UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Pimpinan Negeri sedia berunding dengan PM

SETIU: Pemimpin Kerajaan Negeri sedia bertemu dan berunding dengan Perdana Menteri untuk membincangkan perbezaan dan masalah antara kedua pihak. Bagaimanapun sehingga ini Perdana Menteri tidak pernah menjawab permintaan Kerajaan negeri untuk mengadakan pertemuan. Menteri Besar memberitahu demikian kepada kakitangan kerajaan Daerah Setiu dalam Dialog Perdana yang diadakan di sini baru-baru ini.

Dalam siri Dialog Perdana menjelang sambutan ulang tahun kedua kerajaan baru, Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengadakan siri Dialog Perdana di setiap daerah bermula dari Daerah Setiu. Dalam dialog berkenaan rombongan itu mengadakan dialog dengan kakitangan kerajaan sebelah petang dan selepas Isya pula dialog terbuka dengan orang ramai.

Menteri Besar bagaimanapun menyatakan kegembiraannya kerana Dato’ Samy Vellu, Menteri Kerjaraya, Dato’ Dr. Ling Leong Sik, Menteri Pengangkutan, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Dato’ Kadir Syeikh Fadzir dan Menteri Pertanian Dato’ Effandi Norwawi telah bersedia mengadakan pertemuan. Berapa banyak perkara untuk kebaikan rakyat dapat dibincangkan walaupun masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza.

Sebelumnya, Menteri Besar mengulas tentang pendekatan pentadbiran negeri Terengganu yang mengikut sistem British sejak beratus-ratus tahun dengan mengamalkan walaupun berlaku pertukaran kerajaan tetapi pegawai kerajaan dikekalkan. Baginya sistem British itu ditiru dari kaedah pentadbiran Islam di zaman kegemilangnya dulu.

Bagaimana pun British banyak mengambil perkara yang lahiriyah saja. British tidak mengambil kira aspek dosa dan pahala dalam pentadbiran. Pentadbiran Islam memastikan bahawa para pegawai dikekalkan walaupun kerajaan dan pimpinan kerajaan berubah. Oleh kerana rakyat Terengganu adalah Islam, maka pentadbiran British itu adalah sesuai, tetapi ia mesti diserasikan dengan hasrat kerajaan yang hendak melaksanakan Islam.

Dalam aspek inilah kerajaan baru tidak memecat imam dan mengekalkan Ketua Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) apabila kerajaan Barisan Alternatif pimpinan PAS mengambil alih kerajaan. Kerajaannya cuba membawa perubahan kepada pentadbiran tetapi tidak mudah kerana kita terlalu lama di bawah British. "Apa yang menghalang perubahan segera ialah Terengganu berhadapan dengan kemalangan politik apabila kerajaan pusat tidak menghormati demokrasi dan tidak patuh kepada peraturan pentadbiran," katanya.

Sesudah kalah di Terengganu, ia menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan (JPP) dan cuba mentadbir negeri Terengganu melalui JPP. Ia juga menubuhkan semula JKKK sedang ia tahu bahawa ia adalah bercanggah dengan kaedah pentadbiran. JKKK atau JSR adalah di bawah bidang Kerajaan Negeri. Segala rintangan itu mengajar pimpinan kerajaan negeri supaya sentiasa bersabar, dan kesabaran itu mendorongkan mereka menyusun strategi yang kemudiannya membantu kerajaan Terengganu dapat mengatasi masalahnya sendiri.

Antaranya, Menteri Besar mengumumkan kerajaan negeri berjaya menjual A&W, anak syarikat pemakanan yang tidak sepatutnya rugi tetapi rugi dan menghadapi beban hutang. Bila A &W dijual, ia bukan sekadar mengatasi masalah kerugian, malah hutangnya juga dapat diselesaikan. Beliau juga menyebut betapa banyak fitnah dan tuduhan yang dilemparkan kepada pemimpin kerajaan baru seperti kononnya rasuah dan sebagainya.

Dato’ Seri Menteri Besar berkata, Kerajaan tidak mahu mengekalkan mana-mana pemimpin yang rasuah. "Sila hantar Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuat siasatan dan dedahkan mana-mana yang rasuah, kerana kita tidak mahu menyimpan orang yang rasuah," jelasnya. Beliau mengaku bahawa ada pemimpin-pemimpin yang didatangi oleh BPR, tetapi beliau difahamkan tidak ada asas untuk mensabitkan mereka.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 26 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com