UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Kibar bendera parti tarik pelancong?

Oleh SUBKY ABDUL LATIF

DATO’ Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan pernah menegur supaya bendera-bendera parti politik tidak menghiasi wajah negara sepanjang masa baik di desa dan di kota. Terutama bendera lama yang usang, koyak rabak dipukul angin, tak berganti. Bendera itu kerana memalukan bila dilihat para pelancong yang mulai ramai itu.

Biasanya jika seseorang mengembara di negeri-negeri yang dikuasai oleh Barisan Nasional (BN), nescaya kelihatan di setengah tempat bendera PAS berkibar. Macam yang disindir oleh Dato’ Kadir tadi. Antaranya koyak dipukul angin dan pudar warna dimakan cahaya matahari. Bendera yang seperi itu biasanya bendera sejak pilihan raya dulu tidak diturunkan, dan sebenarnya tidak siapa pun bersungut. Tetapi selepas Dato’ Kadir bersuara, bendera UMNO pula naik di sebelah pantai timur iaitu di negeri-negeri yang dikuasai oleh PAS - Kelantan dan Terengganu.

Di Kelantan tidak lebat sangat, mungkin mereka percaya harapan untuk merampas Kelantan agak payah. Sekali negeri itu jatuh kepada pembangkang, untuk mengambilnya semula terpaksa melalui mewujudkan kerajaan campuran sekali lagi seperti tahun 1973. Bagaimanapun di Terengganu rakyat berpeluang mengenali rupa dan warna bendera UMNO dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Baik pengembara masuk ke Terengganu dari Kelantan atau dari Pahang nescaya masing-masing dapat melihat bendera UMNO berkibaran dari sempadan dan di sepanjang jalan perjalanan.

Bendera rasmi parti

Selama 40 tahun BN berkuasa di Terengganu bendera seperti itu jarang dilihat. Mungkin rakyat tidak kenal bagaimana rupanya bendera UMNO. Biasanya dalam pilihan raya yang diperkenalkan ialah lambang BN, bukan bendera UMNO. Tidak mustahil ahli-ahli UMNO mungkin tidak kenal bendera parti mereka. PAS juga demikian. Ahlinya kadang-kadang terlupa yang partinya ada bendera rasmi, kerana ia lebih mengenali lambang pilihan rayanya bulan berwarna putih di tengah latar belakang hijau tua. Ia hampir dijadikan bendera popular.

Adakah sesebuah negeri mesti jatuh ke tangan pembangkang seperti PAS, maka baru UMNO hendak menaikkan benderanya? Mungkin kena kalah dulu baru parti itu merasa perlu bendera dikibar. Itulah bezanya politik di Malaysia yang kaya dengan keunikan itu. Biasanya bendera dinaikkan kerana menang perang atau menang pertandingan, tetapi di Malaysia, parti yang menang tidak menyimpan benderanya lama-lama di tengah tempat awam, tetapi apabila kalah, mereka menaikkan bendera.

Mengikut yang betul yang sudah dibudayakan oleh dunia, yang dalam keadaan berkabung, bendera sepatutnya dinaikkan separuh tiang, hanya yang menang patut mengibarkan bendera di puncak tiang. Berlainan dengan PAS, kerana perjuangannya berlandaskan Islam. Islam mengajar umatnya bahawa Islam pasti menang. Justeru itu PAS berpegang walaupun ia kalah pilihan raya, tetapi ia mengira menang juga kerana Islam adalah agama yang tidak pernah kalah. Justeru itu mereka tidak kira masa menaikkan bendera.

Di Terengganu, di Besut dan Setiu, di Kemaman dan Dungun, sejak dua tahun kerajaannya tumbang bendera UMNO mulai terkibar, dari jauh kelihatan merah bercampur kuning. Paling ketara sejak setahun ke belakangan ini, mungkin agaknya selepas ia berjaya dan bangga dapat merampas wang royalti minyak, milik kerajaan dan rakyat negeri Terengganu.

Baru-baru ini saya ke Kemaman. Di jambatan Sungai Teluk Kalong saya lihat sebaris sebelum dan selepas jambatan itu berkibar megah bendera UMNO. Jangan dikiralah di sepanjang jambatannya. Di antara bendera UMNO itu diselang seli dengan bendera PAS. Bila dua-dua jenis bendera itu berkibar ditiup angin kencang, saya lihat ia sebagai satu hiasan yang cantik pula.

Saya teringat semasa saya bertanding di Kemaman tahun 1982. Pekerja yang diupah UMNO datang berjumpa saya minta poster PAS kerana mereka nak tolong pasang. Esoknya saya lihat tergantung di bandar itu poster PAS dan poster BN di satu tali berselang seli. Setelah hampir 20 tahun saya lihat kejadian yang sama. Dalam fikiran saya, ia mungkin suatu yang positif untuk keunikan harmoni masyarakat setempat dapat mempamerkan bendera mereka bersebelahan.

Saya tanya Ahli Dewan Undangan (ADUN) PAS Air Putih, Haji Ismail Harun, adakah ini cara Majlis Daerah Kemaman (MDK) menarik pelancong? Beliau ketawa dan menjawab bahawa dua minggu lalu ia lebih meriah, bendera KeADILan di sepanjang jalan ke bandar Cukai. Bila bendera Keadilan itu berkibar bersama-sama bendera PAS dan UMNO, memang ia suatu yang menarik perhatian.

Saya beritahu, elok juga pelawa PPP pasang sama bendera mereka dan lain-lain parti seperti MCA, MIC dan lain-lain. Sekalian yang ada ketawa seperti menyokong saja. Cuma seorang mencelah dengan berkata, kalau bendera PPP dikibar, nanti keliru menyangka bendera zionis dinaikkan di Kemaman. Berderai lagi tawa mereka. Saya terfikir, mungkin menghias bendera berbagai parti itu boleh menjadi satu tarikan pelancong. Bila pelancong datang mereka akan tertarik dan bertanya tentang bendera yang banyak itu.

Pemandu pelancong boleh menerangkan itulah kehebatan politik di Terengganu, perang bendera berterusan walaupun di luar musim pilihan raya. Kalau Dato’ Kadir datang menyaksikan hiasan bendera PAS UMNO di jambatan Jertih, Besut dan di Kemaman, jika dibuat secara teratur, tiangnya dari kayu yang diketam licin, dicat, dan bendera yang koyak dan yang usang warnanya ditukar, sudah tentu ia menarik perhatian.

Dan kalau ditambah lagi dengan bendera Keadilan dan lain-lain parti dikibarkan sepanjang jalan dari Besut hingga ke Kemaman, maka ia mungkin menambahkan keindahan pantai timur yang mulai dipenuhi hutan rumah batu itu. Mungkin Dato’ Kadir akan mengubah fikirannya meminta supaya dikibarkan bendera parti-parti politik di setiap jalan dan lebuhraya supaya dapat mengindahkan negara dan menarik perhatian para pelancong. Dan Terengganu kini memang banyak dikunjungi pelancong. Ini supaya bila mereka pulang mereka akan bercerita tentang negeri yang mencatat rekod terbanyak bendera, terpanjang dan terlama atau tidak pernah diturun-turunkan.

Mencatat rekod

Baru-baru ini penduduk sekitar Kuala Terengganu kehairanan, tak pernah berlaku selama ini tiba-tiba mereka melihat bendera umno menutup wajah bandar itu di setiap tiang tergantung megah bendera UMNO. Orang tidak tahu tertanya-tanya mengapa UMNO menyerang negeri Ayah Cik?

Orang dari Kota Bharu ke Kuantan dapat melihat di sepanjang Jalan Kamaruddin dan sepanjang jalan Batu Buruk melalui istana dan sampai ke jambatan Kuala Ibai, setiap tiang lampu berkibar bendera UMNO. Dengan wang ihsan yang banyak ia boleh membekalkan begitu banyak bendera.

Adakah untuk menunjukkan kekuatan kerana dua hari sebelumnya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, Haji Abu Bakar Chik, ahli exco kerajaan mengecam Perdana Menteri dan menteri-menteri pusat datang ke Terengganu seperti perompak dan tidak beradab. Datang tanpa memberitahu kerajaan negeri untuk acara rasmi. Adakah menaikkan bendera itu sebagai reaksi kepada ucapan itu?

Entah ya entah tidak? Tetapi bendera itu kerana menyambut Timbalan Perdana Menter Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang datang berbuka di sebuah masjid kayu Engku Sulung Kuala Ibai dan sebelumnya menyampaikan hadiah pelajar cemerlang Sekolah Sultan Sulaiman di sebelahnya. Kerana kegiatan petang itu UMNO Terengganu menaikkan bendera.

Apapun tujuannya itulah masalahnya, tetapi yang jelas di tengah tiang sepanjang jalan saujana mata memandang ia kelihatan indah dan menarik. Jika bendera PAS ada sama hari itu, Dato’ Seri Abdullah juga akan terasa ia lebih indah. Keindahan ini akan ada di negeri-negeri lain jika BN tidak menjadi kerajaan. UMNO akan berasa bertanggungjawab untuk mengenalkan benderanya sendiri.

.................................
Warta Darul Iman






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 4 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com