UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Balik ke pangkal jalan

Oleh : Lee Ban Chen

Hanya tiga bulan selepas DAP menarik diri daripada Barisan Alternatif (BA), pengerusinya Lim Kit Siang tiba-tiba menganjurkan pula penubuhan satu barisan pembangkang sekular untuk “mempertahankan prinsip perlembagaan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik, sekular dan pelbagai agama dengan Islam sebagai agama rasmi”.

Saranan itu yang ditujukan, terutamanya kepada Parti Keadilan dan Parti Rakyat, rasanya sukar diterima sebagai satu undangan yang ikhlas, kerana luka akibat penarikan diri DAP yang menyebabkan berlaku perpecahan dalam BA, tidak begitu mudah sembuh, dan sekalipun sudah sembuh, parutnya masih ada.

Apatah lagi berpakatan itu adalah satu perkara serius dan bukan boleh menarik diri dan kemudian mahu merujuk kembali sesuka hati mengikut perhitungan politik semasa. Dalam kontroversi isu negara Islam, berlaku polimik secara terbuka berlaku di antara PAS dan DAP dalam media arus perdana. Jika ini dapat dielakkan dan pihak-pihak yang bertelagah lebih bertolak ansur dan bermuafakat dalam lingkungan BA, suatu penyelesaian mungkin dapat dicapai juga akhirnya.

Ini kerana Presiden PAS Datuk Fadzil Noor dalam temubualnya dengan wartawan Berita Minggu (5 Ogos 2001) telah menegaskan bahawa partinya bersetuju menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan BA kerana:

  • Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto Bersama BA;

  • Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan;

  • Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian;

  • PAS perlu berkerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara-perkara yang sudah dipersetujui yang membabitkan soal keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya, sebagai agenda utama perjuangan pakatan BA. Jika ini pendirian PAS yang telah dipersetujui oleh pucuk pimpinannya, penulis tidak faham mengapa penyelesaian tidak dapat dicapai dengan DAP.

Hingga kini, penulis masih mengkagumi kebijaksanaan dan keberanian Datuk Fadzil kerana sanggup mengutarakan pendirian yang begitu objektif, seimbang dan membina. Sayang sekali pendirian yang memperlihatkan semangat BA ini tidak dihargai pihak-pihak yang berkenaan.

Formula terbaik

Namun, ia masih merupakan formula yang terbaik untuk menyelesaikan kontroversi isu negara Islam dalam konteks BA, serta prasyarat yang meyakinkan untuk mengundang DAP supaya kembali ke pangkuan pakatan BA.

Tidak dapat dinafikan bahawa selepas kejadian serangan 11 September dan pengumuman Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam de facto, senario politik negara kita banyak berubah, dan perkembangan politik kebelakangan ini kian menguntungkan kerajaan BN.

Oleh itu, pembangkang telah mula menduga kemungkinan BN mengadakan pilihanraya umum lebih awal sebelum 2004. Dr Mahathir bagaimanapun menafikan BN akan mengadakan pilihanraya umum “kilat”, tetapi apapun hakikatnya ia merupakan satu propaganda percuma yang menguntungkan kerajaan BN.

Pada masa yang sama, berlaku beberapa perubahan yang boleh melemahkan pakatan BA. Pertama, selepas kejadian serangan 11 September, kerajaan BN telah mendapat justifikasi baru - antipengganasan - untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dengan lebih kerap lagi untuk menindas parti pembangkang dan pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggap sebagai antikerajaan.

Kedua, negara Islam acuan Dr Mahathir telah “dipaksakan” ke atas rakyat Malaysia tanpa diberi sebarang pilihan atau melalui proses perundangan yang diperlukan. Pejuang-pejuang antinegara Islam acuan PAS seperti MCA dan Gerakan tiba-tiba menjadi bisu, malah menyokong negara Islam acuan Dr Mahathir yang menurut mereka “negara Islam sekular ”- cantuman negara Islam untuk Melayu dan negara sekular untuk bukan-Melayu.

Malah, Dr Mahathir sendiri semasa mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam, juga mengatakan bahawa rakyat bukan Melayu berhak menganggap Malaysia sebagai negara sekular.

Kesilapan strategi

Ketiga, kerana kesilapan strategi PAS sendiri, umpamanya dalam menangani kontroversi isu negara Islam dan kejadian serangan 11 September, di samping dimomok oleh Umno dan kerajaan BN sebagai sebuah parti Islam yang konservatif, militan ala Taliban, dan dilibatkan pula dengan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), imej PAS di kalangan bukan Melayu terjejas, mengakibatkan sokongan mereka kepada parti itu turut merosot.

Keempat, pembersihan secara menyeluruh terhadap gerakan reformasi dalam parti pembangkang dan kampus Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan penggunaan ISA dan peraturan yang lain, dilancarkan menjelang pilihanraya umum yang akan datang.

Tindakan pembersihan ini mungkin berterusan secara lebih meluas terhadap NGO yang terlibat dalam gerakan reformasi, untuk menjamin kemenangan BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Kelima, perpecahan BA akibat penarikan diri DAP, penahanan pemimpin reformasi di bawah ISA, pengunduran beberapa pemimpin parti pembangkang yang berwibawa, serta pergeseran dan perebutan kuasa antara puak-puak yang berlainan latarbelakang dalam sesetengah parti pembangkang, telah melemahkan fizikal dan moral BA.

Dalam keadaan ini, DAP harus lebih berhati-hati supaya tidak menganjurkan sesuatu yang boleh menimbulkan salah faham selanjutnya antara parti-parti pembangkang yang sangat memerlukan kerjasama untuk menghadapi BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Penulis berpendapat, PAS harus mengambil inisiatif untuk memulihkan imejnya yang terjejas. Strategi dan formula terbaik ialah memberikan sokongan penuh kepada pendirian yang ditegaskan oleh Datuk Fadzil seperti yang disebut di atas, dan menjadikan pendirian tersebut sebagai prasyarat untuk mengundang DAP kembali ke pangkuan BA. Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan!






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 28 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com