UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




MEMORANDUM MENUNTUT PENYELARASAN KOS URUSAN HAJI

Kepada;

En Mohd Baki bin Salleh,
Ketua Pegawai Eksekutif,
Lembaga Tabung Haji,
Bangunan Tabung Haji,
201, Jalan Tun Razak, PO Box 11025,
50732 KUALA LUMPUR. 5 FEBRUARI 2002

Tuan,

MEMORANDUM MENUNTUT PENYELARASAN KOS URUSAN HAJI

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius beberapa masalah yang berbangkit dalam pengurusan jamaah haji pada tahun ini terutama berkenaan tambang dan tempoh tinggal di tanah suci yang diuruskan oleh Tabung Haji. DPP Pusat sebenarnya mempersoalkan mengapakah jumlah penginapan jamaah haji di tanah suci tidak sama mengikut syarikat penerbangan sedangkan tambang mereka sama bagi setiap syarikat penerbangan.

DPP Pusat mendapat maklumat bahawa pada tahun ini Tabung Haji telah menyewa kapal terbang daripada tiga syarikat penerbangan iaitu Saudi Air, Air Asia dan Malaysia Airlines (MAS). Tambang bagi ketiga-tiga penerbangan ini yang dikenakan oleh Tabung Haji ialah RM 9,500.00 sedangkan tempoh tinggal mereka di tanah suci berbeza antara 10 hingga 12 hari mengikut penerbangan seperti dalam jadual di bawah :

Penerbangan

Tambang

Jumlah Hari

Saudi Air

RM 9,500.00

44 hari

Air Asia

RM 9,500.00

42 hari

MAS

RM 9,500.00

32 hari

DPP Pusat mempersoalkan mengapakah Tabung Haji mengenakan kos sebanyak RM 9,500.00 kepada jamaah haji yang menggunakan MAS sedangkan mereka hanya tinggal di tanah suci selama 32 hari sahaja sedangkan kos yang sama dikenakan bagi jamaah haji yang menggunakan Saudi Air yang tigggal di sana selama 44 hari. Apakah beza selama 12 hari ini tidak memberikan kesan kepada kos pengurusan dan tempat tinggal jamaah haji berbanding mereka yang tinggal lebih lama.

DPP Pusat melihat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam pengurusan jamaah haji pada tahun ini daripada data yang dikemukakan. DPP Pusat tidak pasti mengapakah hal ini berlaku dan apakah tujuan dibebankan jamaah haji dengan kos yang tidak sekata sehingga menindas jamaah haji. Mungkin jamaah akan mematuhi kos yang ditetapkan oleh Tabung Haji dan juga penerbangan yang ditetapkan sendiri oleh Tabung Haji kerana kewajipan ibadat tersebut, tetapi ini tidak bermakna Tabung Haji patut untuk mengambil peluang menindas jamaah haji terutama dari kalangan warga tua dan penduduk miskin.

DPP Pusat mempersoalkan mengapakah Tabung haji tidak sensitif dalam hal sebegini sedangkan ia melibatkan masalah keadilan kepada jamaah haji. Adakah setelah Tabung Haji kerugian berjuta ringgit dan gagal membayar dividen dan bonus kepada pencarum seperti kadar biasa, Tabung Haji mengambil ruang ini untuk mengaut keuntungan secara haram. Atau adakah pengurusan Tabung Haji yang dikatakan punca kerugian masih tidak sensitif dalam pengurusan jamaah haji sehingga menjejaskan hak jamaah haji. Tabung Haji ditubuhkan untuk memberi ruang kepada setiap rakyat terutama warga tua dan penduduk miskin di luar bandar dapat menyempurnakan rukun Islam kelima bukannya agensi untuk menindas rakyat. Kerana itu DPP Pusat daripada dulu lagi menentang monopoli Tabung Haji dalam urusan haji rakyat Malaysia kerana ia membuka ruang penindasan dan eksploitasi sehingga Tabung Haji yang ditubuhkan untuk urusan agama diselewengkan untuk memberikan keuntungan secara haram kepada pihak tertentu.

Atas dasar inilah DPP Pusat mendesak Tabung Haji supaya menambahkan jumlah tempoh tinggal di tanah suci bagi jamaah yang mengikuti penerbangan MAS atau Air Asia supaya mempunyai tempoh yang sama dengan pengguna Saudi Air iaitu 44 hari. Dengan cara sebegini semua jamaah haji mendapat keadilan yang wajar. Memandangkan pada tahun ini Tabung Haji telah memperkenalkan tambang baru kepada jamaah haji, maka amat aneh sekiranya perkara seperti ini timbul. Tindakan Tabung Haji menetapkan kos standard tetapi tempoh tinggal tidak sama menyebabkan ada jamaah haji yang teraniaya dan tertindas.

DPP Pusat juga mendesak pihak Tabung Haji supaya mengembalikan semula kos haji bagi penerbangan MAS dan Air Asia yang 'dicekik' daripada jamaah haji jika Tabung Haji gagal menyedia tempoh tinggal di tanah suci sekata untuk semua jamaah haji. DPP Pusat percaya kos bagi pengguna MAS adalah jauh lebih rendah daripada Air Asia dan Saudi Air kerana mereka tinggal di sana untuk tempoh yang lebih singkat. Tabung Haji mesti mengembalikan lebihan duit jamaah haji mengikut hari mereka tinggal di sana supaya setiap jamaah haji bukan sahaja mendapat keselesaan beribadat tetapi juga mendapat keadilan dalam urusan haji mereka.

Sekian, terima kasih.

Yang Menjalankan Amanah,

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 7 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com