Oleh : C.Peng
Petikan : http://www.suaraanum.com
Rakan-rakan saya tidak puas mengajukan satu soalan yang sama kepada
saya. Soalan ini begitu kerap-kali berulang, dalam versi yang berbeza-
beza, namun isinya tidak berbeza,
"Kenapa kau minat sangat politik?"
"Tak takut ke?"
Frekuensi soalan-soalan ini diaju bertambah dengan penangkapan dua
orang aktivis pelajar baru-baru ini. Kini soalannya mengambil bentuk
yang baru,
"Bila kau nak kena tangkap ISA?"
Soalan ini sememangnya pertanyaan yang berseloroh. Saya seorang
mahasiswa picisan, yang cuma gemar mengikuti perkembangan politik
terbaru negara dan antarabangsa, sesuai dengan minat untuk mengetahui
hal ehwal terbaru sedunia. `Dosa-dosa' saya kalau ada pun mungkin
kerana gemar menulis artikel-artikel untuk pelbagai media bebas untuk
menyuarakan pendapat saya.
Begitu ramai yang telah menasihati saya. Saya masih lagi penuntut,
belum pun menikmati hari jadi ke 20, sebagaimana Dr. Mahathir telah
menjadi Perdana Menteri negara selama dua dekad. Mereka mahukan saya
terus belajar tanpa menyuarakan keprihatinan saya kepada negara.
Masing-masing menggelengkan kepala melihatkan sikap saya.
Ibubapa saya mempunyai pendirian reformis. Sebelum Dato' Seri Anwar
Ibrahim dipecat daripada jawatannya ketika saya menjangkau umur 16
tahun pun, saya telah mempunyai pemikiran yang kritikal kepada
establishment.
Saya cukup ingat satu malam pada tahun 1998 ketika saya dan rakan-
rakan melangkah ke kelas untuk prep malam, sebagaimana kebiasaan di
sekolah berasrama penuh. Seorang rakan akrab yang memang penyokong
kerajaan dan sering menjadi lawan saya di dalam perdebatan politik
memberitahu saya, "Anwar kena pecat."
Tiga ayat itu telah diulang-ulangkan kepada rakan-rakan di kelas.
Niat saya untuk menatap buku pada malam itu tertangguh kerana terlalu
ghairah membincangkan mengenai tiga ayat yang kami tidak tahu apa-apa
selainnya. Saya cuba mengingati kembali Tamadun yang lepas-lepas yang
membincangkan mengenai masa hadapan Anwar.
Anwar bukan calang-calang pemimpin, lebih-lebih lagi bagi saya dan
rakan-rakan saya. Kami semua budak koleq – penuntut-penuntut Kolej
Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sekolah di mana Anwar banyak belajar
ilmu kepimpinan dan pidato. MCKK pula bukan calang-calang sekolah –
begitu ramai pemimpin negara dahulu dan hari ini adalah bekas pelajar
di sini. Namun sebagai Timbalan Perdana Menteri yang berkarisma dan
popular, Anwar mempunyai tempat istimewa di kalangan kami.
Bulan-bulan yang berikutnya menyaksikan negara mengalami pelbagai
insiden yang menjadi sejarah penting. Reformasi yang mendapat
sambutan rakyat turut disambut oleh ibubapa saya. Bapa saya tidak
lagi membaca New Straits Times, akhbar Inggeris yang beliau beli tiap-
tiap hari sejak meninggalkan Universiti Malaya di Singapura ketika
negara baru sahaja merdeka.
Menulis adalah darah daging saya. Sebelum ini hasil nukilan saya cuma
layak untuk menghiasi terbitan-terbitan dalam sekolah yang saya
editornya. Namun, setelah meninggalkan bangku sekolah, saya
digalakkan untuk menulis di beberapa buah laman web. Pada mulanya
saya gunakan pseudonym, namun kali pertama saya mencuba nasib di
Malaysiakini dengan menggunakan nama sebenar, artikel saya tersiar.
Tanyalah mana-mana penulis, apa perasaan melihat karya anda
diterbitkan untuk khalayak ramai, dengan nama anda tertulis jelas di
bawahnya? Itu merupakan pengalaman yang cukup manis – apatah lagi
bagi sebuah remaja yang melihatnya buat kali pertama. Ego saya cukup
puas hati waktu itu.
Pengalaman itu cukup untuk menggalakkan saya terus mencuba bakat
saya, dan beberapa karya saya tersiar lagi. Ibubapa saya tidak celik
IT – maka saya mencetak artikel-artikel saya dan ditunjukkan untuk
tatapan mereka. Maklumlah, saya begitu seronok dan mahu melihat
reaksi mereka.
Mereka memberi reaksi yang baik, namun pujian mereka sering diakhiri
dengan ingatan tentang kesan tulisan saya tersebut. Sebagai siswa,
tindakan itu mungkin membahayakan masa hadapan saya. Rakan-rakan yang
mengetahui turut mengingatkan saya.
Pada firasat saya, rakan-rakan dan keluarga saya sememangnya
berfikiran rasional. Mengapa sepatutnya saya begitu gila menulis
artikel-artikel yang mungkin provokatif buat pihak-pihak tertentu
apabila masa hadapan saya yang masih begitu jauh terabai? Saya
bukanlah pelajar geliga yang mendapat A+ memanjang, cuma pelajar
sederhana.
Namun saya sedar apa yang terbaik buat diri saya. Sememangnya
perangai saya ini agak janggal bagi seorang remaja. Tetapi di dalam
hal lain saya remaja biasa juga – saya mengikuti rakan saya ke gedung-
gedung membeli belah, saya minat bola sepak dan sering menjadi
pelanggan VCD cetak rompak Plaza Imbi. Cuma saya ada minat untuk
menulis, dan di dalam tulisan saya saya cuma menyuarakan pendapat
saya, dan itu adalah hak mana-mana manusia. Mungkin pelajaran saya
bukan cemerlang – tetapi lebih ramai pelajar yang mendapat gred lebih
teruk kerana asyik melayan teman wanita mereka atau tidak minat
belajar.
Umur saya sudah cukup untuk menandatangani kontrak. Begitu ramai
remaja-remaja pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu lebih muda dari saya
sudah memimpin bala tentera yang besar. Tidak lama lagi saya boleh
mengundi dan bertanding di Parlimen. Michael Owen menyerlahkan Liga
Inggeris pada umur saya juga. Ertinya, saya bukan kanak-kanak
hingusan yang tidak punya pendapat dan kebolehan untuk
menyuarakannya. Begitu juga rakan-rakan saya yang sebaya yang
lainnya – kami bukan boneka-boneka tolol yang boleh diarah untuk
berbuat apa sahaja sedangkan conscience kami menentangnya. Umur bukan
menjadi ukuran – kalau sememangnya ukuran, orang tua nyanyuk
menjangkau 70-an tidak patut mentadbir negara.
Pendirian saya tegas, meskipun tidak bermakna saya tidak berfikir
akan risiko dan cause and effect tindakan saya. Setiap tindakan saya
terlebih dahulu akan saya timbangkan calculated risk sekalipun
prinsip saya untuk menuntut keadilan dan kebenaran tetap kukuh di
sanubari. Saya seorang realis disamping idealis. Idealisme saya bukan
idealisme membuta tuli yang tidak berpijak pada realiti keadaan dan
persekitaran saya. Biarpun ramai memikirkan gila barangkali saya ini
kerana keprihatinan saya dan keinginan saya menyuarakan pendapat dan
pandangan saya, saya fikirkan ini lebih baik dari cuma tahu mengutuk
di warung-warung tepi jalan tanpa berani menyumbang lebih.
Bukan semua orang dapat memberi sumbangan mereka seperti saya. Masing-
masing ada kemampuan dan kebolehan masing-masing – tetapi kita
seharusnya berani untuk menggunakannya sebaik mungkin untuk prinsip
dan idealisme kita. Ada seorang yang menyuruh saya diam membisu,
belajar bersungguh-sungguh, dan cuma menjadi idealistik apabila punya
kuasa, wang dan pengaruh. Namun saya lebih realistik dari itu – saya
tidak tahu saya yang akan hidup 10, 20 tahun lagi dan memilikki
jawatan besar, kereta besar serta gaji besar masih lagi idealistik
atau sudah termakan dengan cubaan-cubaan dunia. Kebiasaannya,
golongan muda lebih lantang, radikal dan idealistik dari golongan
dewasa.
Hari ini saya idealistik, lebih baik saya tumpukan pada hari ini.
Esok, siapa tahu?