UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Nota Bantahan Pengurangan Bonus Tabung Haji

Encik Mohd Bakke Salleh
Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Tabung Haji
Jalan Tun Razak
Kuala Lumpur

Nota Bantahan Pengurangan Bonus Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) baru-baru ini telah mengumumkan bonus bagi tahun 2001 selepas ditolak zakat sebanyak 3.25 peratus, merupakan yang terendah sejak tahun 1967 Alasan yang diberikan oleh Tabung Haji berhubung penurunan kadar bonus ini adalah disebabkan kemerosotan pendapatan bersih sebanyak RM 327.8 juta pada tahun 2000 berbanding sebanyak RM 347.17 juta pada tahun 1999.

Dalam temubual Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji dengan wartawan Berita Minggu baru-baru ini ( Berita Minggu 10 Februari 2002) Beliau mengakui bahawa kebanyakan pelaburan Tabung Haji adalah berbentuk jangka panjang . Oleh kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu sejak kebelakangan ini, maka deviden yang diperolehi oleh Tabung Haji daripada pelaburan turut terjejas.

Memang tidak dinafikan bahawa Tabung Haji sebagai sebuah entiti ekonomi Islam yang terbesar di Malaysia perlu mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk meningkatkan dana simpanan para pencarum agar wang yang terkumpul itu dapat diperkembangkan dan seterusnya memberikan pulangan dalam bentuk bonus yang baik untuk diagihkan semula kepada pencarum.

Sejak kebelakangan ini Tabung Haji telah dilihat sebagai badan pelaburan yang menghadapi pelbagai masalah, seperti pelaburan yang tidak strategik dan tidak tahu kehilangan akibat pengeluaran wang sebanyak 9 juta, dakwaan penglibatan dalam "bail-out" beberapa syarikat besar yang bermasalah semasa kegawatan ekonomi beberapa masa yang lalu, dan yang terkini isu gaji beberapa pegawai tinggi Tabung Haji yang baru dilantik lebih tinggi daripada gaji pegawai tinggi yang dahulu. Semua isu ini, melihatkan seolah-olah pengurusan kewangan Tabung Haji sebagai tidak telus.

Sebagai sebuah perbadanan yang diamanahkan untuk menyimpan wang para pencarum yang kemudianya akan digunakan untuk menunai ibadah Haji ke Makkah, Tabung Haji sewajarnya mengamalkan prinsip pengurusan kewangan yang telus. Ini sesuai dengan Tabung Haji sendiri dilihat sebagai sebuah badan yang mengamalkan prinsip kewangan Islam.

Namun hakikatnya tidak begitu. Dalam kebanyakan hal , Tabung Haji sering mengenepikan para pencarum. Umpamanya, dalam hal pelaburan, Tabung Haji tidak pernah meminta pandangan daripada pencarum atau sekurang-kurangnya wakil pencarum, Tabung Haji dengan panel pelaburannya sendiri diberi kuasa sewenang-wenangnya untuk melabur dimana-mana sahaja yang dirasakan wajar. Jika sebelum tahun 1995, wujud satu Jawatankuasa Panel Pelaburan yang memantau pelaburan yang dilakukan oleh Tabung Haji, namun kini Jawatankuasa tersebut telah dimansuhkan dan panel pelaburan Tabung Haji bebas melakukan tindakan pelaburanya tanpa melalui proses " check and balance". Hal ini diakui sendiri oleh bekas Pengerusi dan Pengurus Besar Tabung Haji, Tan Sri Hj Hanafiah Ahmad. (Lihat Berita Harian 22 hb Ogos 2001, halaman 23).

Tabung Haji telah melabur dalam pelbagai sektor pelaburan, seperti hartanah, pengangkutan, teknologi maklumat, perladangan dan pelaburan saham dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan dalam BSKL dan syarikat-syarikat yang tidak disenaraikan. Biarpun Tabung Haji ada menyatakan peratus pelaburan dalam syarikat -syarikat tersebut dalam laporan tahunannya yang dihantarkan kepada para pencarum, namun tidak pula dinyatakan bentuk pulangan dividen diperolehi daripada syarikat-syarikat tersebut. Ini bertujuan bagi menentukan sama ada pelaburan Tabung Haji adalah sewajarnya dikekalkan atau dilepaskan.

Sudah sampai masanya Tabung Haji bersikap telus dalam perjalanan pentadbiran dan pengurusan kewanganya. Para Pencarum hendaklah sering dilibatkan dalam penentuan Tabung Haji sama ada dari segi polisi ataupun pelaburannya. Tabung Haji perlu mengamalkan sistem pentadbiran yang lebih terbuka dimana para pencarum dapat melihat sendiri bagaimana wang caruman mereka disalurkan sama ada dalam operasi pentadbiran Tabung Haji, pengurusan jemaah Haji semasa musim Haji dan pelaburannya. Jika ini dapat dilakukan, para pencarum sudah pasti dapat memahami dengan hati yang redha bahawa Tabung Haji telah melakukan dengan sebaiknya dalam menguruskan wang caruman mereka, namun apakan daya kerana keadaan yang tidak mengizinkan maka kadar bonus yang mampu diberikan adalah rendah 3.25 peratus mungkin lebih rendah daripada itu.

Sistem yang wujud sekarang ini, para pencarum sudah pasti tidak menerima dengan sepenuh hati dan tidak redha dengan penjelasan yang diberikan oleh para pegawai Tabung Haji mengapa kadar bonus yang diberikan pada tahun 2001 adalah lebih rendah daripada berbanding dengan tahun lalu. Para pencarum tidak dapat menerima mengapa Tabung Haji tidak dapat membayar kadar bonus yang lebih tinggi daripada itu, sedangkan sebelum ini Tabung Haji sendiri, sama ada melalui Menteri yang bertanggungjawab terhadapnya, atau pegawai Tabung Haji , kedudukan kewangan Tabung Haji adalah stabil, malah Tabung Haji tidak begitu tergugat dengan keadaan kegawatan ekonomi yang wujudnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pelbagai isu melanda Tabung Haji tidak diberikan jawapan yang dapat memuaskan hati para. Para pencarum dipaksa untuk menerima sahaja penjelasan yang disumbatkan kepada mereka tanpa menghiraukan sama ada penjelasan wajar atau tidak.

Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak pihak pengurusan Tabung Haji mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan pencarum yanmg diamanahkan kepada Tabung Haji diuruskan dengan cara cekap dan telus. Tabung Haji perlu berpegang kepada falsafah penubuhanya iaitu :

1. Membolehkan orang-orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bnbagi memenuhi perbelanjaan menunaikan Fardhu Haji atau lain-lain perbelanjaan bermanafaat.

2. Membolehkan orang-orang Islam melalui wang simpanan mereka mengambil bahagian yang lebih berkesan dibidang penanaman modal melalui cara yang halal disisi Islam.

3. Memberi perlindungan, pengawalan dan kebajikan kepada jemaah haji menunaikan Fardhu Haji dengan mengadakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan.

Apa yang jelas kini, Tabung Haji dilihat sebagai telah menyimpang dari falsafah-falsafah ini, Tabung Haji yang kini lebih dilihat sebagai "sebuah entiti perniagaan dan pelaburan" dan bukannya sebagai " sebuah badan penyimpan dana dan pengurusan jemaah Haji.

Sekiranya Tabung Haji masih bertegas untuk mengamalkan sistem pengurusan sebagaimana yang ada sekarang ini, dan terus menyimpang daripada asal penubuhannya, Dewan Pemuda PAS Pusat tidak teragak-agak mengambil tindakan yang lebih tegas antaranya,

Meminta para pencarum agar menyimpan wang mereka dalam Institusi Kewangan Islam yang lain.

Menganjurkan Penubuhan Persatuan Pencarum Tabung Haji dan mendesak Tabung Haji menerima wakil persatuan ini dalam semua peringkat jawatan pengurusan dan pelaburan Tabung Haji.

Melobi diperingkat antarabangsa agar pihak Kerajaan Arab Saudi membatalkan hak monopoli Tabung Haji dalam menguruskan jemaah haji Malaysia memberikan hak kepada badan-badan lain yang lebih berwibawa dan bertanggungjawab untuk menguruskan jemaah haji daripada Malaysia.

Dewan Pemuda PAS Pusat berharap Tabung Haji dapat mengambil tindakan sewajarnya berhubung nota bantahan ini dan mengambil langkah positif demi kepentingan Islam dan para pencarum.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 27 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com