Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Juraimi sempat khatam quran 2 kali

Selepas rayuannya ditolak, Juraimi Husin, 31, sempat khatam al-Quran sebanyak dua kali, sementara menunggu hukuman gantung sampai mati dilaksanakan.

Bapanya, Husin Jamaluddin, 59, berkata anak kedua daripada enam beradik itu banyak menghabiskan masa dengan menelaah ilmu agama dan mengaji al-Quran dengan bimbingan kakitangan penjara.

Katanya, Juraimi memberitahunya demikian ketika beliau dan isterinya, Siti Jaliah Mohd Sidek, 54, melawatnya di penjara, sehari sebelum hukuman mati dilaksanakan.

“Saya dan keluarga bersyukur Juraimi bukan sahaja sudah insaf tetapi mampu khatam al-Quran dua kali,” katanya selepas pengebumian Juraimi di tanah perkuburan Kampung Teluk Gong di sini, kira-kira jam 11.15 pagi semalam.

Husin berkata, keluarga akan menyimpan naskhah al-Quran milik anaknya itu yang diserahkan Jabatan Penjara kepada pihaknya selepas hukuman terhadap Juraimi dijalankan.

“Ia seolah-olah simbol keinsafan Juraimi dan kami akan simpan dengan baik bagi mengingati anak saya itu,” katanya yang turut menerima semula dokumen dan pakaian Juraimi sepanjang di penjara.

Ketika menemui Juraimi buat kali terakhir, Husin, berkata: “Juraimi kelihatan tenang dan tabah, sebaliknya menasihati kami supaya banyak bersabar. Dia kata sudah takdirnya dia mati dengan cara begini.

Beliau yang juga seorang siak surau di Kampung Perajurit di sini berkata, keluarganya dimaklumkan mengenai pelaksanaan hukuman itu minggu lalu.

“Sebelum pulang dari lawatan terakhir, saya juga diberitahu kakitangan penjara yang hukuman itu dilaksanakan selepas solat Subuh. Apabila pulang ke rumah dan sukar melelapkan mata kerana teringatkan Juraimi.

“Saya hanya dapat lelap mata kira-kira jam 3 atau 4 pagi. Begitu juga isteri saya yang asyik menangis. Paginya pula kami ke penjara bagi menuntut jenazah Juraimi,” katanya.

Husin berkata, beliau sekeluarga terasa kehilangan, terharu dan sedih tetapi tetap mengakui Juraimi sebagai anaknya sekali pun kematian anaknya di tali gantung.

“Juraimi tetap anak saya dan kami sekeluarga reda menerima takdir ini, sekali pun pahit,” katanya.

Sementara itu, Juraimi dipetik oleh sumber sebagai berkata: “Sejak mula masuk penjara baru saya ingat tuhan. Selama ini saya hanya ikut orang.”

Menurut sumber, perlakuan Juraimi banyak berubah daripada seseorang yang hanya menurut setiap arahan Mona Fandey dan Mohd Affandi tanpa sebarang bantahan kepada patuh ajaran Islam.

Katanya, dulu Juraimi tidak mendengar kata ibu bapanya kerana dia lebih mendengar arahan daripada pasangan bomoh berkenaan yang dianggap bagaikan ibu bapa kandung.

“Dia (Juraimi) hendak belajar, tetapi tidak ada pedoman,” katanya.

Menurutnya, ketika dalam tahanan juga Juraimi banyak bergaul dengan banduan akhir (menunggu hukuman mati) lain selain pandai mengaji al-Quran.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 16 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com