Oleh : Annual Bakhri Haron
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan
Mengenali UMNO daripada pena dan lidah orang PAS sering dihubungkan
dengan fitnah. "Itu semua fitnah!". Begitulah tempelakan mudah amalan
lazim pemimpin UMNO. Ini boleh disaksikan dalam kes Menteri Besar
Selangor yang sedang berlindung dari hujan fakta yang didedahkan oleh
Dato' Dr Hassan Ali. Mengikut Perdana Menteri, pemimpin PAS tidak
pernah melihat sesuatupun yang baik pada UMNO.
Apakah halnya dengan laporan Polis Dato' Azmi Khalid, Menteri
Pembangunan Luar Bandar serta dakwaan Dato' Abdullah Ahmad tentang
penyelewengan Wang PPRT sejumlah RM47 juta? Seorang bekas Menteri
UMNO sedang didedahkan oleh seorang Menteri penuh UMNO dan disokong
oleh bekas Timbalan Menteri UMNO. Semuanya cerita UMNO. "Pure and
real." Ini tersiar dalam sebuah rencana dalam Mingguan Malaysia
bertarikh 11 November 2001 bertajuk 'Skandal PPRT Kelantan'. Masihkah
ia fitnah?.
Sekurang-kurangnya untuk kali ini, mari kita menjadi pembaca yang
hanya percaya kepada pemimpin UMNO sahaja. Yakinlah 100%. Mari kita
hanya taksub dengan berita akhbar Mingguan Malaysia sahaja. Ketepikan
Harakah. Jauhkan diri dari Detik Daily, Laman Reformasi, Berita
Keadilan, Malaysiakini.com, Memo, Perkasa, Warqah dan Suara. Kita
jangan dengar "fitnah."
Bermula dari premis ini, maka kenalah seluruh masyarakat Malaysia
yakin bahawa UMNO tidak akan naik. Ini diketahui oleh Presiden UMNO
sendiri yang telah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan selama
10 tahun. Dalam pertemuan empat mata Dato' Abdullah Ahmad dengan
Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan sekarang (Dato' Mustapa Mohamad),
perihal ketidakyakinan UMNO akan menang juga diakui. Ini semua
tercatat dalam artikel Dato' Abdullah Ahmad. Lalu penulis rencana
tetap dalam ruangan isu itu menyimpulkan dalam Mingguan Malaysia
bertarikh 18 November 2001 seperti berikut:
"UMNO Kelantan tidak akan menang Pilihanraya 2004 walaupun penulis
mahu ia menang. Andainya UMNO Kelantan menang dalam pilihanraya umum
akan datang, penulis akan serahkan harta penulis yang
kononnya 'bergunung' di Kelantan sebagaimana didakwa Annuar, kepada
Baitulmal Kelantan".
(Tambahan: Tidak menang bererti kalah. Kalaulah katakan menang juga
(walaupun diyakini kalah), berilah kepada Baitulmal separuh dan PAS
separuh. Kenanglah sedikit jasa PAS yang telah berjaya menjaga
Kelantan selama UMNO tiada dengan aman, tenang dan tanpa mengkhianati
wang rakyat miskin atau kaya).
Kembali kita kepada analisis. Demikianlah sebuah bacaan politik yang
dibuat oleh seorang veteran UMNO. Penyakit yang membelit seluruh
tubuh UMNO inilah yang meletakkan beliau (Abdullah Ahmad) selaku
seorang realis, terpaksa mengakui dengan penuh terbuka tentang
tiadanya kemungkinan untuk UMNO kembali berkuasa. Di antara fakta
yang didedahkan dan dipercayai menjadi punca kekalahan akan datang
adalah amalan-amalan penyelewengan seperti berikut:-
Konspirasi:
i) Adanya konspirasi untuk menjatuhkan Annuar Musa di Hotel Legend,
Kuala Lumpur; (Mingguan Malaysia 18 Nov. 2001)
Politik wang
ii) Tuduhan orang kuat Annuar Musa iaitu Datuk Ariffin Hamid, bahawa
Bahagian Pengkalan Chepa menggunakan wang (politik wang) semasa
kempen pemilihan Ketua Bahagian; (Mingguan Malaysia 18 Nov. 2001)
UMNO ketepi Bumiputera
iii) Orang bukan bumiputera yang sama mendapat projek di dua buah
negeri; (Mingguan Malaysia 18 Nov. 2001)
Kepentingan peribadi
iv) Dakwaan adanya kelulusan peruntukan Menteri Pembangunan Luar
Bandar sebanyak RM50,000 untuk satu projek di tanah milik Dato'
Abdullah Ahmad; (Mingguan Malaysia 18 Nov. 2001)
Mengkhianati peruntukan golongan termiskin
v) Penubuhan syarikat untuk menyedut keluar dana yang diperuntukkan
untuk golongan termiskin dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar;
(Mingguan Malaysia 18 Nov. 2001)
Kepentingan peribadi
vi) Projek 'Putra Peringat' yang dibina di atas tanah milik pemimpin
UMNO menggunakan peruntukan kerajaan; (Mingguan Malaysia 18 Nov.
2001)
Penyelewengan
vii) Penyelewengan projek usahasama Nishikigoi (M) Bhd. dan Yayasan
Kemiskinan Kelantan (YKK); (Mingguan Malaysia 18 Nov. 2001)
Kepentingan peribadi
viii) Pembinaan Bangunan UMNO Peringat di atas tanah milik individu;
(Mingguan Malaysia 18 Nov. 2001)
Kegagalan projek
ix) Penjualan projek 'telur emas' di Bukit Cina, Kok Lanas kepada
sebuah syarikat dari Negeri Sembilan; (Mingguan Malaysia 18 Nov.
2001)
Salah menyalah
x) Di Sri Perdana, Putrajaya, ditengah-tengah kehadiran Dato'
Abdullah Ahmad, Tg. Razaleigh Hamzah, Dato' Kadir Sheikh Fadzir dan
Naib-Naib Presiden UMNO, Perdana Menteri telah dilontarkan dengan
kata-kata kesat berbunyi:
"you perlu berhenti dan berikan kepada Pak Lah. You adalah penyebab
UMNO kini tidak popular". (Mingguan Malaysia 18 Nov. 2001)
Guna duit orang miskin kempen pilihan raya
xi) Separuh daripada RM40 juta (peruntukan PPRT) digunakan untuk
kempen pilihanraya di Kelantan; (Utusan Malaysia 13 Nov. 2001)
Lobi melobi
xii) Dato' Annuar Musa digunakan oleh Dato' Abdullah Ahmad untuk
mendapat jawatan sebagai Wakil Malaysia ke PBB; (Utusan Malaysia 13
Nov. 2001)
Ikut mana yang kuat, bukan ikut mana yang betul
xiii) Dato' Abdullah Ahmad kuat menyokong Anwar Ibrahim tetapi
apabila Anwar jatuh, tulisannya keras memburukkan beliau pula;
(Utusan Malaysia 13 Nov. 2001)
Mulianya perangai setengah pemimpin
xiv) Skandal PPRT Kelantan adalah contoh klasik kes harapkan pagar,
pagar makan padi. (Utusan Malaysia 13 Nov. 2001)
(Dipetik dengan cermat dari Rencana di Utusan Malaysia 13 Nov. 2001
dan Mingguan Malaysia 18 Nov. 2001 oleh Dato' Abdullah Ahmad)
Gesaan terbuka yang berbunyi "you perlu berhenti" adalah ledakan
puncak gambaran betapa bergolaknya UMNO di segenap peringkat. Empat
belas penyakit seperti yang di senaraikan adalah unsur tipikal,
topikal dan sangat kritikal. Ia hampir boleh ditemui di mana-mana,
baik di dalam, di tengah, di tepi , di atas dan di bawah UMNO. Dari
akar umbi hingga ke pucuk pimpinan. Tidak hairanlah pokoknya semakin
kering, garing dan gering. Dia hanya hidup dengan bantuan alat
pernafasan dan "pace maker" berupa ISA, Akujanji dan penggelapan
berita dan maklumat. Ayat-ayat yang berbunyi "you perlu berhenti"
menjadi "taboo" yang amat ditakuti.
Baik di peringkat bahagian, yang dalam konteks ini, diwakili oleh
Bahagian Peringat. Inilah realiti yang sama-sama kita sedang
saksikan; atau di peringkat negeri, seperti yang juga sama-sama kita
sedang saksikan, melalui aksi Dato' Seri Khir Toyo di Selangor -
inilah UMNO. Skandal demi skandal sedang jatuh bertimpa-timpa. Baiki
dinding, runtuh bumbung, sentuh dinding, jatuh tingkap, baiki lantai,
tumbang tiang! Mungkin punca yang ada cuma itu sahaja. Itulah mungkin
satu-satunya. Tidak syak lagi.
Tanpa terlalu banyak memberikan tokok tambah, kita pulangkan
penilaian ini untuk renungan lanjut. Rasanya tidak ada orang yang
berani katakan yang artikel ini menabur fitnah. Rujukannya tidak lain
dari akhbar Mingguan/Utusan Malaysia bertarikh 11, 13 dan 18 November
2001.
Pemimpin UMNO biasanya tidak berbohong dan tidak mungkin Utusan
Malaysia boleh berbohong. Yang biasa berbohong mengikut tuduhan ialah
Harakah? Maka, tersebarlah sebuah kebenaran: dari UMNO mengenai UMNO
buat seluruh rakyat Malaysia. Carilah amalan "good
governance", "efficiency" dan "transparency" yang digariskan MAMPU
dalam skandal PPRT di Kelantan ini. Mudah-mudahan berjumpa! Inilah
dia agaknya erti kecekapan dan kebijaksanaan mentadbir seperti yang
sentiasa menjadi dakwaan YAB Perdana Menteri?
Moral dari kisah ini senang saja. Yang salah tetap salah. Terlalu
banyak berbohong akhirnya inilah jadinya. Benda Sembahyang Hajat yang
dibuat rakyat sekeliling yang "pening" yang memohon pertolongan dari
Allah untuk menunjukkan yang benar itu sebagai benar jangan dibuat
main-main.
Nampak macam biasa sahaja, tetapi sebenarnya ia telah mengundang
campur tangan dari kuasa yang 'Luar Biasa'. Kalau orang Melayu dulu
menyebut UMNO ni barangkali telah terminum air Yassin, maka kini kita
elok ambil renungan dari sepotong maksud Ayat Quran yang berbunyi:
Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya
Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan." (Surah Al-
Qashash: Sebahagian daripada Ayat 77)
Sesungguhnya Allah itu Amat Dekat, tidak sejauh yang disangkakan oleh
kebanyakan manusia. Sifat Maha MelihatNya meliputi segala sesuatu.