UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




SRABT setaraf dengan Sekolah Rendah Agama Al-Amin

Oleh BAPA MODEN TERENGGANU

GABUNGAN Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dalam kenyataannya baru-baru ini dilihat bertujuan untuk menakut-nakutkan ibu bapa dan masyarakat supaya tidak menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Rendah Agama Bersepadu Terengganu (SRABT). Ini merujuk kepada kebimbangan yang dinyatakan Setiausaha GPMS Cawangan Terengganu, Syed Annuar Syed Mohamad terhadap kehadiran Sekolah Rendah Agama Bersepadu Terengganu (SRABT) kelolaan Jabatan Hal Ehwal Terengganu (JHEAT) yang berjalan semenjak setahun lepas dan sekarang masuk tahun kedua.

Kenyataan itu seperti yang disiarkan di sebuah akhbar arus perdana (16 Januari 2002) dibawah tajuk "GPMS bimbang nasib murid SRABT" senada dengan usaha anti perubahan di Terengganu yang sentiasa mencari jalan memburuk-burukkan sebarang usaha yang dilakukan oleh kerajaan Terengganu sekarang. Sebagai bapa yang penuh sedar dan merasa bertanggungjawab menyekolahkan anak-anak supaya kelak menjadi seorang Muslim atau Muslimat yang berilmu, saya ingin nyatakan rasa gembira kerana anak saya diterima masuk di SRABT semenjak setahun lalu.

Dalam tempoh setahun itu saya dapat mengesan akan kebaikan SRABT. Saya cuba bandingkan dengan pencapaian abang-abang dan beberapa kakaknya, saya dapati pencapaian anak di SRABT jauh berbeza, dan mempunyai prestasi pelajaran yang sangat cemerlang. Dalam tempoh setahun itu, anak saya sudah boleh menguasai bacaan jawi dengan baik, dan boleh menyebut banyak perbendaharaan kata bahasa Arab, selain boleh membaca frasa-frasa pendek bahasa Quran itu.

Jika bidang pelajaran yang selama ini dianggap sukar oleh semua orang dapat dikuasai; apalah sangat dengan kemahiran menulis, membaca dan mengira bahasa ibunda sendiri; atau kemampuan menguasai bahasa Inggeris; maka di sekolah ini tentu lebih baik. Saya amat bersyukur. Manakala anak-anak saya di sekolah biasa hanya ketika Tahun Empat atau Tahun Lima baru boleh membaca, tetapi masih sukar menulis jawi; walaupun boleh digolongkan dalam golongan cergas kerana apabila tiba peringkat UPSR mereka berjaya mencapai 5A.

Secara umumnya, saya cuba bertanya khabar ibu bapa yang lain yang sama-sama menghantar anak-anak mereka di SRABT. Mereka juga rasa bertuah dibanding pencapaian anak-anak yang terdahulu. Suatu perkara yang patut diketahui oleh pihak yang merasa bimbang tentang pelaksanaan SRABT; ialah mereka tidak perlu rasa takut dan risau kerana SRABT memulakan jadual waktu belajar yang sangat jelas.

Memulakan sesi pembelajaran dari pukul 8.00 pagi hingga 4.00 petang setiap hari (kecuali hari Khamis hingga 12.30 tengahari). Sesi tengahari (12.00 hingga 2.00 petang) pula ialah waktu rehat untuk makan tengahari dan amali solat Zuhur. Ini amat membanggakan pihak ibu bapa kerana beban fardhu ain pihak ibu bapa dapat dikurangkan.

Murid-murid pula disediakan makan tengahari dengan sempurna, dengan kadar bayaran bulanan yang sangat berpatutan; sesuai dengan latar belakang ibu bapa bukan daripada golongan elit Melayu. Bayaran ini jauh lebih murah berbanding bayaran sekolah-sekolah persendirian yang sama taraf seperti yang terdapat di Kuala Lumpur.

Bayaran berpatutan

Bermakna, SRABT sebe-narnya sama tarafnya dengan Sekolah Rendah Agama Al-Amin yang menjadi kebanggaan golongan elit Melayu di Sekitar Lembah Kelang, Gombak dan Kuala Lumpur. Masing-masing mempunyai kurikulum yang hampir sama. Perlu juga diketahui, dalam taklimat awal wakil-wakil JHEAT kepada para ibu bapa telah dinyatakan bahawa beberapa tahun sebelum SRABT ini dilaksanakan, pihak JHEAT telah membuat penyelidikan dan mengambil beberapa model kurikulum sekolah rendah agama di seluruh negara sebagai contoh; termasuk kurikulum sekolah agama di Selangor, Johor, Kedah dan Wilayah Persekutuan.

Daripada contoh-contoh itu dirumus dan dijadikan kurikulum khas SRABT tanpa menolak kurikulum akademik sekolah rendah yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia. Oleh itu tiada halangan yang murid-murid sekolah ini akan mengambil peperiksaan sama ada UPSR mahupun PMR dan seterusnya. Jika ada halangan, maka halangan-halangan itu memang sengaja dicipta oleh pihak-pihak yang tidak mahu melihat kemajuan pelajaran anak-anak orang Islam di negara ini; khasnya di negeri Terengganu.

Perlu diketahui juga, tidak semua ibu bapa yang menghantar anak-anak ke SRABT ini orang PAS tetapi ramai terdiri daripada orang UMNO yang cerdik kerana mereka percaya akan kebaikan dan keunggulan kurikulum SRABT yang sebelum ini sangat ditunggu-tunggu oleh masyarakat Terengganu dalam pendidikan anak-anak mereka. Adalah dipercayai kalau pun ada halangan adalah bertujuan untuk melihat kelemahan kerajaan sekarang, kononnya tidak pandai mengurus.

Pada peringkat awal beberapa bulan pertama SRABT dilaksanakan; pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah cuba menakut-nakutkan ibu bapa supaya tidak hantar anak-anak ke SRABT dengan alasan tidak dapat masuk sekolah menengah. Anak-anak itu akan terbiar dan menganggur. Alasan itu sangat dangkal dan mentah.

Apalah yang hendak dibimbangkan, sekolah-sekolah tempat belajar sama ada peringkat rendah, mahupun menengah ada di mana-mana. Apa yang kita bimbang ialah ramai ibu bapa yang tidak mampu menyekolahkan anak-anak mereka kerana miskin dan kurang kesedaran. Kebimbangan paling ketara pada hari ini ialah semakin ramai anak-anak generasi baru sekarang yang tidak kenal agama. Tidak kenal halal haram. Tidak mempedulikan larangan-larangan dan batasan sosial. Sangat ramai terlibat dengan masalah sosial yang menjadi beban masyarakat dan negara.

Saya yakin sekiranya ramai ibu bapa sedar akan kelemahan itu, nescaya akan lebih ramai ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama semenjak berumur tujuh tahun lagi. Tidak tunggu hingga peringkat menengah baru hendak hantar ke sekolah agama. Padahal, tahap pembelajaran paling berkesan bagi kanak-kanak dalam lingkungan tujuh tahun atau sebelum itu.

GPMS juga hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran tersebut. GPMS juga hendaklah rasakan tanggungjawab menyarankan kepada pihak-pihak berkenaan di Kementerian Pendidikan bahawa generasi Malaysia hari ini makin ramai yang buta jawi. GPMS jangan ikut arus semata-mata. Cara itu merugikan orang Melayu dan merugikan perkembangan agama Islam. GPMS harus tahu; ramai guru lepasan diploma pendidikan yang mengajar anak-anak kita tidak pandai tulis nama dalam tulisan jawi. Ini yang sangat kita kesalkan, dan memalukan bidang pendidikan negara.

Tingkatkan kesedaran

Zaman kami belajar dahulu, perkara ini tidak timbul langsung. Semua cikgu boleh menulis Jawi. Kenapa sekarang timbul masalah ini. Tidakkah ia berlaku kerana kurikulum yang dibina hari ini semata-mata berfokuskan kecenderungan materialistik; kebendaan; tidak menekan aspek moral dan akhlak? Oleh yang demikian, apakah tidak wajar kita selamatkan anak-anak kita dengan menghantar ke sekolah-sekolah seperti SRABT ini? Sekurang-kurang kita ibu bapa tidak dikutuk oleh generasi kemudian.

Terlepas daripada tanggungjawab fardhu ain dan kifayah. Kita tidak mahu; nanti kita dipersoal Allah tentang tanggungjawab tersebut. Tahukah bahawa kurikulum SRABT jauh lebih terkedepan dan maju berbanding kurikulum sekolah kebangsaan. Selain melaksanakan kurikulum akademik Kementerian Pendidikan; SRABT melaksanakan kurikulum bersepadu dengan cara memasukkan mata-mata pelajaran asasi pendidikan Islam meliputi Quran, Bahasa Arab; Sirah, Nahu, Hadis, Tafsir, Tauhid, Fiqh, Jawi dan beberapa lagi yang relevan dengan tahap umur dan tuntutan keperluan asas pendidikan Islam tulen.

Jika mata-mata pelajaran teras agama ini tidak dipelajari; bagaimana seseorang Muslim itu mampu mendalami pengetahuan Islam secara syumul. Ia tidak wajar sekadar mengajar mata pelajaran pendidikan Islam seperti yang dibekalkan di sekolah rendah dengan masa yang sangat terhad, dan tidak langsung diberi pemberatan oleh pihak pengurus sekolah. Malah ada pengurus sekolah yang menganggap mata pelajaran Pendidikan Islam bukan urusan Guru Besar, sebaliknya guru agama itu sendiri yang beriya-iya menghendakinya.

Kita sangat kesal apabila kebanyakan ibu bapa moden sekarang ini tidak pernah merasa sedih apabila anak-anak mereka jahil agama; tidak mahir membaca al-Quran, tidak fasih membaca al-Fatihah, dan tidak tahu mendirikan solat fardhu. Sebaliknya mereka sangat sugul apabila anak-anak itu tidak mencapai 5A dalam UPSR atau 8A PMR. Sedangkan, asas yang menjadi fardhu dan asas ialah pengetahuan Islam tadi. Malah ibu bapa akan dipersoal di akhirat tentang agama ini. Hal ini yang kita kesalkan. Namun inilah yang menjadi buruan generasi moden hari ini; termasuk perjuangan GPMS.

Pihak GPMS boleh buat penyelidikan tentang apa yang dijelaskan ini. Kami juga faham bahawa pelajaran agama sebelah petang tidak dilaksanakan serentak dengan sesi pembelajaran biasa. Sebaliknya beberapa minggu kemudian baru dilaksanakan. Malah tidak mengikut keperluan pelajar. Ini memperlihatkan betapa tidak ambil beratnya pihak pengurus-pengurus sekolah melaksanakan hal-hal yang berkaitan pembentukan akhlak murid. Maka tentu sekali, sebagai ibu bapa, kita amat menyesali hal ini.

Tetapi tidak GPMS. Tahukah GPMS; sukatan pelajaran peringkat pembentukan guru-guru kita yang selalu kita banggakan? Tidak semua guru yang memiliki diploma atau sijil itu benar-benar guru yang mursyid. Oleh itu jangan kita terlalu agung-agungkan mereka konon mempunyai kelayakan yang tinggi, padahal menulis nama sendiri (dalam tulisan jawi) tidak pandai. Ini merugi dan memalukan negara. Kita harap, pihak GPMS jangan bersubahat dengan pihak-pihak tertentu yang berpendapat, pendidikan Islam di sekolah rendah pada hari ini sudah cukup untuk bekalan anak-anak generasi akan datang mendidik diri sendiri.

Kita sangat bimbang, pelajaran yang sedang dilaksanakan sekarang sekadar melepas batuk di tangga semata-mata. Jika ini sudah boleh dibanggakan, kita yakin generasi akan datang akan menjadi manusia yang buta segala-galanya kerana dikutuk Allah lantaran tidak memberi hak yang sewajarnya dalam bidang agama Islam. Kita tidak mahu orang anggap hanya teknologi yang boleh menyelamatkan kehidupan di dunia. Bidang agama ditolak ke tepi, dan sentiasa meletakkan bidang rohani ini sebagai sesuatu yang tidak penting kepada manusia.

Hal ini sedang berlaku sekarang. Jika konsep nilai itu menjadi budaya berfikir orang Islam di negara ini hari ini; tunggulah waktu akan dilaknat Allah. GPMS juga tidak harus berfikiran pragmatis seperti itu, dengan hanya melihat pulangan dalam bentuk kebendaan semata-mata. Tidak melihat pembentukan rohani dan akhlak bangsa akan datang yang akan menjadi benteng masalah sosial.

Pembentukan rohani

Oleh yang demikian, sekali lagi saya menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu supaya berlumba-lumba menghantar anak-anak belajar di SRABT mulai Tahun Satu untuk tahun-tahun akan datang. Kita yakin, generasi inilah kelak suatu waktu akan datang bakal menjadi pemimpin masyarakat, dan pemimpin negara. Kita tidak mahu lagi golongan rasuah, manusia yang gila kuasa, gilakan dunia dan gilakan harta benda dan berjiwa kebendaan yang menjadi pemimpin anak cucu kita datang.

Lantaran itu, dengan adanya aliran alternatif ini menjadi kewajipan kepada kita orang Islam membuat pilihan yang tepat; sesuai dengan keperluan dan kehendak masa depan masyarakat Islam di negara ini. Hantarlah anak-anak ke SRABT demi kekuatan Islam dan kekuatan umat Muslim; insya Allah.

.................................
Warta darul Iman






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 27 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com