Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Penarikan balik buku kecil: Soalan-soalan utama masih tidak dijawab

Sebagai jawapan kepada ucapan saya di Parlimen semalam, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Khalid Yunus memberitahu Dewan bahawa kerajaan telah mengambil keputusan untuk menarik balik buku kecil bertajuk “Malaysia adalah sebuah Negara Islam”.

Beliau berkata bahawa buku kecil tersebut, yang diterbitkan oleh Kementerian Penerangan, “telah menyebabkan mudarat” selepas saya menanya beliau sama ada sebab sebenar bagi penarikan balik buku kecil itu adalah kerana ada orang yang mengatakan perkara yang salah ataupun ada orang yang mengatakan sesuatu pada masa yang salah.

Sekiranya buku kecil itu ditarik balik semata-mata kerana masanya tidak sesuai, maka ini akan bermakna bahawa isi kandungan dalam buku kecil itu kekal sah dan mencerminkan hasrat kerajaan berhubung dengan isu negara Islam memandangkan buku kecil itu adalah sebuah terbitan rasmi kerajaan.

Selain membuat rujukan yang tidak sensitif dan menyakitkan hati orang bukan Islam, buku kecil itu juga mengandungi dua kenyataan yang amat membimbangkan:

1. dasar bahawa segala yang bercanggah dengan Islam akan disesuaikan dengan kehendak Islam secara berperingkat-peringkat dengan cara yang bijaksana; dan

2. dasar untuk menerapkan nilai-nilai Islam akan dijalankan secara berterusan sehinggalah matlamat untuk menegakkan negara Islam dalam sistem negara terlaksana sepenuhnya.

Justeru, kerajaan mesti memberikan jawapan yang amat jelas mengenai sebab sebenar mengapa buku kecil itu ditarik balik kerana rakyat Malaysia yang sudahpun risau tentang implikasi meluas perisytiharan Perdana Menteri bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam mempunyai lebih sebab untuk berasa bimbang.

Rakyat Malaysia tidak menaruh keyakinan terhadap teori mudah Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik bahawa sekuntum bunga mawar adalah bunga mawar, tidak kira apakah nama yang diberikan kepadanya, dan bahawa rakyat Malaysia tidak seharusnya berasa bimbang mengenai perisytiharan Perdana Menteri.

Bunga mawar akan berkembang menjadi bunga mawar. Akan tetapi, bagaimanakah Liong Sik dapat memberikan jaminan bahawa negara Islam yang diumumkan oleh Perdana Menteri tidak akan menyebabkan apa-apa perubahan di dalam dasar-dasar pembangunan negara dalam tempoh 5, 10 atau 15 tahun padahal kita bukan sahaja melihat niat kerajaan dalam buku kecil yang diterbitkan oleh Kementerian Penerangan, tetapi juga menyaksikan bagaimana UMNO telah mula mengalah kepada tekanan daripada PAS bagi tujuan membuktikan bahawa ia adalah sejati dalam menubuhkan sebuah negara Islam, contohnya isu pelaburan KWSP “haram” dan “halal”?

Oleh : Kerk Kim Hock






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 14 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com