UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Pimpinan Kerajaan buat perubahan matlamat dan dasar

Muqaddimah

Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) akan memainkan peranan untuk berusaha ke arah menjadikan Kuala Terengganu bandaraya Islam pertama di Pantai Timur. Sudah tentu tanggungjawab itu akan dipikul sedaya upaya dan sebaik mungkin oleh Yang Dipertuanya (YDP), Dr. Haji Sulaiman Abdullah dan kakitangannya.

Pengarang WARTA, SUHAIMI TAIB menemui beliau di pejabatnya di Tingkat 8, Menara Permint, Kuala Terengganu baru-baru ini untuk memgetahui visi dan misi terbaru MPKT. Ikuti wawancara sepenuhnya dengan YDP MPKT.

WARTA: Yang Berhormat (YB) baru saja diamanahkan sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT). Sudah tentu YB ada idea, misi dan visi tertentu untuk memajukan lagi jabatan yang baru YB duduki ini?

Dr. Haji Sulaiman: Visi saya ialah menjadikan Bandar Kuala Terengganu sebagai satu bandar sejahtera dari sudut kerohaniannya, intelektual, emosional dan fizikal. Kesejahteraan itu sudah pasti berteraskan Islam.

Di peringkat permulaannya apakah perubahan yang ingin YB lakukan selepas memegang jawatan YDP MPKT?

Pertamanya dari sudut kebersihan dan yang kedua keceriaan. Kebersihan yang penting sekarang ini ialah sistem pelupusan sampah. Itu menjadi keutamaan dan yang kedua dari sudut keceriaan terutama sekali di taman-taman untuk rekreasi dan tempat rehat orang ramai di pinggir jalan. Ini adalah area fokus kerja saya yang awal dan saya ingin melihatkan bahawa ini dapat dijalankan dengan sempurna secepat mungkin.

Kerajaan Negeri bercadang menjadikan Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Islam pertama di Malaysia. Bagaimana perancangan atau tindakan dibuat oleh MPKT sesuai dengan tujuan tersebut?

Untuk menjadi Kuala Terengganu sebagai bandaraya Islam, kita mestilah mengadakan satu perancangan yang menyeluruh atau syumul yang melibatkan segala aspek kehidupan manusia di bandar ini. Sementara MPKT mempunyai tumpuan kerja kepada kebersihan, keceriaan dan juga dari segi mengatur pembangunan supaya menjadi baik dan teratur. Tetapi aspek-aspek lain sebenarnya tidak menjadi tumpuan kerja MPKT misalnya dari sudut memakmurkan masjid, mengadakan majlis-majlis ilmu, menghapuskan penagihan dadah dan gejala sosial.

Tetapi perancangan yang menyeluruh perlu dibuat untuk merealisasikan satu bandaraya Islam. Dalam hal ini Insya Allah, MPKT ambil inisiatif supaya bandaraya itu akan diwujudkan. Satu perancangan yang menyeluruh untuk membangun bandar Kuala Terengganu ini perlu dibuat supaya benar-benar menjadi sejahtera daripada segala aspek tersebut.

Di Republik Islam Iran masjid menjadi pusat pembentukan struktur sesuatu bandar di mana setiap bangunan dapat melihat dengan jelas struktur bangunan masjid dari setiap sudut untuk menggambarkan kepada masyarakat bahawa masjid adalah pusat pembangunan insaniah negara itu. Bagaimana pula bandar Kuala Terengganu?

Kalau kita wujudkan bandar baru, boleh kita fikirkan struktur bandar sedemikian. Sekarang ini kita bercakap bandar Kuala Terengganu suatu bandar yang sudah sedia wujud. Kita sudah ada prasarana-prasarana seperti masjid, pasar, pasaraya dan taman-taman rekreasi dan seumpamanya. Sekarang ini persoalan timbul ialah bagaimana kita menggunakan segala prasarana itu untuk merealisasikan ubudiah kepada Allah SWT.

Kita menerima segala struktur yang ada sekarang ini dan mana-mana perubahan ke arah menampilkan lagi imej Islam dari sudut struktur fizikal pembangunan itu akan dilaksanakan dari semasa ke semasa. Tetapi saya rasa yang lebih penting untuk mewujudkan bandar Islam ialah aktiviti manusia itu menggambarkan aktiviti orang-orang beragama di sesuatu bandar itu atau ‘Madaniyy’.

Justeru itu, apakah model yang boleh diambil untuk membentuk bandaraya tersebut?

Kita ada model sejarah (historical model). Yang pertama ialah bandar Madinah al-Munawwarah di mana semua mengiktiraf bahawa Madinah sebagai Bandaraya Islam. Tetapi yang lebih menunjul di zaman Rasulullah S.A.W. ialah dari sudut intelektual dan spiritualnya. Dari segi pembangunan fizikal, tidak ada apa yang boleh dibanggakan. Satu bandar lagi ialah Bandaraya Islam Kordova di zaman kegemilangan Islam.

Ia wujud di zaman ketinggian tamaddun kebendaan Islam. Mereka boleh memperlihatkan susunatur struktur bangunan dari sudut arkitektur, kebersihan dan sebagainya. Ia juga digambarkan dari sudut intelektual dan kerohanian di samping kebendaan. Mungkin sudut intelektual dan kerohanian agak menurun berbanding kebendaan pada masa itu. Kita merasakan bahawa tidak adalah bandaraya Islam yang menjadi model yang sempurna tetapi Insya Allah kita akan mengambil ciri-ciri keislaman di seluruh dunia, tidak kira dari bandaraya orang Islam ataupun bandaraya orang bukan Islam. Kita akan kumpulkan untuk membentuk satu bandaraya Islam yang dicita-citakan.

YB adalah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekaligus sebagai orang politik. Difahamkan orang politik pernah dilantik sebagai YDP MPKT suatu masa dahulu. Soalnya bagaimana YB mengendalikan semua urusan ini?

Dalam suasana kerja yang banyak ini kita mesti bijak mengendalikan semua urusan kita dengan memberikan keutamaan kepada sesuatu yang perlu dan mustahak terlebih dahulu. Jadi, kita mesti bijak mengenalpasti keutamaan dan kita juga mesti bijak mengendalikan kuasa dan memberi tanggungjawab untuk mengendalikan sesuatu kepada orang-orang yang bertanggungjawab. Kita memantau dan mereka melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Masalah yang timbul ialah dari segi pengurusan. Kalau tanggungjawab itu sedikit tetapi tidak bijak mengurus tidak menjadi juga.

Masalah kebersihan dan kecantikan bandar antara tanggungjawab yang dipikul oleh MPKT. Apakah perancangan YB dalam masalah ini?

Saya telah minta pegawai berkenaan memberikan pandangan bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah kebersihan terutama dari segi pelupusan sampah dengan kos yang minima. Kita akan mendapatkan laporan dari mereka yang berkenaan dan akan bertindak dengan segera bagi menyelesaikan masalah tersebut. Dari segi keceriaan bandar kita akan menyelesaikan masalah itu dalam masa sebulan manakala kebersihan pula dalam masa seminggu. Kita akan mengambil segala langkah yang perlu untuk memastikan bandar kita ini ceria.

Difahamkan kakitangan MPKT agak berlebihan. Benarkah apa yang dikatakan itu? Jika benar apa tindakan YB selanjutnya?

Perkara ini, saya tidak dapat pastikan lagi. Sekarang ini saya sedang melaksanakan program takruf dan taklimat dengan ketua-ketua jabatan dan belum lagi selesai. Jadi saya dalam proses untuk mengenal organisasi dan selepas ini kita akan mengadakan penyusunan. Kalau sebenarnya ada kelebihan pekerja, kita perlu mewujudkan aktiviti kepada pekerja supaya tidak menganggur ataupun kurang produktif. Pekerja yang ramai, ia merupaka satu aset. Soalnya bagaimana kita menguruskan aset ini untuk menyalurkan khidmat kepada bandar Kuala Terengganu.

Bagaimana perancangan YB ke arah menjadikan Kuala Terengganu bandar bersih dari judi dan maksiat?

MPKT akan memainkan peranan untuk mengadakan ‘smart partnership’, bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, NGO, swasta dan juga institusi masyarakat. Sebenarnya kita mahu mengajak seluruh lapisan masyarakat untuk mengadakan satu kerjasama atau smart partnership ke arah membersihkan bandar kita ini dari segala unsur maksiat atau gejala sosial dan sebagainya. Saya memberi contoh, satu langkah yang akan kita laksanakan ialah kita mahu mengadakan seminar memakmurkan masjid secara besar-besaran.

MPKT akan mengetuai program ini dan akan dibantu oleh mungkin Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang akan menyediakan prasarana, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu yang akan menyediakan dari segi pengendalian urusetia mesyuarat dan satu badan swasta akan menyumbang dari segi perbelanjaannya, seorang intelektual Islam akan memberikan idea bagaimana kita mahu mewujudkan seminar ini dan seterusnya melaksanakan hasil daripada seminar tersebut.

Inilah satu konsep smart partnership yang saya sebutkan tadi. Segala masalah yang mahu diselesaikan kita akan cuba mewujudkan kerjasama smart partnership dalam menangani segala masalah berkenaan dengan bandaraya ini. Dari aspek-aspek pembangunan juga hendak kita beri penekanan.

Berhubung dengan usia dua tahun Kerajaan Terengganu di bawah PAS apa yang YB rasa rakyat sudah mula menerima perubahan-perubahan ke arah merealisasikan cita-cita membangun menurut Islam?

Ada sebahagian kecil rakyat mengatakan semuanya tidak ada perubahan. Sebenarnya perubahan yang mahu dilihat adalah perubahan fizikal yang mudah nampak. Perubahan yang asas dan penting telah berlaku terutama sekali perubahan dalam matlamat atau dasar kerajaan. Dasar kerajaan sekarang ialah membangun menurut Islam dan kemajuan itu mencapai tahap al-Falah. Ini adalah perubahan besar. Yang kedua aialah dari sudut saf kepimpinan.

Kepimpinan orang sudah terbukti bertaqwa kepada Allah S.W.T., mereka yang bersungguh-sungguh dan beristiqamah untuk melaksanakan dasar-dasar Islam, maka ini merupakan satu perubahan besar. Kita telah mengemaskinikan organisasi dari sudut pentadbiran semua peringkat supaya berkemampuan untuk melaksanakan perubahan-perubahan yang mungkin nampak.

Perubahan yang jelas nampak tidaklah begitu banyak di peringkat awal pentadbiran baru kerajaan. Tetapi selepas ini Insya Allah kita akan lebih nyata dan saya rasa yang penting sekali bandar Kuala Terengganulah yang sepatutnya menampakkan perubahan yang paling awal. Perubahan bandar adalah penting kerana ia merupakan imej pentadbiran negeri Terengganu.

Apa pesanan YB kepada kakitangan MPKT?

Kita mempunyai matlamat cara bekerja yang betul, Jadi saya meminta seluruh kakitangan MPKT memahami hasrat dan cita-cita kita. Cita-cita ini adalah cita-cita bersama bersesuaian dengan iman yang kita anuti dan Islam yang kita cintai. Ini adalah wawasan bersama. Kita di MPKT ini memikul tanggungjawab yang sangat penting dan strategik untuk melakukan perubahan.

Jadi, saya menyeru kepada seluruh warga MPKT supaya memberi kerjasama yang penuh dan taat setia yang penuh dalam perkara-perkara yang diizinkan oleh Allah, mematuhi atau mengikut adab-adab berorganisasi supaya kita menjalankan tugas kita ini dengan sempurna dalam keadaan aman dan sejahtera.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 9 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com