UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




JAWAPAN PUM KEPADA TULISAN DR CHANDRA MUZAFFAR

Kami merujuk kepada kedua bahagian artikel Dr Chandra Muzaffar bertajuk “Ulama, Dominasi dan Perubahan’ (Utusan Malaysia – 20/02/2002) dan “Dominasi Ulama Terhadap Agama” (Utusan Malaysia – 21/02/2002)

Chandra menuduh kami menolak mentah-mentah cadangan dari beberapa individu dan kumpulan untuk mengadakan dialog dengan para penulis yang dirujuk dalam memorandum kami kepada Majlis Raja-raja. Dalam membuat tuduhan tersebut, beliau jelas gagal memahami alasan dan objektif kami menghantar memorandum kepada Majlis Raja-raja.

Objektif utama kami adalah kami menuntut agar Majlis Agama Islam Negeri mengambil tindakan secara adil ke atas mereka yang melanggar undang-undang sedia ada yang melarang penghinaan ke atas Islam, Nabi dan ulama, termasuk mufti yang dilantik oleh DYMM Raja-raja.

Laporan telah dibuat kepada pihak berkuasa agama terhadap Akbar Ali dan Farish yang telah melanggar undang-undang tetapi tiada tindakan diambil ke atas mereka. Kami sendiri telah membuat laporan terhadap Akbar Ali kepada Jabatan Agama Islam Selangor pada 26 Disember 2000, iaitu hampir 14 bulan yang lalu, tetapi hingga kini kaMi belum mendengar sebarang maklumbalas dari mereka atau sebarang tindakan diambil.

Walaupun selepas laporan dibuat, beliau (Akbar Ali) tidak berhenti daripada terus cuba memperlekehkan ulama. Beliau telah menulis dalam kolum di akhbar tempatan menghina para Mufti yang dilantik oleh Raja- Raja, serta ulama. Beliau berkata: “mufties…are not thinking straight (mereka tidak berfikiran betul)” dan mereka “make fatwa which most of the people, including other ulama and mufti, do not follow (membuat fatwa yang mana kebanyakan orang, termasuk ulama dan mufti lain, tidak ikuti”, “many ulama themselves are purveyors of … pagan practices (ramai dari ulama sendiri punca kepada amalan jahiliyah)” dan “the ulama themselves are incapable of intelligent thought (ulama sendiri tidak mampu berfikir dengan cerdik)” [The Sun, 21 Februari, 2001]

Dalam merujuk perkara di atas kepada Majlis Raja-raja, kami mengharapkan satu tindakan akan diambil untuk memastikan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, yang malangnya berada di bawah kawalan para politikus, menjalankan fungsi dan tanggungjawab mereka secara jujur dan cekap tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana pihak. Setiap laporan hendaklah disiasat dan tindakan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang tanpa mengira kedudukan dan status individu yang berkenaan. Tentunya Chandra akan bersetuju bahawa tidak harus ada dewi-standard dalam penguatkuasaan undang-undang.

Kami terkejut dengan keputusan Chandra bahawa beliau beranggapan para penulis tidak bersalah menghina Islam. Daripada terus membuat penilaian sendiri, beliau seharusnya meminta pihak yang berkenaan untuk menyiasat laporan tersebut dan menyerahkan kepada pihak hakim bagi menilainya. Mungkin bagi beliau, tuduhan-tuduhan seperti melabel Rasulullah sebagai pemimpin suku dan ketaatan yang diberikan kepada Baginda oleh para pemuka Islam (termasuk para sahabat) adalah ketaatan kesukuan dan bukannya ketaatan agama; menganggap Islam hanyalah suatu wacana yang terbuka, boleh dicabar dan plastik; mendakwa bahawa Al-Quran tidak menghadkan bilangan isteri yang boleh dikahwini kepada empat – semuanya bukan merupakan satu kesalahan. Bagaimanapun, bagi majoriti orang Islam, termasuk kami, tidak berfikir sedemikian.

Chandra harus menyedari bahawa isu-oisu yang ditimbulkan dalam aduan tersebut bukan suatu pertikaian peribadi tetapi melibatkan integriti agama Islam dan peribadi serta status Rasulullah SAW. Oleh itu beliau ataupun PUM tidak berhak untuk membuat keputusan terhadap isu yang ditimbulkan dalam memorandum kami tersebut. Forum yang paling sesuai untk membuat penilaian sedemikian ialah Mahkamah Syariah. Kita tidak seharusnya mengambilalih fungsinya dengan mengadakan dialog terhadap perkara yang termasuk di dalam bidang kuasanya. Cadangan untuk mengadakan dialog tidak membawa sebarang makna kecuali sebagai umpan untuk mengalihkan perhatian umum daripada desakan kami agar perkara dalam aduan kami dilayan mengikut lunas undang-undang.

Objektif kedua kami adalah untuk mencadangkan kepada Majlis Raja-raja untuk menubuhkan suatu forum bagi membincangkan isu-isu berkaitan Islam yang melibatkan penafsiran Al-Quran dan Sunnah. Kami tidak percaya kepada penutupan perbincangan , namun kami sebaliknya juga yakin bahawa akhbar bukanlah media terbaik bagi tujuan tersebut. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan sebarang penafsiran semasa Al- Quran dan Sunnah sepatutnya mendapat peluang untuk membentangkan pandangan beliau di hadapan sebuah panel pakar, yang terdiri daripada ulama dan pakar dari pelbagai bidang untuk dibincang dan dirumuskan. Melalui mekanisme sedemikian, kita akan mampu mencapai kata sepakat dalam isu penting yang berkaitan dengan Masyarakat Islam tanpa menimbulkan sebarang kekeliruan kepada masyarakat.

Sebagai contohnya, Chandra telah memperuntukkan sebahagian yang agak besar dalam artikel beliau untuk membuktikan bahawa majoriti ulama tersilap dalam penafsiran ayat-ayat Quran berkaitan hukuman terhadap jenayah murtad serta poligami. Beliau berhak untuk tidak bersetuju dengan mereka dan kami menghormati beliau untuk berbuat demikian. Tetapi akhbar bukanlah forum yang sesuai untuk perbincangan dan permuiafakatan tentang isu sedemikian yang memerlukan kefahaman mendalam mengenai undang-undang Islam serta fiqh, dan yang paling utama, sifat tawadhu’ pada peribadi mereka yang terlibat dalam perbahasan berkaitan.

Chandra menuduh ulama ‘konservatif’ yang menerima “pandangan konvensional yang dibawa oleh para ulama terdahulu bahawa pintu ijtihad (penilaian bebas) yang dipandu oleh Al-Quran dan Hadith telah tertutup pada abad ke sembilan”. Ini adalah hujah yang selalu digunakan oleh para ‘modernis’ untuk menyerang para ulama dengan menuduh mereka sebagai golongan yang jumud dan berpandangan beku. Kami tidak bersetuju bahawa pintu ijtihad telah tertutup. Terdapat begitu ramai ulama yang mendalam ilmu mereka , ulung dan warak seperti Yusuf Al-Qardhawi, Bin Bazz, Muhammad Al-Ghazali dan lain-lain yang melakukan ijtihad bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang dihadapi umat kesan dari proses modernisasi yang ditunjangi Barat.

Pandangan kami yang bertentangan dengan pendapat Chandra ialah bukan semua orang, walaupun ada yang mempunyai pengetahuan mengenai Al- Quran, Sunnah, Sejarah Islam, dan lainnya mempunyai kemampuan untuk berijtihad. Dr M. H. Hashim Kamali dalam bukunya Principles of Islamic Jurisprudence, salah satu autoriti yang menjadi sandaran Chandra, dalam perundangan Islam, seorang mujtahid, iaitu orang yang mampu melaksanakan ijtihad, hendaklah seorang yang faqih. Pengertian ijtihad tidak termasuk usaha peribadi oleh orang biasa dalam merumuskan ahkam (hukum) , iaitu undang-undang, nilai-nilai dan ordinan-ordinan. Individu berkenaan perlu mempunyai sifat seorang yang lurus dan benar serta bersih daripada melakukan dosa dan masyarakat mempercayai penilaiannya. Keikhlasannya juga tidak dipersoalkan dan tidak dicacat oleh kepentingan diri. Ijtihad ialah suatu Amanah Yang Suci, oleh kerana itu sesiapa yang tercemar dengan kesalahan dan perbuatan maksiat adalah tidak layak untuk menjadi mujtahid.

Ketika menyeru supaya ada pentafsiran yang baru terhadap Al-Quran dan Al-Sunnah, Chandra menyandarkan pendapatnya kepada antara lain seorang pemimpin masionalis India, Maulana Abdul Kalam Azad. Beliau berhujah dengan kata-kata Azad, “mesej Islam adalah begitu universal sehingga pembahagian manusia kepada kasta, kelompok dan kepercayaan – yang mana seringkali dipersetujui ulama konvensional – adalah bertentangan dengan keimanan. Apakah yang dimaksudkan oleh Chandra dengan ‘pembahagian manusia kepada kasta, kelompok dan kepercayaan’? Beliau tidak menjelaskannya. Ulama tidak pernah membahagikan manusia kepada kasta. Pendapat sedemikian merupakan suatu pembohongan.

Terdapat pembahagian manusia berdasarkan kepercayaan mengikut apa yang ditetapkan dalam Al-Quran. Al Quran telah membahagikan manusia kepada Mereka Yang Beriman dan Yang Tidak Beriman. Kepada Yang Beriman Al-Quran telah menjanjikan syurga dan kepada Yang Tidak Beriman akan diseksa di neraka. Oleh itu, apakah asas Chandra dan Azad untuk mengatakan pembahagian manusia berdasarkan kepercayaan adalah bertentangan dengan Islam?

Orang Islam yakin bahawa Islam yang berteraskan doktrin Tauhid, iaitu percaya tentang keEsaan Allah, adalah satu-satunya agama sebenar. Kita tidak menerima bahawa semua agama menyeru kepada kebenaran yang sama. Doktrin Tauhid Islam tidak boleh disamakan dengan Doktrin Trinity Kristian atau doktrin dewa dan dewi serta karma dalam Hindu.

Azad, mungkin telah digerakkan oleh kepentingan politik beliau apabila menyeru kepada kesatuan semua agama. Beliau amat mengambil berat mengenai konflik, ketegangan, permusuhan, kebencian dan keganasan antara Hindu dan Muslim di India dan cuba untuk mencipta suatu asas teologi bagi mempersatukan mereka. Walaupun niat beliau baik, namun salah tafsiran beliau mengenai mesej Al-Quran boleh membawa kepada implikasi aqidah yang amat serius.

Kes Chandra dan Azad mengukuhkan lagi alasan kami untuk diadakan satu forum berautoriti bagi membincangkan dan menyelesaikan isu yang boleh membawa kepada kontroversi serta perpecahan di kalangan umat Islam. Terdapat ramai orang Islam ‘liberal’, ‘progresif’, dan ‘moden’ yang berniat baik dan mengenepikan konflik yang berpanjangan dan berkekalan antara yang hak dan yang batil .Mereka cuba memberi penerangan mengenai perbezaan yang terdapat dalam mesej Al-Quran dan kepercayaan agama lain. Dengan berbuat demikian mereka telah merugikan Islam dan menyebabkan timbulnya kekeliruan dan perpecahan di kalangan umat Islam.

Kita seharusnya jujur dengan rakan-rakan bukan Islam kita dan tidak wajar untuk membuat mereka mempercayai seolah-olah tidak ada perbezaan di antara Islam dan kepercayaan lain. Perbezaan bukanlah bermakna kita perlu memaksa mereka menerima Islam, mendiskriminasi atau mengisytiharkan perang ke atas mereka. Al-Quran telah mewajibkan orang-orang Islam berdakwah tentang Kebenaran tetapi ia melarang kita dari memaksa mereka menerima agama kita. Bagi mereka yang menolak kebenaran ini, Al-Quran mengajar orang-orang Islam untuk berkata, “Bagi kamu agama kamu dan bagiku Agamaku.” (Surah Al Kaafiruun : 6)

Abdul Ghani Shamsuddin
Yang Di Pertua Persatuan Ulama Malaysia
24 hb Februari 2002






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 27 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com