Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Imej buruk promosikan Islam

Susunan: MR Mustaqeem

Laporan media dunia tentang serangan di Amerika Syarikat, perang Afghanistan dan isu keganasan memberikan kesan buruk tentang Islam. Tetapi liputan yang bertubi-tubi itu menjadi promosi percuma: di Australia dan Amerika, orang bukan Islam semakin berminat mempelajari agama itu.

Di Australia, naskhah-naskhah Al-Quran terjemahan berbahasa Inggeris semakin sukar diperolehi kini kerana habis dijual berikutan peningkatan minat orang ramai di sana terhadap Islam, kata Sultan M Deen, ketua Majlis Islam Queensland.

Walau telah bertapak sejak 1840-an, 600,000 Muslim di benua itu kini turut menerima kesan salah sangka masyarakat bukan Islam Australia. Ekoran kejadian 11 September itu, Masjid Brisbane telah dibakar.

Kesan lain, kata Feroza Mustapha, ahli jawatankuasa Persatuan Wanita Islam Queensland, terdapat ramai wanita diganggu, sebilangannya ditarik tudung mereka.

Bagaimanapun Feroza percaya kesan positif orang kulit putih Australia lebih ketara berbanding kesan buruk. Beliau berkata apabila masjid mereka dibakar, seorang paderi menawarkan kawasan gerejanya untuk dijadikan tempat orang Islam mengajar anak-anak mereka.

Menurut Deen, keadaan masjidnya juga kembali normal. Malah katanya, bilangan orang yang melawat masjid itu meningkat 10 kali ganda, kemungkinan kerana mereka ingin mengenali Islam dengan lebih dekat dan memberikan sokongan kepada Muslim.

Di Universiti Queensland, presiden persatuan Islam Mohammed Shibly telah menganjurkan beberapa sesi penerangan di sekolah-sekolah bagi menjelaskan salah faham pelajar terhadap Islam.

"Malangnya, Muslim perlu mengambil sikap membela diri kerana Islam sedang diserang," kata Shibly, seperti dilapor agensi berita Inter Press Service (IPS).

Beliau menyalahkan media kerana memberikan gambaran salah tentang Islam, seperti menyamakan jihad dengan 'perang suci (holy war), kalimah yang sering disalahgunakan.

Ungkapan lain yang menimbulkan salah faham tetapi digunakan dengan meluas ialah 'fundamentalis Islam' bagi menggambarkan pengganas. Dion Auriac, seorang yang mengikuti sesi penerangan itu, berkata terdapat perbezaan antara pengganas dengan fundamentalis Islam.

Menurut Patricia Short, pensyarah sosiologi Universiti Queensland, liputan berlebihan media memperkenalkan masyarakat kepada lambang-lambang Islam tetapi interaksi yang kurang dengan Muslim menimbulkan pandangan stereotaip tentang Islam.

Katanya lagi, status wanita Islam berbeza-beza antara satu negara dengan negara Islam yang lain, tetapi masyarakat Australia sering melihat undang-undang Islam terlalu mengongkong wanita. Misalnya ramai beranggapan bertudung itu bertentangan dengan hak asasi.

Perdana Menteri Australia, John Howard, menyifatkan majoriti Muslim Australia sebagai golongan "sukakan keamanan, patuh kepada undang-undang, dan cintakan negara."

Menurut Deen, masyarakat Australia kini lebih bertolak ansur berbanding 15 tahun lepas, ketika semangat perkauman begitu menebal. Generasi muda, yang membesar selepas dasar rasmi 'Australia untuk Kulit Putih' dimansuhkan, belajar menghargai pelbagai budaya. Serangan 11 September membuka peluang kepada masyarakat Australia untuk memahami antara satu sama lain dengan lebih baik, walau timbul juga sedikit rasa perkauman.

Sementara itu, sebuah rencana dalam 'New York Times' pula mendakwa semakin ramai orang Amerika menganut Islam di negara itu mutakhir ini.

Islam menjadi agama yang paling pantas berkembang, akibat penghijrahan orang Islam ke negara itu, kadar kelahiran yang tinggi dan penukaran agama, lapor akhbar berpengaruh itu.

Seorang pakar menganggarkan 25,000 orang memeluk Islam setiap tahun di Amerika dan angka ini meningkat empat kali ganda selepas kejadian 11 September.

Menurut rencana tersebut juga, ramai berkata 11 September menguatkan komitmen mereka terhadap Islam. Shannon Staloch, sebagai contoh, mengucapkan syahadah secara spontan semasa kejadian tersebut berlaku. Dia memeluk Islam secara rasmi 12 hari kemudian.

"Anda tahu bagaimana dunia berubah apabila ia (rampasan kapal terbang) berlaku dan setiap orang menjadi goyah? Saya mahukan sesuatu yang teguh (sebab itu masuk Islam)," kata Shannon.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 20 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com