UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Isu disebalik penamatan kontrak Dr. Zaki

Oleh SUBKY ABDUL LATIF

KISAH penamatan perkhidmatan Prof. Dr. Muhamad Zaki Abdul Muin sebagai Ketua Eksekutif Institut Lanjutan Teknikal Terengganu (TATI) oleh Kerajaan Negeri telah menjadi satu isu yang dipolemik secara meluas dan tidak dapat disangkal bahawa ia telah menjadi isu politik yang menarik. Penamatan perkhidmatan itu adalah satu langkah pentadbiran bagi menyelesaikan perkara-perkara yang berbangkit di TATI sejak kedatangan Dr. Mohd. Zaki.

Banyak isu berbangkit dan ditimbulkan dalam perkembangan itu. Tetapi tidak dapat dielak kehadiran Dr. Mohd. Zaki dan pendekatannya menimbulkan masalah lain yang mengelirukan keadaan dan boleh mengganggu kelicinan dan kemajuan TATI. Beliau ada caranya dan Kerajaan Negeri pula ada cara dan kaedahnya. Apabila cara dan gaya kedua pihak tidak dapat ditemukan, maka langkah penyelesaian terpaksa diambil.

TATI adalah satu institusi pendidikan yang tidak boleh dikorban dalam perbedaan pendekatan pentadbiran itu. Dalam hal ini TATI adalah terletak di bawah Kerajaan Negeri. Buruk baik TATI adalah tanggungjawab yang mesti dipikul oleh Kerajaan Negeri. Dalam perbezaan ini Kerajaan Negeri terpaksa membuat pilihan bagi menamatkannya. Setelah mengambil masa beberapa bulan, perbezaan tidak juga boleh diatasi, maka Kerajaan Negeri mengambil keputusan yang dibuat sekarang.

Suasana panas demikian yang melibatkan banyak pihak pernah berlaku di Universiti Malaya (UM) di bawah pentadbiran Naib Canselor Prof. Dr. Syed Hussein Al Atas. Tidak dinafikan Prof. Syed Hussein adalah tokoh akademik rantau ini yang mempunyai nama besar di peringkat antarabangsa. Pemilihannya untuk menjadi Naib Canselor adalah untuk meningkatkan lagi imej dan prestasi universiti dan dari segi ketokohan adalah untuk mengimbangi nama besar Prof. Diraja Ungku Aziz yang sudah terpahat lama di universiti itu.

Tidak dinafikan bahawa Prof. Syed Hussein adalah seorang yang berwibawa dan dipercayai mempunyai banyak idea untuk memaju dan memodenkan universiti itu dalam pelbagai aspek. Tetapi kehadirannya menimbulkan masalah di kalangan tenaga akademik dan masyarakat kampus lainnya. Bukan ilmunya kurang dan bukan kebijaksanaannya tidak ada, tetapi masalah kemanusiaan dan hubungan di kalangan warga kampus juga adalah suatu yang penting dalam keharmonian universiti itu.

Kadang-kadang masalahnya tidak besar sangat. Dalam kes Prof. Syed Hussein antara yang dibangkitkan ialah pembelian permaidani. Beliau membeli permaidani untuk universiti dari kawannya. Hubungannya yang baik dengan peniaga permaidani memberi peluang kepadanya mendapat harga murah. Tetapi kalau permaidani itu dibeli oleh universiti, harganya dipercayai berbeza. Demi menjimatkan perbelanjaan, logiknya, permaidani itu dibeli atas namanya dan menggunakan resit atas namanya. Pentadbiran ada caranya yang tersendiri. Ia kena nama universiti juga.

Akhirnya perkara-perkara yang kelihatan sangat senang untuk diselesaikan itu tidak dapat diselesaikan. Penyelesaian kampus itu ialah dengan tidak menyambung perkhidmatan Prof. Al Atas. Sama ada Prof. Al-Atas jadi Naib Canselor atau tidak jadi Naib Canselor, universiti itu tetap ada masalah. Tetapi masalah-masalah itu adalah perkara yang mesti diselesaikan oleh Naib Canselor. Jika masalah yang besarnya ialah Naib Canselor, maka siapa pula yang hendak menyelesaikannya, kalau tidak Naib Canselor itu digantikan.

Dalam hal TATI, bukan ilmu Dr. Mohd. Zaki dan ketokohannya yang menjadi masalah. Tetapi beliau tidak boleh bekerja dengan setengah orang dalam Kerajaan Negeri dan di kalangan orang-orang yang ada kepentingan di kampus itu. Isu kononnya ada peralatan TATI diserahkan kepada saudagar di Lembah Kelang adalah satu isu yang lain. Adalah dipercayai TATI mempunyai banyak masalah dan kelemahan yang perlu diselesaikan. Ini tidak bererti tidak ada yang baik di TATI. Yang baik akan diterus dan ditingkatkan. Tetapi kelemahan yang ada mesti dibetulkan.

Isu TATI

Isu jentera yang diserahkan kepada orang Lembah Kelang itu dan apa juga kelemahan yang ada di TATI boleh ditangani satu demi satu mengikut bentuk dan keadaannya. Mana yang patut diselesaikan oleh BPR, ia akan diuruskan oleh BPR. Mana yang patut diperhatikan oleh ketua eksikutif yang baru, maka biarlah dia saja mengendalikannya. Negara kita adalah sebuah negara yang ada juru odit bertauliah. Jika odit boleh membongkar perjalanan PPRT, maka apa pula yang boleh menghalang odit membuat laporan perjalanan TATI yang terletak di bawah Kerajaan Terenggau yang ditadbir oleh PAS.

Semua mata memang untuk melihat kelemahan dan kesalahan Kerajaan Terengganu dan Kelantan. Yang tidak salah seperti pentadbiran wang royalti minyak cuba dikatakan salah, inikan pula yang betul-betul salah. Atas persepsi ini, sebarang penyelewengan pentadbiran kerajaan Terengganu tidak akan dibiarkan begitu saja. Ada mata-mata akan memerhati dan melaporkannya.

Perlantikan Dr. Mohd. Zaki sudah tentu atas kepercayaan untuk membantu TATI mengatasi kelemahan jika ada. Dan dipercayai Dr. Mohd. Zaki sudah tentu ada pandangannya tentang masalah di kampus itu. Tetapi TATI bukan masalah seorang ketua pentadbirnya saja. Ia ada lembaga dan ia ada Tuan. Kerajaan Negeri Terengganu tidak berhajat untuk memecat sesiapa. Cukuplah menggantikan Dato’ Che’ Mat Jusoh dengan Dato’ Senara Muda sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri pada ketika ia mula mengambil kuasa dulu. Ia tidak mahu ada lagi kejadian seperti itu kalau boleh.

Kerajaan yang ada adalah sebuah kerajaan yang berazam untuk bergerak atas landasan pentadbiran yang telus dan akan sentiasa mendengar nasihat dan pandangan ahli pentadbiran. Dan pentadbiran itu adalah satu pentadbiran yang hidup dan maju dari semasa ke semasa. Dengan ilmu dan pengalaman pentadbiran yang ada pada para pegawai, kerajaan mahu supaya kaedah pentadbiran Islam yang terabai selama hampir 80 tahun dengan kedatangan penjajah Inggeris dihidupkan semula.

Pentadbiran Islam yang mengenal dosa dan pahala, dihidupkan semula dan digandingkan dengan pengalaman dan idea pentadbiran Barat, wujud satu pentadbiran yang selesa untuk negeri ini. Justeru itu peranan ahli teknokrat begitu penting dalam kerajaan Terengganu dan nasihat serta pandangan ahli pentadbiran diberi perhatian. Hal ini menjadi perkiraan dalam tindakannya di TATI. Tetapi apa jua perubahan yang TATI hendak lakukan mestilah difahami, diketahui dan difahami oleh lain-lain pihak yang ada kaitan dengan TATI. Persefahaman itu agak penting.

Nabi Khaidhir dianugerah Allah dengan ilmu yang orang lain dan nabi lain tidak mengetahuinya. Nabi Khaidhir ada caranya sendiri menangani masalah yang dihadapinya dan tidak memberitahu kepada Nabi Musa apa yang akan dilakukannya. Dalam keadaan Nabi Musa tahu bahawa Nabi Khaidhir adalah Nabi dan tidak akan membuat perkara yang tidak betulpun Nabi Musa terpaksa membantah tindakan Nabi Khaidhir.

Nabi Khaidhir terpaksa pula menerangkan tindakannya untuk difahami oleh Nabi Musa. Tetapi teguran Nabi Musa tidak salah. Memang syariat Nabi Musa begitu, iaitu mesti menegur dan mencegah apa yang didapatinya tidak betul pada pandangan dan syariatnya. Maka dalam keadaan ini Nabi Khaidhir saja yang boleh bertindak tanpa memaklumkan kepada orang lain terlebih dahulu, disebabkan orang lain tidak tahu apa yang dia tahu. Lain dari Nabi Khaidhir mestilah bertindak dengan kaedah yang orang lain boleh faham.

Isu Dr. Mohd. Zaki dipercayai boleh diredakan dan Dr. Mohd. Zaki boleh terus memberi komen dan pandangannya tentang TATI dan bagaimana memajukannya, supaya boleh diperhatikan oleh ketua pentadbirnya yang baru. Yang penting ialah TATI mesti terus maju dan boleh membekalkan tenaga mahir bukan sekadar untuk keperluan Terengganu, bahkan untuk manfaat negara dan rantau ini seluruhnya. Apa pun yang berlaku memberi peluang kepada pelajar-pelajar ilmu pentadbir menambah pengetahuan dan pengalaman tentang pentadbiran ekoran dari polemik penamatan khidmat Dr. Mohd Zaki di TATI.

..................................
Warta Darul Iman






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 7 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com