UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Kenapa UMNO Gundah Dengan TPM Kedua???

Sabah: TPM Kedua Dan KM Wanita Pertama
* Idea bersifat global dan futuristik
* Mengejutkan lamunan panjang UMNO Sabah
* Ia bukan sekadar gimik
* Bonus politik untuk rakyat Sabah
* Hadiah besar rakyat Majmuk Malaysia
* UMNO tidak mampu melahirkan pemikiran baru ini

Politik Sabah dalam suasana dingin, tiba-tiba semarak kembali dengan tersiarnya berita konvensyen KeADILan Sabah selama sehari yang diadakan di sebuah Hotel di Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini. Sebelum itu, satu konvensyen Penerangan UMNO Sabah juga diadakan di Bandaraya Kota Kinabalu pada penghujung Januari lalu bertemakan 'Memperkasa Kembali Pemikiran Dalam UMNO' yang dirasmikan oleh Pak Lah Badwi. Kerana keperkasaan pemikiran orang-orang UMNO Sabah sudah lama hilang bisa dibaham sikap tamak haloba mereka terhadap keduniaan, kedudukan dan kemewahan semata-mata. Bunyinya besar bagai tin kosong.

Suasana politik dingin itu berubah sebaik Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah mencetuskan satu idea pembaharuan dalam budaya politik Malaysia yang terkongkong dibawah teraju parti UMNO/BN lebih 40 tahun lalu. Idea berani lagi bernas untuk rakyat Malaysia. Bahawa TPM Kedua untuk wilayah Sabah/Sarawak akan diwujudkan sekiranya BA berjaya memerintah negara ini. Idea ini adalah idea anak Malaysia yang berjiwa besar dan berjiwa majmuk. Kalau Mahathir boleh mencetuskan idea KM Sabah bergilir dulu tanpa merujuk implikasi undang-undang, ekonomi dan sosial. Secara kasar idea Mahathir dituruti oleh kepimpinan 'ayam mati' UMNO/BN di Sabah hingga kini, sekalipun ia belum dibahas dalam DUN Sabah.

Kenapa UMNO Sabah dan para pemimpinnya di Kota Kinabalu menjadi gelabah dan hilang pertimbangan dengan mengandaikan idea TPM kedua itu sebagai 'gimik' politik. Termasuk Setiausaha Politik kepada PM, Ustaz Haji Dasuki Ahmad mengulas secara rambang. UMNO Sabah selamanya tidak akan terbuka fikiran untuk melihat kebaikan-kebaikan yang dibawa oleh kelompok lain. Pintu hati dan akal mereka sudah tertutup rapat untuk melihat baiknya orang lain, tetapi mereka sekadar terpaku dan tergamam melihat liur-liur basi Mahathir dan Pak Lah Badwi. Orang-orang UMNO/BN di Sabah sudah menjadi kelompok manusia yang mati akal, mati jiwa dan tertutup hati...mereka sekadar melihat Mahathir, Pak Lah, Khalil Yaakub, Tok Mat.

TPM Kedua Satu Idea 'Politik' Baru

Tidak ada salah dan tiada juga berdosa bagi Dr Wan Azizah untuk mencetuskan idea yang bersifat futuristik dan global di tengah-tengah masyarakat majmuk Malaysia. Bagi penulis, idea dan cadangan serupa ini adalah satu pandangan besar seorang pemimpin anak Malaysia yang berpandangan jauh ke hadapan mendepani zaman.

Dr Wan Azizah adalah cermin seorang pemimpin unik boleh mencetus suatu pemikiran global dan menggambarkan sikap ketelusan seorang pemimpin nasional. Juga dapat dilihat bahawa kepimpinan BA bukanlah berwatakkan golongan gila dan tamak kuasa. Untuk merangkul segala kuasa dan kedudukan untuk dua tiga kerat orang yang berada disekitar mereka sahaja.

Setidak-tidaknya idea TPM kedua dapat membuka pemikiran rakyat majmuk Malaysia. Bahawa Malaysia bukan semata-mata milik Melayu UMNO/BN, bukan juga milik Mahathir dan Pak Lah dua orang itu.

TPM Kedua hendaklah dijadikan agenda BA dan wajar dimasukkan dalam kerangka manifesto BA pada pilihanraya akan datang. Ia juga harus dibahas dan dikupas sebagai satu gagasan besar dalam pembudayaan politik baru Malaysia. Jangan sekadar tempias bicara dalam media atau hiasan pinggiran.

Sarjana, pemikir dan intelek BA, NGO's dan rakyat hendaklah dirangsang untuk mendokong idea serupa ini, di mana akhirnya ia menjadi suatu realiti bagi rakyat Malaysia yang majmuk.

KM Sabah Wanita Pertama?

Ramalan dan fihrasat politik penulis, bahawa tidak mustahil suatu hari nanti KM Sabah adalah seorang wanita. Ini berdasarkan senario politik semasa di Sabah sekarang. Di Sabah, rakyat Sabah semacam sudah menerima 'musim' pertukaran iklim politik setiap 10 tahun atau dua penggal parti yang memerintah akan turun takhta. USNO/Perikatan lebih kurang 10 tahun (1963-76), Berjaya/BN (1976-85), PBS/BN (1985/86-90) dan PBS (1990-94). UMNO/BN yang berkuasa secara 'lompat-melompat' 1994, terus menang pilihanraya umum negeri pada 1999 dan diramalkan akan turun takhta pada pilihanraya umum negeri akan datang, jangkaan 2004. Namun, berdasarkan senario politik nasional hari ini adalah dijangkakan pilihanraya umum negeri Sabah akan diadakan lebih awal sebagai satu strategi politik UMNO/BN. Kerana para pemimpin UMNO/BN pusat mempercayai rakyat Sabah masih setia dengan Mahathir dan Pak Lah Badwi.

Sungguhpun, angan-angan UMNO/BN Sabah untuk terus kekal berkuasa semakin panjang. Ditambah dengan masuknya PBS ke dalam 'karung' BN. Lagi yakinlah mereka untuk terus menggilir-gilirkan jawatan KM itu. Dan dalam gelisah memikirkan tradisi politik Sabah yang akan berubah 10 tahun sekali, UMNO Sabah terus menghitung hari bila pilihanraya negeri patut diadakan. Bila KM Datuk Chong Kah Kiat mahu jumpa TYT bagi bubarkan DUN Sabah 2002 atau 2003 atau 2004?. Sempatkah Datuk Chong jumpa TYT untuk bubar DUN Sabah sebelum gilirannya tamat tempoh?. Atau nanti Musa Aman/Datuk Lajim/Datuk Wences/Datuk Pairin empunya giliran, siapa tahu.

Tetapi tradisi politik Sabah tidak siapa yang boleh menolak, selepas 10 tahun atau dua penggal parti pemerintah dipersilakan turun dari takhta. Mahu tidak mahu rakyat Sabah yang telah memilih parti pemerintah baru. Itulah adat tradisi politik di Sabah. Hanya qada qadar Allah jua yang menjadi penentu segala-galanya.

Dan, seandainya adat tradisi itu menjadi suatu kenyataan. Berdasarkan senario politik dan parti politik yang mampu menyaingi dominasi UMNO/BN di Sabah sekarang ialah BA/KeADILan Sabah. Mungkin ada lagi beberapa parti pembangkang yang berpengaruh di Sabah seperti Bersekutu boleh memperkuatkan barisan pembangkang di Sabah. Parti KeADILan Sabah dengan bantuan rakan BA PAS dan PRM, juga DAP Sabah setakat ini mempunyai prospek cukup cerah untuk mendominasi pemerintahan. Insya-Allah, tetapi KeADILan Sabah perlu berkerja lebih kuat, strategi politik yang sesuai dengan mood rakyat Sabah dan dokongan NGO's untuk mencapai cita-cita politik mereka. Sebagaimana amalan biasa dalam amalan demokrasi mana-mana parti yang menang majoriti akan dinobatkan sebagai parti pemerintah dan ketua atau presiden parti itu akan menjadi pilihan utama menerajui kerajaan sebagai KM. Berkebetulan Ketua Parti KeADILan Sabah, adalah seorang wanita. Maka tidak mustahil bahawa nanti Sabah akan menjadi negeri pertama di Malaysia berketuakan seorang wanita. Kita tunggu dan lihat. Yang penting UMNO/BN yang angkuh lagi takbur dengan kuasa itu mesti diturunkan dari takhta kuasa mereka di Sabah.

Kenapa UMNO/BN Mengharap Sabah

UMNO Sabah merupakan kubu terakhir bagi BN. Jadi Sabah mesti dipertahankan dengan apa cara sekalipun. Sebagaimana BN Sarawak diminta mempertahankan Sarawak dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu. Kedua-dua negeri ini sahaja lagi sisa-sisa kekuatan UMNO/BN pusat. UMNO/BN pusat menaruh harapan terlalu tinggi terhadap prestasi BN di Sabah dalam apa jua pilihanraya kecil atau umum. Penunjuk keyakinan BN di Sabah dapat dilihat dengan kehadiran berulang kali para pemimpin BN pusat di Sabah. Pantang ada acara besar peringkat negeri atau kebangsaan yang diadakan di Sabah, mereka para pemimpin UMNO/BN bersilih ganti datang sama ada untuk merasmikan atau majlis penutupan.

Setiap kali Mahathir, Pak Lah dan para pemimpin UMNO/BN pusat datang ke Sabah rakyat Sabah akan berpusu-pusu menyambut, apabila mendapat arahan, habuan dan pukauan dari pemimpin cawangan-cawangan atau Bahagian UMNO Sabah. Syarat utama kehadiran beramai-ramai itu mesti ada habuan, pengangkutan dan makan minum disediakan PERCUMA!!!

Itulah penunjuk rakyat Sabah masih setia berPM dan TPMkan Mahathir dan Pak Lah Badwi. Berbeza suasana itu di Semenanjung. Orang yang sanggup mengekori Mahathir dan Pak Lah ke serata tempat di Semenanjung adalah kelompok manusia 'pengampu' dan 'penjilat' yang mempercayai bahawa rezeki itu datangnya dari Mahathir al-Kutty dan Pak Lah Badwi. Di Sabah, kaki-kaki bodek dan kaki-kaki ampu seperti itu cukup banyak. Bila jumpa Mahathir dan Pak Lah sampai ada yang cium tangan, mungkin kalau suruh sujudpun ada yang mahu. Apakah pemimpin UMNO Sabah pernah cium tangan emak bapak mereka???. Tapi tangan zalim Mahathir dan Pak Lah sanggup mereka cium. Zalim kerana memenjarakan DS Anwar Ibrahim, mengISAkan pemimpin pembangkang dan menahan rakyat secara suka hati.

Akhirnya, segala-galalah rakyat Sabahlah yang akan menjadi hakim, menjadi pemegang kuasa dan yang berkuasa untuk memilih antara kaca atau intan, antara keadilan atau kezaliman, antara kesombongan atau kerendahan hati budi dan antara BA yang telus dengan BN yang rakus, rasuah, salahguna kuasa dan bermaharajalela dengan amalan tipu daya terhadap rakyat Sabah.

TERUSKAN PERJUANGAN
LAWAN TETAP LAWAN
LAWAN SAMPAI MENANG!!!

Ibn Sabah,
20.2.2002M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 21 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com