UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Pilihanraya umum: Teka-teki politik Mahathir

Oleh : Aman Rais

Politik adalah satu seni yang memungkinkan apa sahaja berlaku. Tidak ada yang mustahil dalam dunia sahsiah yang penuh muslihat ini. Lazimnya dalam politik tiada yang lurus kerana sesiapa yang lurus dan jujur akan menjadi mangsa si licik yang mabuk kuasa.

Sifat semula jadi politik yang penuh teka-teki dan kemungkinan ini menyebabkan rakyat dan ahli parti sentiasa membuat tafsiran terhadap kata-kata dan tindak-tanduk para pemimpin mereka. Bila seseorang pemimpin itu mengatakan "ya", para pengikut dan pemerhati akan mentafsirkannya sebagai "tidak".

Begitulah yang berlaku apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menafikan kemungkinan beliau akan mengadakan pilihanraya umum awal. Para ahli nujum politik menerima penafian beliau itu sebagai satu helah politik dan tetap meramalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menggunakan suasana semasa yang memihak kepadanya untuk mendapatkan mandat baru dari rakyat.

Pak nujum politik berhujah bahawa "penafian" adalah taktik biasa Dr Mahathir. Menurut mereka, Presiden Umno itu kaya dengan muslihat dan sangat sukakan kejutan. Mereka berpendapat, Perdana Menteri tidak pernah lurus dalam sepak terajang politiknya dan kata-katanya hendaklah difahami atau dibaca sebaliknya.

"Bila Dr Mahathir mengatakan "tidak" atau "salah", itu bermakna "ya" atau "betul". Jangan sekali-kali membaca kata-kata beliau secara tersurat. Kata-kata beliau penuh tersirat dengan makna dan mesej yang dalam," tegas seorang penulis buku politik veteran.

Beliau menegaskan, tidak seperti Tun Hussein Onn atau Tun Razak, Dr Mahathir mempunyai gaya politik tersendiri yang sukar untuk ditelah.

"Dalam tindak-tanduk politiknya, Dr Mahathir sangat licik dan penuh muslihat, walaupun dalam banyak hal seperti ekonomi, moral dan agama, beliau seorang yang tegas dan berterus-terang. Oleh itu, apabila beliau menegaskan tidak akan mengadakan pilihanraya umum lebih awal, saya mentafsir sebaliknya. Saya rasa beliau sedang berkira-kira untuk mengadakan pilihanraya mengejut, mungkin pada akhir tahun depan," tegas penulis buku itu lagi.

Beliau menambah, Dr Mahathir pernah menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan tetapi keesokan harinya perkara itu berlaku.

Memulihkan imej

Pilihanraya umum ke-10 pada November 1999, baru sahaja dua tahun berlalu, Ia merupakan pilihanraya paling getir dilalui BN, terutamanya Umno. Pilihanraya umum itu telah mencalarkan imej parti Melayu terbesar itu apabila hampir 60 peratus pengundi Melayu berpaling kepada parti-parti alternatif -- PAS, Keadilan, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan DAP.

Igauan itu masih menghantui Umno dan para pemimpinnya. Proses memulihkan imej dan semangat Umno sedang diteruskan menerusi pelbagai pendekatan. Ramai pemimpin Umno yakin parti itu telah dapat memulihkan imejnya dengan adanya program "masuk kampung" oleh Pemuda dan Puteri Umno. Malahan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Abdullah Badawi pernah mengatakan imej dan semangat Umno di Kelantan juga sudah pulih. Beliau mengukur pemulihan Umno itu menerusi jumlah kehadiran rakyat yang semakin ramai di majlis-majlis anjuran parti itu di negeri berkenaan.

Suasana "positif" yang sedang dikecapi Umno, ditambah pula dengan perubahan sikap orang bukan Islam terhadap PAS selepas munculnya isu Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Taliban serta kedudukan ekonomi yang agak baik sekarang, dirumus oleh para pemerhati politik sebagai "senario yang memihak kepada Umno dan BN".

Bagaimanapun seorang penganalisis politik bebas berpendapat bahawa Dr Mahathir tidak akan mengambil kesempatan daripada "suasana yang memihak kepada Umno dan BN "sekarang untuk mengadakan pilihanraya umum lebih awal. Beliau tetap yakin pilihanraya umum akan diadakan seawal-awalnya pada pertengahan 2003. Hujahnya, Dr Mahathir tidak berada dalam keadaan terdesak, sebaliknya sangat selesa dan selamat sekarang.

"Malahan saya rasa, semakin lama Dr Mahathir akan semakin kuat. Setakat ini, saya tidak nampak apa-apa ancaman terhadap beliau sama ada dari dalam atau luar Umno. Beliau telah berjaya mengenepikan semua ancaman dengan kuasa dan agensi yang berada di tangannya.

Saya percaya beliau mahu terus memulih dan mengukuhkan kedudukannya dan Umno ke tahap sebelum September 1998, sebelum bertindak membubarkan Parlimen. Presiden Umno ini, walaupun merupakan seorang yang sukakan krisis dan cabaran, beliau bukannya seorang yang suka membuang masa, wang dan tenaga semata-mata untuk tujuan politik," jelasnya.

Kempen senyap

Banyak langkah yang diambil oleh kerajaan kebelakangan ini seolah-olah merupakan kempen senyap untuk memenangi hati rakyat, terutamanya kakitangan awam. Kakitangan kerajaan diberikan kenaikan gaji 10 peratus, bonus, elaun tambahan dan pelbagai potongan cukai, termasuk cukai pendapatan, dalam belanjawan 2002 yang lalu.

Langkah-langkah "membeli jiwa" ini dilakukan secara berterusan sebaik sahaja masuknya alaf baru. Perdana Menteri juga tidak menunjukkan sikap "memusuhi" rakyat selepas 1999, sebaliknya lebih mesra dan bersikap bertolak ansur. Kerajaan juga menunjukkan perubahan dalam menangani masalah sektor korporat selepas Tun Daim Zainuddin meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan, dengan cuba mengikis imej kronisme dan nepotisme.

Langkah dan perubahan ini dikatakan telah mewujudkan "suasana yang memihak kepada kerajaan" sekarang. Adakah Dr Mahathir akan termakan oleh suasana itu untuk sekali lagi menguji pengaruhnya?

Mungkinkah keputusan pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan, Perlis akan dijadikan kayu pengukur untuk mempercepatkan berulangnya "pesta politik " yang lazimnya diadakan lima tahun sekali itu?

Dr Mahathir adalah seorang "pekerja" yang gigih, Oleh itu tentunya beliau tidak mahu membuang masa, tenaga dan wang melayan tuntutan-tuntutan politik yang lebih beragenda peribadi. Hanya beliau yang tahu bila masa yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya umum ke-11. Kebijaksanaan firasat politiknya akan sekali lagi menentukan masa depan Umno dan BN.

..............................
Malaysiakini.com




        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com