UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Chong Kah Kiat, PBRS dan PBS

Ketua Menteri Sabah, Datuk Chong Kah Kiat adalah KM Sabah yang ke 6 dalam sistem penggiliran KM yang diragui kesahihannya dari segi undang-undang negeri. Kerana ia diusulkan dan dibuat tanpa merujuk kepada Perlembagaan Negeri atau kuasa DUN Sabah terlebih dahulu. Setelah Datuk Chong terangkat jadi KM Sabah, pada awalnya banyak andaian negatif diberikan terhadap beliau. Namun, setelah berlalu beberapa bulan hingga kini, Datuk Chong melihatkan watak dan wajah seorang pemimpin negeri yang berwibawa, sederhana, tenang dan sangat berhati-hati dalam gerak kerja pentadbiran, juga pendekatan politik beliau.

Dapat dilihat pendekatan pentadbiran dan kepimpinannya bahawa tercermin nilai-nilai ketelusan, profesional, berhemah dan mesra rakyat. Tiga isu utama beliau kemukakan dalam pentadbirannya iaitu; usaha menangani isu warga asing/PTI, isu balak dan pembalakan dan ketiga isu alam sekitar. Kemudian beliau juga mencetuskan isu-isu sensasi yang berlaku dalam pengurusan kerajaan seperti sikap tidak telus dan tidak amanah sesetengah pegawai tinggi kerajaan misalnya dalam kes menyewa kereta mewah sehingga mencecah RM12,800 sebulan, projek kerajaan tidak siap dan sebagainya.

Datuk Chong Dan Kg Boronuon, Telipok

Namun, Datuk Chong seperti gagal menyelami isi hati dan suara hati rakyat Kg Boronuon, Telipok yang membantah pemindahan warga asing/PTI Pulau Gaya ke Kampung mereka. Kenyataannya bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan juga keputusan memindah penduduk Pulau Gaya yang diragui status kerakyatan mereka, benar-benar menguris hati kecil rakyat Sabah, khususnya rakyat Sabah di Telipok.

Padahal, rakyat termasuk individu, masyarakat kampung, pemimpin masyarakat, NGO's, ahli-ahli politik dan juga wakil rakyat BN Sabah sendiri ada yang menyuarakan protes dan juga kebimbangan terhadap pemindahan yang tidak restui oleh majoriti rakyat Sabah. Kerana, pelbagai isu akan timbul dari pemindahan penduduk setinggan Pulau Gaya ke tanah besar di Telipok. Sebab telah diketahui umum bahawa rata-rata penduduk setinggan yang menetap di Pulau Gaya itu kerakyatan mereka masih diragui. Mereka adalah warga asing atau PTI dari negara jiran Filipina kebanyakannya dan yang dipelihara oleh orang-orang politik khususnya orang UMNO itu sendiri demi untuk kepentingan politik mereka semata-mata.

Kita mengharapkan Datuk Chong tidak akan bertindak mengikut perkiraan emosi dan kebendaan semata-mata. Malah sebagai pemimpin negeri sewajarnya beliau meletakkan kepentingan rakyat terbanyak itu lebih utama daripada mengikut telunjuk para peniaga yang hanya berfikir soal untung rugi dunia mereka sahaja.

Yang lebih penting keselamatan dan keamanan rakyat mesti dijamin. Sensiviti rakyat lebih berharga dari sekadar memburu nama dan kedudukan di depan dua tiga kerat manusia yang berambisi.

PBS

Cerita PBS sudah tenggelam. Tidak lagi menjadi ribut, sebagaimana ulasan burung-burung 'tiong' UMNO/BN Sabah, dengan PBS sudah menjadi rakan dalam BN berakhirlah politik lompat dan tamatlah kehangatan politik Sabah. Satu markah bonus untuk kepimpinan Datuk Chong sebagai pengerusi BN Sabah dan KM Sabah.

Seolah-olah PBS masuk ke dalam BN itu adalah sebesar-besar rahmat bagi orang-orang politik UMNO/BN Sabah yang berotak 'pengampu', tukang kipas sate dan politik 'itik'.

Hakikatnya, politik Sabah jangan disangka seperti 'air tenang jangan sangka tiada buaya'. Begitulah episod politik Sabah tenang sekejap, panas cukup lama. Kes kerabat BN Sabah iaitu, PBRS pimpinan Datuk Joseph Kurup benar-benar membuka keaiban besar kepada BN Sabah dan Datuk Chong sendiri.

PBRS Serupa PBS?

PBRS adalah serpihan daripada PBS. Kata sahabat penulis buang huruf 'R' itu jadilah ia PBS. Dan keseluruhan kepimpinan PBRS itu sendiri adalah anak-anak kelahiran PBS. PBRS ditubuhkan dulupun semata-mata desakan kepentingan politik, kedudukan, kebendaan dan pangkat dikalangan beberapa kerat kepimpinan PBS yang tidak tahan dengan ujian dan pertarungan politik ketika itu.

PBRS awal-awal lagi mati sebelum masuk ke gelanggang politik sebenar. Dalam pilihanraya umum negeri tahun 1999 itu semua kerusi yang diperuntukkan kepada PBRS kalah kepada calon PBS. Presidennya sendiri beberapa kali menjadi calon atas tiket PBRS/BN tidak pernah menang. Ini adalah petanda bahawa kehadiran PBRS dalam politik Sabah seperti kata 'ada tidak menambah, tiada tidak berkurang' dalam politik Sabah dan BN Sabah sendiri.

Wajah dan wibawa kepimpinan Datuk Joseph Kurup itu sendiri tidak mengangkat martabat dan juga darjat politik PBRS. Bayangkan isu dalaman parti PBRS pun dia terpaksa belajar dan rujuk kepada Dr Mahathir. Dalam keadaan reputasi politik Mahathir yang sudah jatuh teruk di mata majoriti rakyat. Datuk Joseph pula meminta petunjuk dari Mahathir. Di mana sebenarnya kewibawaan Datuk Joseph Kurup untuk mengepalai sebuah parti yang di dalamnya ramai lagi yang lebih bijak, cerdik dan berwibawa. Kenapa dia tidak berani melawan Datuk Dr Jefry Kitingan secara demokratik dalam Kongres PBRS baru-baru ini.

Punca Sebenar PBRS Bermasalah?

Kerana takut jatuh dari kerusi empuk Presiden dan kuasa besar Presiden, inilah punca sebenarnya kenapa PBRS bermasalah. Manusia kalau sudah selalu di atas, selalu pula takut turun ke bawah. Takut hilang kuasa, pangkat dan kedudukan. Takut hilang kemewahan dan kebendaan yang dirangkul selama ini. Itulah nasibnya, seperti 'telor dihujung tanduk'. Padahal, kemuliaan bukan selamanya ketika kita di atas. Malahan kemuliaan lebih banyak dimiliki oleh orang yang berada dibawah.

PBRS adalah ibarat benih penyakit 'kanser' yang hidup semula dalam tubuh badan BN Sabah. Selamanya penyakit 'kanser' politik dalam BN Sabah tidak akan sembuh seperti sedia kala. Ia sekadar hilang sekejap, tapi akan datang semula, apabila ubat bius yang ditelan sudah habis bisanya.

Nasib 6 'Lompat Si Katak Lompat'

Kemasukan 6 ADUN PBS ke dalam PBRS yang diketuai Datuk Dr Jefry dulu, sepatutnya dilihat secara positif oleh kepimpinan PBRS yang diketuai oleh Datuk Joseph Kurup. Apatah lagi ketika itu PBRS tidak diwakili seorangpun ADUN dalam kerajaan negeri. Melainkan Datuk Joseph Kurup yang dilantik secara 'ihsan' oleh arahan 'sulit' Dr Mahathir kepada Osu Sukam semasa jadi KM 'ayam mati' dulu?. Dengan kemasukan 6 ADUN 'lompat si katak lompat' itu PBRS dengan sendirinya lebih banyak suara dalam DUN Sabah. Tetapi kerasukan dan 'gila' atau mabuk kuasa yang berada dalam diri batang tubuh Datuk Joseph Kurup telah membantut terus pengaruh PBRS dalam BN Sabah.

Pada penulis reputasi dan sinar PBRS tidak akan bertahan lebih lama dalam politik Sabah. Kerana dengan PBS sudah masuk BN lagi memalapkan sinar PBRS itu. Dengan UPKO pun PBRS masih juga dibayangi oleh kepimpinan Tan Sri B. Dompok selaku Presiden UPKO. Ketiga-tiga parti itu sendiri asas, teras dan tunjangnya ialah suku kaum Kadazandusun dan Murut. Walaupun ia bersifat parti pelbagai kaum. Mungkin umur PBRS tidak akan berpanjangan. Akan ke manakah ADUN PBRS 'lompat si katak lompat' itu melompat. Tidak mustahil mereka akan kembali juga ke bawah tempurung PBS.

Ibn Sabah,
6.2.2002M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 7 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com