UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




MEMORANDUM MEMBANTAH PERATURAN MELARANG PELAJAR ISLAM MEMAKAI TUDUNG DI SEKOLAH

Kepada;

The Honourable Goh Chok Tong,
Perdana Menteri Republik Singapura,
SINGAPURA.

Melalui,

TYT Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura,
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura,
209, Jalan Tun Razak,
50400 KUALA LUMPUR
29 JANUARI 2002

Tuan Yang Terutama,

MEMORANDUM MEMBANTAH PERATURAN MELARANG PELAJAR ISLAM MEMAKAI TUDUNG DI SEKOLAH

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merasa sangat kesal dengan penguatkuasaan peraturan pakaian seragam sekolah yang menghalang pelajar perempuan Islam daripada memakai tudung kepala ketika di sekolah semenjak empat minggu lalu. Beberapa kes penggantung persekolahan para pelajar bertudung di Singapura yang dilaporkan oleh media massa adalah sangat bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan beragama yang terima sejagat. DPP Pusat juga melihat peraturan baru ini telah mencabul Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1948 yang memberikan hak mengamal ajaran agama secara bebas dan Perkara 14 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak PBB 1989 yang mahukan setiap negara menghormati hak setiap kanak-kanak dalam kebebasan beragama.

DPP Pusat membantah keras tindakan kerajaan Singapura yang membuat peraturan yang jelas bertentangan dengan prinsip kemanusiaan ini sedangkan tidak satu buktipun bahawa bertudung boleh memberikan kesan yang buruk kepada perpaduan dan keselamatan negara. Bahkan DPP Pusat berpandangan bahawa sewajarnya kerajaan Singapura menghormati hak umat Islam untuk mengamalkan peraturan agamanya yang memerintahkan setiap penganutnya menutup aurat. Dengan sekatan seperti ini, bermakna umat Islam telah dijadikan golongan kelas dua oleh kerajaan Singapura kerana menghalang kebebasan beragama mereka.

DPP Pusat tidak dapat menerima alasan bahawa peraturan tidak bertudung ini untuk mewujudkan integrasi nasional kerana tidak ada sebarang bukti pemakaian tudung menimbulkan semangat perkauman. Kebimbangan kerajaan Singapura bahawa keizinan kepada pelajar Islam untuk bertudung akan mengundang tuntutan penganut agama lain juga satu kebimbangan yang tidak berasas. DPP Pusat tidak nampak apa salahnya kerajaan membenarkan semangat hidup beragama menjadi tunjang kehidupan bermasyarakat kerana tidak ada agama yang mengajar umatnya melakukan perkara yang tidak baik bahkan integrasi nasional akan lebih mantap kerana semua agama mengajar tentang perpaduan.

Mungkin kerajaan Singapura terpedaya dengan hegamoni politik Amerika Syarikat tentang keganasan yang berlaku. Lalu umat Islam dimangsakan dengan alasan yang berciri perkauman. DPP Pusat ingin mempertegaskan bahawa sebuah negara yang membenarkan kebebasan beragama termasuk membenarkan perempuan bertudung tidak menghadapi masalah integrasi nasional seperti Malaysia, sedangkan negara yang menghalang rakyatnya bertudung seperti Turki sehingga hari ini masih dilingkari oleh sentimen perkauman termasuk pertentangan dengan kaum Kurdis. Masyarakat bertudung di Malaysia juga tidak menghadapi masalah integrasi dengan kaum lain tetapi masyarakat tidak bertudung di Amerika Syarikat yang mengalami krisis integrasi terutama golongan kulit putih dengan kulit berwarna. Kerana itu DPP Pusat melihat pandangan kerajaan Singapura tentang perempuan bertudung adalah tidak tepat.

DPP Pusat juga sangat kesal kerana kerajaan Singapura tidak boleh menghormati hak umat Islam untuk menganut dan mengamalkan ajaran agama Islam dengan bebas dan aman. Sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Singapura ini bukan sahaja menyekat hak umat Islam tetapi akan turut menimbulkan rasa tidak puas hati umat Islam terhadap kerajaan Singapura. Sebenarnya tindakan kerajaan Singapura akan menimbulkan ketegangan dalam integrasi nasional. Singapura sepatutnya belajar daripada beberapa negara Barat seperti Britain yang membenarkan polis wanita Islam bertudung untuk mewujudkan perpaduan bukannya bertindak sebaliknya.

DPP Pusat mendesak kerajaan Singapura menarik balik peraturan yang menghalang pelajar perempuan bertudung dan seterusnya membenarkan para pelajar perempuan Islam yang digantung kembali ke sekolah. Kerajaan Singapura juga mesti mempastikan setiap rakyat Singapura diberi hak dan kebebasan asasi masing-masing termasuk mengamalkan ajaran agama mereka. DPP Pusat juga menuntut kerajaan Singapura memohon maaf kepada umat Islam Singapura di atas ketelanjuran mereka menguatkuasakan peraturan yang bercanggah dengan nilai kemanusiaan. Kegagalan kerajaan Singapura bertindak dengan bijak akan mengundang bala yang besar kepada perpaduan nasional masyarakat Singapura.

Sekian, terima kasih.

Yang Menjalankan Amanah,

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com