Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Penggantunggan Fong mencemar maruah Parlimen

Oleh : Aman Rais

Ahli Parlimen ‘cili padi’dari Batu Gajah akhirnya dipaksa bercuti tanpa gaji semata-mata kerana kelantangannya mempertahankan kepentingan umum. Perkhidmatannya digantung enam bulan mengakibatkan semua elaun dan keistimewaan sebagai wakil rakyat ditarik dalam tempoh berkenaan.

Ekoran daripada kejadian itu rakyat Batu Gajah terkapai-kapai tanpa ada sesiapa mahu membela dan memantau nasib mereka kerana wakil rakyat pilihan mereka, Fong Po Kuan telah digantung jawatannya oleh Parlimen.

Fong, 28, adalah Ahli Parlimen Batu Gajah dan juga peguam. Beliau juga dikenali sebagai "budak kecil" di kalangan penyokong kerajaan di Dewan Rakyat. Walaupun kecil tetapi suaranya cukup lantang hingga menyebabkan beliau sering diusik oleh penyokong kerajaan setiap kali membentang usul atau meminta laluan untuk mengajukan pertanyaan.

Beliau sering dibuli penyokong kerajaan. Namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus bersuara di Parlimen. Fong semakin lantang dan jauh lebih berani berbanding wakil rakyat pembangkang yang lain.

Parlimen tidak akan mendengar suara nyaring Fong selama enam bulan selepas Dewan Rakyat menggantung jawatannya 11 Disember lalu kerana kesalahan menjatuhkan maruah Dewan Rakyat apabila menuduh Speaker menyalahgunakan kuasa dan menghalang Parlimen menjalankan tugas-tugasnya.

Inilah kali pertama dalam sejarah Parlimen di negara ini seorang wakil rakyat digantung jawatan dan semua elaun dan keistimewaannya. Fong dalam satu kenyataan media baru-baru ini menuduh Speaker, Tan Sri Mohamed Zahir Ismail menyalahgunakan kuasa apabila menolak cadangan beliau untuk membahaskan isu perubahan markah Sijil Latihan Guaman (CLP).

Ramai mengatakan pengantungan Fong tidak mengikut peraturan persidangan Dewan Rakyat. Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, mendakwa Zahir menyalahgunakan kuasa kerana melanggar perkara 27(3) peraturan persidangan.

"Zahir menjadi hakim kepada dirinya sendiri dan beliau sepatutnya meletakkan jawatan," tegas Lim. Isu utama di sini ialah penggantungan Fong tidak sepatutnya berlaku. Beliau sekadar melakukan kesalahan kecil iaitu mengkritik Speaker, bukannya Parlimen.

Mengkritik Speaker

Mengapa Speaker tidak boleh dikritik? Apakah beliau terkecuali daripada melakukan kesalahan? Apakah beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan yang berat sebelah? Tindakan itu jelas melanggar prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara. Ia merosakkan imej Parlimen. Kalau benar Fong dihukum kerana "menghina Parlimen" mengapa wakil rakyat lain yang melakukan perkara yang sama atau lebih teruk tidak dihukum?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Rais Yatim, pada bulan lalu melancarkan ‘perang mulut’ dengan Zahir berhubung isu perlantikan Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara.

Rais menuduh Zahir tidak tahu prosedur perlantikan Gani bila Speaker itu menolak usul membahaskan perlantikan itu kerana perlantikannya belum mendapat perkenan Yang di- Pertuan Agong.

Pengerusi DAP berkata, Rais patut dikenakan hukuman yang sama dengan Fong kerana dia juga menghina Speaker Dewan Rakyat bila menuduh beliau tidak tahu rahsia dan prosedur kerajaan.

Adalah tidak hairan Rais terlepas daripada hukuman kerana sememangnya amalan pilih kasih wujud.

Pengundi dihukum

Malahan ramai wakil rakyat Barisan Nasional mempersendakan Parlimen tanpa rasa malu dengan mencarut dan mengeluarkan pelbagai kenyataan yang mengandungi ‘double meaning’.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin pernah mengeluarkan kata lucah tidak lama dulu tetapi beliau terlepas daripada hukuman. Begitu juga dengan Rais baru-baru ini mengeluarkan kenyataan "kalau tak naik, makanlah makjun" ketika menjawab soalan wakil Kota Melaka, Kerk Kim Hock mengenai isu mengemukakan usul dalam Parlimen.

Semua penyokong kerajaan terlepas daripada hukuman atas alasan "mereka sekadar bergurau atau tension". Tetapi apabila wakil rakyat pembangkang melanggar peraturan, mereka segera dihukum. Diskriminasi inilah yang patut diperhatikan oleh Speaker Dewan Rakyat. Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.

Speaker Dewan Rakyat sepatutnya berlaku adil kepada semua pihak kerana Parlimen adalah milik rakyat. Di dewan itu mereka menghantar wakil mereka. Oleh itu suara mereka adalah suara rakyat yang perlu didengar.

Pihak yang sewajarnya melucutkan jawatan Fong sebagai wakil rakyat ialah pengundi di Batu Gajah. Tindakan menghukum wakil rakyat pilihan mereka samalah seperti menghukum para pengundi yang tidak berdosa.

...................................
Malaysiakini.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 16 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com