Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Kenaikan kadar tol: Salahkan diri sendiri

Oleh : Aman Rais

Kadar tol di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) naik lagi. Inilah berita baik untuk menyambut tahun baru 2002. Mulai 1 Januari kadar tol di lalaun berkenaan naik 1.12 sen kepada 12.36 sen per km.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, kenaikan 10 peratus itu adalah selari dengan perjanjian antara kerajaan dengan syarikat pemegang konsesi PLUS yang menetapkan kadar tol akan dinaikkan setiap tiga tahun.

Pengumuman kadar baru tol itu mendapat reaksi negatif daripada ramai pemimpin masyarakat termasuk para penyokong kuat kerajaan. Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Saifuddin Abdullah meminta kerajaan mengkaji semula kenaikan itu kerana ia boleh mebebankan rakyat.

"MBM berpendapat kenaikan tol selain petrol baru-baru ini boleh mempengaruhi kenaikan harga barang keperluan dan pengangkutan," katanya di dalam sebuah akhbar tempatan.

Pengerusi Biro Pembelaan masyarakat Pemuda Umno, Ismail Sabri Yaakob juga berkongsi pandangan dengan Saifuddin. Beliau bimbang kenaikan kadar tol itu akan memberi kesan kepada rakyat miskin yang hidup di pedalaman kerana kenaikan harga barangan akan berlaku selepas ini.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Profesor Datuk Dr Hamdan Adnan pula kesal dengan tindakan kerajaan itu kerana sebelum ini Samy Vellu telah memberi jaminan kenaikan kadar tol tidak akan berlaku sehingga tahun 2004.

Kali terakhir kadar tol dinaikkan ialah selepas sambutan tahun baru Cina 1999 iaitu dari 10.5 sen per km kepada 11.24 sen per km.

Cek kosong

Kemarahan rakyat terutama pengguna lebuhraya tidak boleh ditutup kerana kenaikan ini akan memberi kesan besar kepada kos perjalanan mereka. Selain itu ia pasti akan dijadikan alasan oleh para pengusaha pengangkutan awam dan pengeluaran barangan siap untuk menaikkan harga produk dan perkhidmatan masing-masing.

Bagaimanapun segala kemarahan dan kritikan itu tiada gunanya kerana rakyat sendiri yang memberi mandat kepada kerajaan untuk melakukan apa-apa sahaja sewenang-wenangnya. Kerajaan telah diberikan ‘cek kosong’ oleh rakyat dalam pilihan raya umum 1999 bila membenarkan Barisan Nasional (BN) memenangi dua pertiga kerusi di parlimen.

Oleh itu untuk apa mengeluh melihat harga petrol, tarif air paip, harga barangan keperluan meningkat dan kadar tol dinaikkan sedangkan tangan anda sendiri yang mengizinkannya. Tanggunglah sendiri!

Rakyat telah diberi pilihan pada November 1999 sama ada mahukan negara yang bebas tol atau tidak dan majoriti telah mengundi untuk hidup dengan dikeliling oleh plaza tol.Tiada gunanya Saifuddin Abdullah atau Ismail Sabri Yaakob menjerit mengkritik kenaikan ini kerana anda adalah sebahagian daripada sistem yang ada.

Saifuddin serta MBM dan Ismail Sabri bersama Pemuda Umno sepatutnya mengalu-alukan kenaikan kadar tol ini.

Protes terhadap pengenaan tol di lebuhraya di negara ini susah menjadi isu besar pada tahun 1999. Setiap minggu di lebuhraya ada protes dilakukan oleh ahli-ahli dan pemimpin Barisan Alternatif. Rakyat telah diingatkan tentang bahaya tol ini tetapi tidak ramai yang mahu mendengar protes tersebut. Mereka terus mengundi BN dan ini bermakna anda merestui kenaikan kadar tol.

Kenaikan kadar tol pada 1 Januari ini bukannya yang terakhir. Kenaikan seterusnya akan berlaku pada tahun 2005 hingga 2007 dengan kadar baru 13.6 sen per km dan ditokok sekali lagi pada tahun 2008 hingga 2010 dengan kadar baru 14.96 sen. Bersedialah para pengguna lebuhraya untuk menanggung kos perjalanan yang semakin tinggi.

Kos hidup

Tidak dinafikan kadar tol di negara ini adalah yang terendah di rantau ini. Di Jepun, Korea Selatan malah di Thailand kadarnya jauh lebih tinggi. Tetapi itu bukan alasan untuk menghalalkan kenaikan tersebut. Kita kena mengkaji kos hidup di negara berkenaan dengan paras pendapatan yang mereka perolehi sebelum membandingkan dengan kadar tol di sini.

Apalah gunanya kenaikan gaji sebanyak 10 peratus pada awal tahun depan jika kenaikan tol, petrol dan harga barangan juga 10 peratus. Tidakkah kuasa membeli rakyat tidak berubah? Malah mungkin ia semakin mengecil kerana kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lazimnya melebihi kenaikan gaji.

Begitulah adanya nasib rakyat setelah memberikan ‘cek kosong’ kepada kerajaan untuk melakukan apa sahaja. Rakyat hanya dapat melakukan checks and balances bila majoriti dua pertiga di parlimen dinafikan.

Jangan salahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad atau Samy Vellu atau kerajaan BN bila anda terpaksa berbelanja lebih untuk menggunakan lebuhraya PLUS - salahkanlah diri sendiri!






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 14 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com