Islam hari ini ialah semakin ramainya orang Islam yang memalingkan diri dari agama dalam urusan dunia, dengan cara yang terang terangan dan dapat kita buktikan dengan mata kepala sendiri. Bahkan ramai orang yang kelihatannya taat dan warak menjalankan ibadat, tetapi meninggalkan agama manakala telah berhadapan dengan urusan dunia, seperti urusan politik, sosial, ekonomi dan lain lain sebagainya.

Sebahagian umat Islam berpandukan kepada ajaran dan aliran yang bertentangan hakikatnya dengan agama, padahal perintah Tuhan adalah terang dan nyata, tidak ada keraguan ke atasnya. Semua umatnya di perintahkan ke jalan yang lurus untuk mendapatkan hikmah daripada Nya.

Mengapa terjadi demikian? Mengapa sebahagian umat Islam berpendapat bahawa untuk memperoleh kedudukan yang baik, kedudukan yang terhormat di dunia harus bertitik tolak kepada satu falsafah kebendeaan hasil ciptaan manusia yang tidak hakiki? Mengapa hamba Allah yang telah mengaku kesempurnaan ajaran Tuhan dan mengaku bahawa hanya petunjuk Tuhan sahajalah yang benar, tetapi telah berpatah balik kepada panduan manusia yang tidak ada jaminan kebenarannya.

Beberapa persoalan dan masalah-masalah ini semua setelah di adakan pengkajian dan penelitian yang saksama oleh para ahlinya maka dapat di simpulkan beberapa sebab seperti berikut :

Pertama : Umat Islam telah keliru, sekurang-kurangnya telah salah faham terhadap hakikat agama atau salah dalam pengertian Ad Din sebagai agama.

Kedua : Pengaruh falsafah dan idelogoi dari Barat yang mengalir oleh kecerdasan dunia Barat yang sangat mengiurkan kepentingan duniawi.

Ketiga : Ketidak sedaran dengan ancaman Allah terhadap orang-orang yang berpaling daripada Ad Din.

Demikian menurut pendapat para ahli fikir Islam yang selalu memperhatikan perkembangan masyarakat Islam yang kian hari kian banyak menghadapi rintangan dan haalangan dan kadangkala mundur kebelakang.

Sebab alasan yang pertama, Ad Din ( Agama ) ialah tuntutan hidup yang melengkapi segala segi kehidupan untuk memperoleh kebahagian dunia akhirat. Tetapi pada abad mutakir ini ada yang telah salah faham terhadap agama. Agama di anggap sebagai aturan peribadatan belaka yang harus di pisahkan dengan kerja amal dunia dalam mencapai tujuan duniawi sehingga agama haruslah dipisahkan dengan masyarakat. Inilah pandangan yang telah keliru dan di kelirukan oleh alam fikiran Barat yang di kagumi oleh sebahagian umat Islam sendiri. Bahkan kebanyakan umat Islam hanya mengetahui bahawa yang di sebut agama itu ialah solat, puasa, zakat dan haji sahaja, sedangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan dunia mestilah di pisahkan dengannya.

Dari alasan yang kedua ialah kekaguman tanpa berfikir dan merenung kenyataan sejarah yang telah di terangi dengan cahaya agama pada beberapa abad ( kurun ) yang lalu. Segala apa sahaja yang berasal dari dunia Barat di telan mentah mentah, di anggap dan di nilai paling baik.

Dari sebab yang ketiga ialah kerana tidak adanya rasa takut akan ancaman Tuhan terhadap para penyelewengan agama dalam segala segi kehidupan sesuai dengan maksud takrif agama itu sendiri.

Melihat kenyataan-kenyataan yang berlaku sekarang ini, kiranya menjadi pelajaran bagi kita dan tidak seharusnya hanyut ke dalam kebendeaan dan terus menerus meninggalkan atau berpaling daripada agama dalam urusan hidup dunia yang membawa akibat buruk kepada masyarakat Islam sendiri.

Firman Allah dalam surah Al-Qhasas, ayat 77 yang maksudnya:

"Carilah keutamaan dari kelebihan yang telah di kurniakan Allah untuk kebahagian akhirat dan jangan lupa akan nasibmu di dunia."

Ayat ini menerangkan kepada umat Islam tentang perlunya hidup yang baik di dunia ini menerusi usaha usaha dan perjuangan untuk mendapatkan kenikmatan dunia dengan tidak melupakan kehidupan akhirat sebagai tujuan akhir yang kekal selama lamanya.

Al-Hajj : Ayat 46 yang bermaksud ;

"Tidakkah mereka berjalan di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga yang dapat di gunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada."

Demikianlah ayat Tuhan, di peringatkan kepada manusia yang telah menyalah gunakan pemakaian akal dan hatinya, telinga dan pemahamannya. Bukan mata yang buta dan juga bukan telinga yang tidak mendengar, tetapi mata di dalam dada atau mata di hati, ini bermakna manusia yang degil. Dengan itu pula kita ketahui bahawa betapa sebenarnya besarnya peranan akal dan fikiran manusia menerima kehidupan ini.

Manusia yang degil yang telah membutakan mata hati dan menutup pendengarannya, tidak segan segan membelakangi agama dalam urusan hidup duniawi Mereka sanggup hendak membuang dan cuba melenyapkan Islam dalam hidup ,ereka, pada hal hakikatnya semua adalah milik Tuhan yang tunduk di bawah pengawasan dan penguasaanNya; dengan begitu semestinya segala sesuatu urusan hidup haruslah berkiblat kepada ajaran Tuhan.

Marilah kita kembali kepada agama yang sebenarnya, iaitu agama sebagai tuntutan hidup yang lengkap dan sempurna dari segala segi kehidupan makhluk bukan manusia sahaja.Dan tuntuan Tuhan adalah mutlak kebenarannya, bahkan sesiapa yang melarikan diri dari agama dalam urusan dunia akan tertimpa akibat yang sangat buruk baik di dunia mahupun di akhirat.

Jangan sampai kita beranggapan dan mengikut fahaman bahawa agama hanyalah peribadatan semata yang tidak kena mengena dengan urusan hidup. Anggapan dan fahaman yang salah mesti kita kikis dan kita kaji kembali dengan akal, hati yang bersih dari pencemaran dunia.

Firman Allah di dalam surah Taha yang berbunyi :

"Barang siapa yang mengikut petunjukKu, maka ia tidak sesat dan tidak menderita kecelakaan. Barangsiapa yang berpaling dari tuntutan Ku, maka ia merasai penghidupan yang sempit dan Kami kumpulkan dia di akhirat dalam keadaan buta. Di kala itu mereka berkata :

"Tuhanku, mengapa Tuhanku mengumpulkan daku dalam keadaan buta, padahal daahulu daku mempunyai penglihatan, mempunyai mata yang terang?" Bertitah Allah : Demikianlah telah datang kepada ayat-ayat Kami maka kamu tidak mempedulikannya. Pada hari ini kamu dilupai jua ..."

Inilah penjelasan Tuhan terhadap manusia, terserah kepada setiap insan untuk berfikir dan merenung kembali sebelum masa berakhir di alam dunia ini, mahu mengikut petunjuk atau tidak.

Tegasnya, bagi setiap orang Islam harus berfikir kembali dan mengkaji berulang kali akan kisah hidup yang telah dan sedang berlalu untuk menetapkan hatinya bahawa hanya dengan petunjuk dan tuntutan Allah SWT sahaja yang dapat menyelamatkan hidup sekarang dan hari kemudian. Kepada Allah sahajalah kita memohon petunjuk dan tuntutan Allah sahajalah yang benar dalam segala urusan.

Barokanallah hu li wa lakum fil Quraan nil azim ......

SEMOGA dengan petikan khutbah yang telah di sampaikan oleh Al-Ustaz Tuan Haji Adinan pada hari ini 15.2.02 dapatlah kita menrenungi diri akan erti dan tanggong jawab kita sebagai seorang Islam.

JAZAKHIROLLAH.

wassalam

laduniseven






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 16 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com