UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Pak Lah sedarjat dengan pemikiran JKKK

Oleh SUBKY ABDUL LATIF

BAGAIMANA boleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menempelak kerajaan negeri Terengganu kononnya menolak rancangan pembinaan 23 buah sekolah yang dibiayai oleh Kementerian Pendidikan? Justeru itu beliau diberitakan bercadang untuk memberi peruntukan itu ke negeri lain.

Kenyataan beliau itu telah disiarkan oleh Televisyen (TV), radio, akhbar-akhbar dan diterima begitu sahaja oleh seluruh rakyat. Setahu saya Kerajaan Negeri Terengganu tidak menolak cadangan itu walaupun ia tidak dibincangkan dengan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri hanya mengetahui apabila ia diminta meluluskan tanah bagi dijadikan tapak sekolah-sekolah tersebut.

Dalam banyak hal kontraktor-kontraktor lebih dulu tahu dan lebih banyak tahu tentang cadangan projek-projek itu dari Kerajaan Negeri, malah kontraktor-kontraktor itu pula yang datang mencari dan meminta tapak itu diluluskan. Tapak-tapak itu ditentukan oleh kontraktor, bukan dibincangkan terlebih awal dengan Kerajaan Negeri oleh Kerajaan Pusat atau oleh Kementerian Pendidikan.

Yang menjadi perhatian penting saya kali ini ialah tentang kenyataan Dato’ Seri Abdullah dalam perkara itu. Beliau adalah Timbalan Perdana Menteri yang latar belakangnya seorang bekas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang agak kanan sebelum terjun ke arena politik. Jika beliau tidak masuk politik, maka dipercayai beliau antara calon Ketua Setiausaha Negara (KSN). Mungkin Tan Sri Ahmad Sarji dan Tan Sri Abdul Halim Ali tidak berpeluang untuk menjadi KSN.

Saya masih ingat betapa Tan Sri Abdullah Ayub, bekas KSN yang ketika menjawat jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam menyebut kepada saya tentang kecemerlangan perkhidmatan Abdullah Haji Ahmad. Ketika itu Abdullah yang kini dikenali sebagai Abdullah Badawi itu adalah Pegawai beliau di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Saya beri tahu perkara itu pada Abdullah. Beliau sangat gembira mendengarnya.

Dengan latar belakang itu anak dan cucu tok guru diharapkan boleh menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri yang nantinya berbeza dengan orang-orang yang tidak mendapat latihan sebagai pegawai PTD seperti Tun Hussein Onn, Tun Ghafar Baba, Dato’ Seri Dr. Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim misalnya.

Mereka tidak pernah menjadi pegawai tadbir, maka mereka adalah orang politik seratus peratus. Mereka tidak diasuh dengan budaya dan akhlak Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Orang yang dilatih di INTAN sepatutnya kurang khayalan politiknya. Dato’ Abdullah bukanlah seorang yang martabatnya seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang boleh bercakap ikut apa yang mereka dengar dan apa yang mereka tahu saja.

Beliau mesti sedikit sebanyak mencerminkan apa yang dialami semasa menjadi pegawai tinggi kerajaan dulu. Beliau patutlah menjaga nama baik dan imej PTD atau dulunya dipanggil MCS yang dihormati itu. Lihat Tun Razak dan Tan Sri Musa Hitam yang juga pernah jadi pegawai tadbir, walaupun mereka juga acap mengucapkan kalimah provokasi, tetapi tidak pula mereka meletakkan diri hampir setingkat dengan JKKK.

Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak pernah mengenepikan Dato’ Asri yang menjadi Menteri Besar Kelantan dan Dr. Lim Chong Eu ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang semasa Gerakan sebagai pembangkang. Beliau bertemu dan berbincang. Kedua-duanya adalah ketua majlis keselamatan di negeri masing-masing. Dato’ Abdullah Ahmad Badawi datang ke Terengganu mendengar laporan dari pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu dan kontraktor-kontraktor. Adakah apa yang diberitahu kepadanya itu tepat?

Sepatutnya beliau bertanya sepatah dua dari Menteri Besar Terengganu bahawa Kementerian Pendidikan memerlukan tapak sekolah. Bolehkah Kerajaan Negeri sediakan tanah yang secukupkan di tempat-tempat yang strategik supaya mudah bagi ibu bapa tidak menghantar anak-anak jauh dari rumah?

Tapak strategik

Dan bertanya adakah kawasan-kawasan baru yang memerlukan sekolah? Atau kalau tanah yang diminta lambat diproses, tanya mengapa tidak dapat disegerakan? Dato’ Seri Abdullah datang ke Terengganu memadai mendengar maklumat dan nasihat dari orang-orang UMNO Terengganu yang setakat ini tidak dikira layak untuk menjadi pemimpin di Terengganu. Jika mereka berwibawa dan berkelayakan, sudah tentu mereka tidak mengambil seorang anak Kepala Batas menjadi pemimpin UMNO Terengganu.

Kebanyakan mereka adalah orang yang sebok mencari contoh pagar terbaik untuk sekolah-sekolah di negeri itu. Jika mereka mendesak Timbalan Perdana Menteri untuk menggunakan pengaruh menyegerakan projek sekolah-sekolah baru itu, maka sementara menunggu kelulusan tapak dari kerajaan negeri, minta saja mereka menyiapkan pagar-pagar sekolah di seluruh Terengganu. Setakat ini kontraktor-kontraktor itu hanya diberi kerja membuat pagar di depan sekolah saja - yang berdepan dengan jalan besar depan sekolah. Kiri, kanan dan belakang sekolah pakai pagar lama atau tak berpagar. Hanya sesuku saja yang berpagar. Baki tiga suku belum berpagar.

Membina pagar sekolah jauh lebih senang dari menunggu kelulusan tanah. Jika wang ihsan cukup, pemberi wang ihsan boleh lulus jika ia mahu atau menolak jika ia mahu. Tetapi mendapatkan tanah tapak, tertakluk kepada peraturan yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Setiap tanah mesti diproses dulu oleh pejabat tanah. Setakat ini, mengikut keterangan Pejabat Menteri Besar Terengganu yang meminta angka sebenar dibetulkan ialah sebanyak 54 tapak sekolah dipohon oleh Kementerian Pendidikan dari Kerajaan Negeri. 32 sudah pun diluluskan.

Setakat ini baru dua saja yang ditolak iaitu di Pelagat kerana bertindih dengan rancangan perumahan dan Nyiur Tujuh kerana ia adalah tapak padang permainan. Peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat ialah mana-mana tanah tapak permainan tidak boleh disentuh. Manakala 20 permohonan lagi belum tiba ke meja mesyuarat kerajaan (Exco) untuk ditimbangkan. Justeru itu persoalannya sekarang adalah belum diluluskan atau lambat diluluskan, bukan ditolak.

Dato’ Abdullah berkata, Kerajaan Negeri Terengganu tolak. Dan beliau memberi angka-angkanya. Di mana beliau dapat angka itu? Dan angka itu pula berbeza dengan yang ada dalam fail Kerajaan Negeri. Bagaimana ada perbezaan? Ini adalah mencerminkan betapa wujud jurang dan kerenggangan antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Ia berlaku kerana Kerajaan Pusat mengambil sikap memulaukan dan mendiskriminasi Kerajaan Negeri.

Kerajaan Pusat melarang pegawai Kerajaan Pusat berinteraksi dengan kerajaan dan pegawai kerajaan negeri. Perdana Menteri dan timbalannya tidak mahu menerima permintaan Menteri Besar menemuinya. Menteri Pendidikan pun tidak menunjukkan inisiatifnya untuk bertemu dengan Kerajaan Negeri. Mungkin perkara ini mudah diselesaikan jika Dato’ Kadir Syeikh Fadzir menjadi Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Pendidikan. Beliau adalah antara yang awal berunding dengan Kerajaan Negeri Terengganu untuk menyelaraskan rancangan kebudayaan dan pelancongan.

Dalam sebuah masyarakat yang maju, bebas dan berwibawa, jika dibuktikan Timbalan Perdana Menteri atau mana-mana menteri membuat kenyataan yang tidak berasas, maka tekanan dikenakan supaya dibetulkan rekod, malah disuruh berhenti dari jawatannya. Tapi dalam politik masyarakat yang tidak bermaruah, pemimpin yang sedarjat dengan JKKK diberi penghargaan. Yang menjadikan TPM dilihat begitu rendah sekarang ialah kerana beliau mendapat nasihat yang salah dari pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu dan kedua dia mendengar pula nasihat itu.

Ternyata pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu tidak membantu ketuanya untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa dan dihormati. Jika beliau tidak dilihat besar dan berwibawa ia adalah kerana penyokongnya di Terengganu tidak mahu dia menjadi bakal Perdana Menteri tunggal.

.......................................
Warta Darul Iman






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com