Oleh : Us. Abdul Ghani Samsuddin
Sebenarnya fahaman sekularisme menganjurkan agar umat Islam berpegang
kepada suatu prinsip dan nilai baru yang berasaskan skeptisisme terhadap
semua bentuk pengetahuan objektif. Skeptisisme atau keraguan terhadap
kebenaran juga merupakan asas yang mencorakkan budaya dan pemikiran
golongan sekularis. Akibat langsung dari minda skeptik ini, sekularis
melihat agama bersama kitabnya tidak lebih dari suatu bentuk naratif besar
(grand-narrative) yang tandus sifat kekudusannya dan dapat dipersendakan
dalam permainan bahasa dan imaginasi kreatif yang mencampur-adukkan
realiti dan fantasi. Persoalan kebenaran dan kebolehan untuk bersikap
objektif akan diketepikan sebagai suatu yang mustahil untuk dicapai.
Golongan sekularis telah menggantikan prinsip-prinsip kebenaran dengan
beberapa prinsip baru, di antaranya prinsip ketiadaan suatu yang benar (no
truth), kehampaan, realiti (no reality), kegersangan makna (no meaning),
kepelbagaian (multiplicities), kesamarataan (equal representation) dan
keraguan yang menyeluruh (total doubt). Apa yang lebih menyedihkan lagi
ialah apabila prinsip ini meminggirkan nilai ketuhanan dan
menggantikannya dengan sesuatu bentuk pergantungan mutlak kepada rasional. Tegasnya
ta’akul rasional dijadikan sebagai pusat gravitinya.
Akibat prinsip-prinsip di atas mula bertapak kukuh dalam
pemikir-pemikir sekularisme dan pendokongnya, mereka terus melangkah untuk memastikan
prinsip-prinsip ini tidak akan mendapat saingan atau ancaman. Justeru
menyedari Islam sebagai satu-satunya agama yang mampu mengancam mereka,
maka tindakan untuk membunuh prinsip-prinsip, sistem-sistem dan
manifestasi-manifestasi Islam dilakukan dengan aktifnya oleh golongan ini.
Mana-mana ruang yang digunakan oleh pendokong-pendokong Islam untuk
menampilkan wawasan Islam akan dihancurkan. Golongan pejuang kebenaran Islam
akan dilabelkan dengan label-label yang jahat lagi hina. Lalu timbullah
tuduhan-tuduhan bahawa golongan pejuang Islam dianggap ekstrimis dan
ganas. Tidak cukup dengan itu, golongan sekularis akan sentiasa
menakut-nakutkan rakyat dan sesiapa sahaja yang mahukan kebenaran Islam.
Kononnya manusia dan dunia ini akan musnah jika golongan pejuang kebenaran
Islam diberi peluang untuk mentadbir dan memerintah dunia. Suatu yang
lebih menarik lagi golongan sekularis telah juga mewujudkan
institusi-institusi dan aliran-aliran gerakan yang menentang perjuangan Islam.
Institusi-institusi ini akan terus menerus berperanan untuk meliberalkan
pemikiran umat Islam dan menggantikannya dengan suatu pandangan hidup (world
view) yang berimejkan sekularisme.
Antara agenda sekularis yang berjaya dilaksanakan dalam masyarakat umat
Islam ialah seperti berikut:
1. Memburuk-burukkan wawasan Islam
2. Menakut-nakutkan kerajaan dan rakyat terhadap Islam dan gerakan Islam
3. Menggilap imej aliran dan gerakan yang menentang Islam · Menilai
gerakan Islam dengan pengalaman sejarah dan epistemologi Barat
4. Mengajukan beberapa strategi penting kepada kerajaan sekular
negara-negara Islam untuk membendung dan melemahkan kebangkitan Islam dari sudut
politik
5. Membantu kerajaan sekular dari sudut ekonomi agar ia memiliki
keabsahan di mata rakyat untuk terus berkuasa.
6. Memusnahkan secara langsung atau tidak langsung kekuatan Islam yang
mungkin akan muncul sebagai negara Islam samada di rantau Balkan maupun
di tempat-tempat lain di dunia.
Menyedari bahaya ‘octopus’ sekularisme yang begitu bercapah dan sulit
maka usaha untuk menghadapinya juga haruslah berbagai bentuk dan
menyeluruh. Gerakan yang menghalang proses sekularisme mestilah merangkumi
aspek pendidikan, sosio budaya, politik, ekonomi, pentadbiran,
undang-undang dan lain-lain .
Suara YDP
http://ulama.hypermart.net/