Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Seleweng wang PPRT: Orang politik terus selamat

Oleh : Aman Rais

Penyelewengan wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didedahkan oleh pemimpin Umno baru-baru ini "ibarat senjata makan tuan". Akibat daripada kes ini, musuh-musuh Umno telah memberi nama baru kepadanya - "United Malays National Organisation" ditukar kepada "United Magician National Organisation".

RM40 juta wang PPRT telah dilesapkan, demikian mengikut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Azmi Khalid. Jumlah itu nampak kecil jika dibandingkan dengan nilai projek-projek mega namun bagi rakyat miskin ia sangat besar. Gurauan terhadap nama Umno menunjukkan betapa besarnya kesan penyelewengan wang PPRT itu kepada parti itu.

Kes itu telah meletakkan Umno dalam keadaan tidak selesa setelah beberapa bulan berjaya meletakkan PAS dalam suasana tertekan. Pendedahan Azmi mengenai penyelewengan wang PPRT di Kelantan dan Terengganu pada awalnya sama sekali tidak diduga akan menjadi isu politik yang akan memerangkap Umno. Namun setelah disiasat oleh pihak berwajib, didapati penyelewengan itu melibat orang politik dan kempen pilihanraya umum 1999.

Lantas tuduh menuduh berlaku antara antara beberapa pemimpin Umno, terutama pucuk pimpinan Umno Kelantan. Tan Sri Abdullah Ahmad telah menulis satu rencana yang keras terhadap bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Annuar Musa.

BPR serius?

Mujurlah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad cepat mencelah meminta semua pihak jangan cepat melatah kerana kes ini melibatkan politik. Tindakan pihak polis tidak membuat pendedahan mengejut mengenai PPRT sebagaimana yang hendak dilakukannya sebelum ini telah meredakan kes ini.

Tetapi ini tidak bermakna nama baik Umno sudah terselamat. Biro Pencegah Rasuah (BPR) masih menyiasat kes ini. Pengarah syarikat yang disyaki terbabit dalam penyelewengan ini telah dua kali ditahan. Nampaknya pihak berkuasa serius mahu membongkar kes ini dan rakyat ternanti-nantikannya, kerana mahu tahu siapa sebenarnya dalangnya. Masyarakat umum juga mahu tahu bagaimana dan ke mana wang yang diperuntukkan kepada rakyat miskin itu dilesapkan.

Tetapi benarkah kes wang PPRT ini akan dibongkar hingga ke akar umbinya atau sekadar melepaskan batuk ditangga untuk mengabui mata rakyat? Kita telah saksikan beberapa laporan kes rasuah dan penyelewengan membabitkan pemimpin Umno dan kerajaan disenyapkan begitu sahaja oleh BPR.

Kalau kes penyelewengan wang rakyat miskin turut "disapu ke bawah permaidani" ini membuktikan BPR sudah dayus dan kerajaan sengaja merestui penyelewengan. Amat malang sekali kes penyelewengan ini membabitkan projek-projek pertanian dan ternakan ikan di Kelantan dan Terengganu, dua negeri yang sangat sensitif bagi Umno.

Usaha Umno kian sukar

Umno Kelantan menjadi semakin goyah berikutan kes ini. Kini tugas Annuar, Datuk Mustafa Muhamad, Datuk Paduka Ibrahim Ali dan Tengku Razaleigh Hamzah untuk memulihkan Umno di negeri itu menjadi semakin berat. Begitu juga di Terengganu, Umno kini tidak boleh lagi memburukkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Haji Hadi Awang sebagai gagal membawa pembangunan ke negeri itu kerana wang PPRT yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat miskin di negeri itu telah diselewengkan.

Malahan orang PAS di Terengganu kini sibuk menghebohkan wang ehsan Kerajaan Pusat telah menerima nasib yang sama seperti wang PPRT. Walaupun dakwaan penyelewengan wang ehsan itu mungkin satu fitnah sahaja, namun selepas apa yang berlaku ke atas wang PPRT itu, keyakinan rakyat terhadap Umno di negeri itu semakin terhakis. Bagaimana Datuk Idris Jusoh, Datuk Abdul Rashid Ngah dan pemimpin Umno lain mahu berdepan dengan rakyat Teregganu di tengah-tengah kemelut penyelewengan wang PPRT ini?

Kini usaha Umno untuk memenangi semula Kelantan dan Terengganu dalam pilihanraya umum akan datang menjadi makin sukar. Isu wang PPRT ini akan menjadi senjata ampuh untuk digunakan oleh PAS dalam pilihanraya 2004. Satu demi satu penyelewengan para pemimpin Umno didedahkan.

Tidak cukup dengan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman terhadap salahguna kuasa Tan Sri Khalil Yaakob dalam pengagihan tanah balak di Pahang, muncul pula tuduhan rasuah terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo dan kini meletup pula penyelewengan wang PPRT.

Walaupun Mahathir berusaha keras untuk memerangi semua gejala ini namun para pemimpin Umno tetap tidak berubah. Sokongan mereka kepada usaha Presiden untuk membersihkan parti sekadar di mulut sahaja. Sampai bila pemimpin-pemimpin Umno mahu bergelumang dengan noda rasuah dan penyelewengan ini?

Jawabnya - sampai bila-bila selagi rakyat terus merestui dan memilih mereka sebagai pemimpin. Penyelewengan dan rasuah oleh pemimpin kerajaan dan Umno akan berterusan selagi ada pihak yang melindungi mereka!

.....................................
Malaysiakini






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 1 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com