Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Hassan Ali jawab Khir Toyo

Oleh : WARTAWAN CABARAN

MUQADDIMAH Wawancara Mingguan Malaysia dengan Menteri Besar Selangor mengenai dakwaan rasuah kepadanya diharap dapat memberi banyak penjelasan, namun Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo memilih untuk tidak menjawab isu-isu asas yang dilaporkan kepada BPR. Sebaliknya beliau menimbulkan isu-isu yang tidak relevan, termasuk menyerang secara peribadi Ketua Pembangkang di DUN Selangor, DATO' DR HASSAN ALI.

Wakil akhbar Cabaran kemudiannya berjaya mengadakan temu bual khusus dengan Naib Presiden PAS itu. Berikut adalah hasil wawancara tersebut.

CABARAN: Ramai berpendapat, Dr Mohd Khir Toyo, Menteri Besar Selangor, yang menghadapi dakwaan rasuah cuba mengalihkan isunya dengan mendakwa Dr meneroka tanah secara haram pula. Boleh Dr huraikan apa sebenarnya yang berlaku pada kem motivasi Dr itu.

DR HASSAN ALI: Saya setuju dengan pendapat itu. Dr Khir Toyo bukan sahaja mengelak daripada menjawab secara terperinci tuduhan salah laku dan rasuah yang dibuat kepada BPR, malah cuba mencari kambing hitam untuk mengalih pandangan awam mengenai tuduhan skandal salahlaku dan rasuah beliau itu.

Mengenai kem motivasi di Sg Lui itu, syarikat saya iaitu Sabha Total Training Centre Sdn Bhd telah diberi Permit Penggunaan oleh Pengarah Perhutanan Negeri Selangor pada 26 Mei 1994 melalui Permit Penggunaan ST/HS/1/94/PENGGUNAAN. Pengarah Perhutanan Negeri juga sebelum tarikh itu telah memberi kelulusan menggunakan kawasan tersebut sebelum permit penggunaan dikeluarkan melalui surat bertarikh 3 Mac 1993.

Mulai daripada 26 Mei 1994 permit tersebut diperbaharui setiap tahun dengan bayaran premium tahunan sebanyak RM3,500.00 sehingga 31 Disember 1998 dan wang cagaran sebanyak RM5,000.00.

Permohonan untuk memperbaharui permit telah dikemukakan pada 30 Disember 1998 ke Jabatan Hutan. Malangnya jabatan berkenaan telah tidak dapat memberi maklum balas kepada permohonan itu. Ini berterusan sehingga tahun 2001. Kami sekali lagi membuat surat ulangan pada 24 Julai 2001.

Di samping itu pegawai-pegawai saya telah banyak kali menemui pegawai di Pejabat Hutan Daerah untuk mengetahui status permohonan itu. Pihak Jabatan Hutan Daerah tidak dapat memberi kata putus kerana belum menerima arahan daripada Pejabat Hutan Negeri. Kami terus menggunakan kawasan tersebut kerana sehingga hari ini tiada sebarang arahan untuk melakukan sebaliknya.

Apa yang perlu ditekankan di sini ialah bahawa kawasan tersebut diberiguna secara sah oleh Jabatan Hutan kepada syarikat saya seawal-awal bulan Mac 1993 melalui surat yang dikeluarkan oleh Pengarah Hutan Negeri bagi membolehkan kami menjalankan kegiatan latih lasak.

Selama lima tahun kami beroperasi tanpa halangan dan Jabatan Hutan sentiasa prihatin dan sangat bertimbang rasa di samping terus membimbing kami supaya kawasan yang diluluskan itu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Dalam satu kenyataan akhbar, Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Zainuddin Maidin (Zam) mendakwa Dr pernah satu ketika menjadi kroni kepada pemerintah apabila mendapat kemudahan dan juga tanah semasa Muhammad Muhd Taib menjadi MB Selangor. Apa komen Dr.

Saya diberi kemudahan oleh Kerajaan Negeri bukan atas dasar kroni tetapi lebih kepada kemampuan, kebolehan dan tahap profesionalisme yang saya miliki khususnya di bidang latihan korporat dan bimbingan keluarga.

Saya yakin Kerajaan Negeri memberi pertimbangan atas dasar itu di samping membantu saya sebagai anak watan Negeri Selangor untuk beroperasi dengan cara yang lebih teratur. Saya sentiasa berterima kasih kepada semua pihak yang secara ikhlas membantu saya.

Saya memilih menyertai parti PAS/ pembangkang atas dasar keyakinan saya bahawa dalam mana-mana sistem demokrasi peranan pembangkang amatlah perlu khususnya untuk tujuan "check and balance". Pimpinan Umno harus lebih terbuka untuk menerima kritikan membina termasuk amalan salahlaku dan rasuah Dr Khir Toyo seperti yang telah dilaporkan kepada BPR. Anehnya apa yang berlaku ialah pimpinan Umno khususnya Dr Khir Toyo menjadi gelabah, melatah, hilang pedoman dan cuba mencari kambing hitam untuk menutup skandal yang serius itu. Tindakan Dr Khir Toyo mencari-cari kelemahan seseorang untuk menutup skandalnya itu adalah sebahagian daripada kegelabahan yang saya maksudkan itu.

Tanah yang diperolehi dibuat secara prosidur biasa. Tidak ada "hanky panky". Semuanya berjalan mengikut tatacara yang sedia ada dan telus. Ketika memohon, umur saya tidak 20 tahun, nama saya tidak berulang-ulang timbul untuk dianugerahkan tanah, syarikat saya memang telah "established", bukan baru didaftarkan 40 hari dan kemudian diberi tanah, tidak ada anggota lembaga pengarah syarikat saya yang tidak tahu bahawa mereka ada memohon tanah, alamat syarikat tidak menimbulkan tanda tanya dan tidak ada ahli lembaga pengarah syarikat saya orang berkepentingan seperti anak Pegawai Daerah.

Dalam wawancara Khir dengan Mingguan Malaysia Ahad lalu, beliau mendakwa Dr masuk PAS kerana Umno dan BN tidak menawarkan jawatan politik kepada Dr. Dan Khir mendakwa Dr membangkitkan dakwaan rasuah terhadap Khir di DUN hanya kerana Dr mahu menjadi Menteri Selangor.

Bagaimana Umno/BN hendak menawarkan saya jawatan politik? Saya tidak pernah menjadi ahli Umno atau mana-mana komponen BN. Saya masuk PAS untuk membawa keadilan kepada rakyat. Saya masuk PAS untuk membawa sistem pentadbiran negeri/ negara yang telus, amanah dan penuh bertanggungjawab.

Saya masuk PAS untuk memerangi rasuah dan salahlaku pimpinan Umno/BN seperti yang kini sangat menghantui Dr Khir Toyo. Saya masuk PAS untuk membawa sistem penerajuan negeri/ negara yang sentiasa mendapat keberkatan, kerahmatan dan keredhaan Allah s.w.t..

Sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, salahkah saya menyuarakan salahlaku dan rasuah Menteri Besar Dr Khir Toyo di persidangan DUN dan di tempat-tempat lain? Salahkah saya mengajukan usul tergempar di DUN membincangkan kes salahlaku dan rasuah itu? Salahkah saya menggesa di Parlimen supaya BPR bertindak segera menyiasat hingga keakar umbi salahlaku dan rasuah Menteri Besar itu?

Salahkah saya sebagai tanda terima kasih kepada apa yang telah diberi kepada saya untuk terus memperjuangkan keadilan, ketelusan, keamanahan dan kepertanggungjawaban? Insya-Allah saya akan terus melakukan apa yang saya fikirkan benar walaupun ini bererti pimpinan Umno akan terus mencari helah dan mengkambing-hitamkan saya.

Dr Khir juga mendakwa bahawa ketika remaja beliau amat hormat orang PAS. Tetapi apabila ada orang seperti Dr dalam PAS, maka PAS kini melalui zaman malapnya. Komen Dr.

Saya tak pasti apa yang Dr Khir Toyo hendak katakan. Beliau kena ingat masyarakat sentiasa berubah. Pemikiran rakyat pun demikian juga. Dengan pendidikan, rata-ratanya rakyat Malaysia menjadi rakyat bermaklumat. Rakyat bermaklumat biasanya lebih kritikal dan tidak menerima sesuatu secara disuapkan.

Apa yang terjadi sekarang, pemikiran pimpinan Umno termasuk yang muda seperti Dr Khir masih terbelenggu. Budaya ampu, budaya itik seekor turun ke air menyebabkan yang lain semuanya turun begitu berleluasa dalam Umno. Dr Khir cuba meletakkan dirinya yang terbelenggu dalam budaya Umno tersebut dalam masyarakat yang berkembang, ke hadapan, berdada lapang, bermaklumat, kritikal dan benci kepada kronisme, nepotisme, rasuah dan pelbagai salahlaku yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno.

Khir juga mendakwa, ada pihak tertentu sanggup mengupah orang tertentu untuk melaksanakan kerja-kerja fitnah kepadanya. Walaupun beliau tidak menyebut PAS secara langsung, dirasakan ia ditujukan kepada PAS. Apa ulasan Dr.

Sememangnya saya sedang meneliti tuduhan jahat itu daripada seorang manusia yang sedang lemas. Orang yang sedang lemas akan mencapai apa sahaja untuk bergayut. Dr Khir sedang terkapai-kapai.

Keadaan bertambah mengerikan bila orang-orang Umno sendiri tampil mengemukakan pelbagai aduan kepada aktivis-aktivis masyarakat termasuk pembangkang mengenai salahlaku/rasuah pemimpin-pemimpin mereka. Sekali lagi Khir cuba mencari kambing hitam kononnya PAS terlibat membiayai kerja-kerja fitnah terhadapnya.

Biar saya nyatakan di sini dengan sejelas-jelasnya PAS tidak pernah membiayai atau mengupah mana-mana orang melakukan kerja-kerja yang dikatakan fitnah itu. Apa yang PAS lakukan, sebagai parti bermaruah dan mewakili majoriti rakyat sebagaimana yang ditunjukkan dalam pilihanraya 1999, PAS bersama-sama dengan siapa sahaja dalam perjuangan menentang kezaliman, penyalahgunaan kuasa, kronisme, nepotisme dan sebagainya.

Alhamdulillah, usaha ini telah mendapat sambutan dan sokongan yang begitu padu bagi mereka yang cintakan nilai-nilai murni kehidupan insan itu.

Dalam satu lagi dakwaannya, Khir berkata bahawa dalam pilihan raya akan datang PAS tidak akan dapat satu kerusi pun. Malah beliau berkata: "Saya pasti tentang hal ini." Dari sudut pandangan Dr pula, bagaimana harapan PAS dan parti-parti pembangkang lain di negeri Selangor ini.

Kenyataan Khir ini memang menggambarkan peribadinya sombong, angkuh dan bongkak. Mana boleh seorang manusia kerdil seperti kita mengambil tugas Allah untuk membuat penentuan terhadap satu-satu perkara. Kalah menang dalam pilihanraya adalah ketentuan Allah. Manusia hanya dapat mengusahakannya sahaja.

Bayangkan dalam umur 36 tahun dan baru menjadi Menteri Besar selama 14 bulan sudah begitu angkuh dan bongkak. Apa akan jadi kalau rakyat terus mengizinkan manusia rakus ini menerajui Selangor lebih lama lagi. Saya tidak dapat menggambarkan peridahsyatnya tindak tanduk beliau ketika itu.

PAS bersama dengan komponen BA sedang berusaha siang, malam, pagi dan petang untuk mengatur strategi, meneliti pelbagai taktik, membaca gerak langkah lawan dan mendekati pengundi dengan gerak kerja-gerak kerja bersepadu bagi menjamin kemenangan dalam pilihanraya yang akan datang.

Syukur Alhamdulillah, rakyat tua muda, bandar dan desa, kakitangan kerajaan dan swasta, polis dan tentera sentiasa berada di hadapan, belakang, kiri dan kanan kita. Walaupun dikenakan pelbagai sekatan, simpati rakyat terus menerus bersama kita. Makin kami ditindas makin tajam dan mendalam kebencian rakyat terhadap Umno/ BN. Inilah yang mengecewakan pemimpin Umno hingga mereka kelihatan meracau-racau sekarang ini.

Secara menyeluruh, apakah jawapan yang Dr Khir berikan dalam interviu Ahad lalu itu memuaskan Dr. Kalau tidak, dari aspek mana?

Seperti rakyat Malaysia yang lain, khasnya rakyat negeri Selangor, saya begitu kecewa dengan jawapan Dr. Khir terhadap pelbagai tuduhan salahlaku dan rasuah yang dihadapkan kepadanya. Liputan yang begitu luas memakan satu setengah muka surat dalam Mingguan Malaysia yang diperuntukkan kepadanya sepatutnya digunakan dengan sepenuhnya untuk menjawab secara telus tuduhan-tuduhan yang telah disampaikan kepada BPR itu. Tetapi sebaliknya beliau memilih untuk bercerita mengenai perkara-perkara yang tidak berkaitan langsung dengan lebih daripada 10 tuduhan yang mesti beliau jawab.

Saya tidak faham langsung mengapa beliau mensia-siakan kesempatan keemasan yang diberi untuk membersihkan diri, jawatan Menteri Besar, jentera kerajaan negeri, individu-individu yang dikaitkan dan yang pentingnya kewibawaan beliau sebagai ketua eksekutif kerajaan negeri yang sudah tercemar. Selama mana beliau cuba mengelak, selagi itulah beliau akan dihantui oleh tekanan rasa bersalah yang cuba disembunyikannya.

Sepatutnya beliau menjuruskan wawancara itu untuk menerangkan secara telus soalan-soalan seperti :

· Mengapa Meram Holding, syarikat yang diketahui bermasalah, diberi projek pembinaan jalan Cross Ban 4, Sg. Panjang yang dipersoalkan?

· Mengapa harga kontrak begitu mahal mencecah RM 4.5 juta bagi 1km ? Berapakah anggaran JKR?

· Mengapa projek di beri secara rundingan terus?

· Mengapa Menteri Besar sendiri mengeluarkan surat setujuterima kepada kontraktor?

· Nafikan ahli-ahli lembaga pengarah sub-kontraktor, Cabaran Wangsa yang menjalankan projek pembinaan itu tidak ada kaitan langsung dengan diri Dr Khir Toyo?

· Bagaimana Ahmad Termizi Tajjeury pengarah syarikat Cabaran Wangsa yang diberi sub-kontrak mendapat tanah 50 ekar di Shah Alam dan 50 ekar lagi di Kuala Langat? Apakah beliau tidak ada kaitan langsung dengan Dr Khir?

· Bagaimana hampir semua ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat yang diberi tanah di Bukit Cherakah mendapat tanah lebih daripada sekali. Terdapat seorang lembaga pengarah Samsuri Rahmat namanya hadir pada keempat-empat syarikat yang setiap satunya dianugerahkan tanah itu?

· Mengapa tarikh penubuhan syarikat dan kejayaan memperoleh tanah menjadi isu?

· Bagaimana Ahmad Azmir Mohd Yusoff, Noor Ashikin Mohd dan Mardhiah Mohamad dilantik sebagai pengarah pada hari yang sama 28 Mei 2001 dan tidak sampai 40 hari selepas itu iaitu pada 4 Julai 2001, mereka bertiga mendapat tanah 50 ekar di Kuala Langat?

· Mengapa timbul persoalan mengenai alamat syarikat-syarikat yang diberi tanah itu?

· Mengapa terdapat beberapa orang ahli lembaga pengarah tidak tahu menahu yang mereka mendapat tanah?

· Mengapa latar belakang sebahagian daripada ahli lembaga pengarah boleh diragukan untuk membangunkan tanah yang dianugerahkan kepada mereka?

· Mengapa hampir semua ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat yang mendapat tanah di Kuala Langat berumur di antara 20-22 tahun?

· Bagaimana terdapat anak salah seorang Pegawai Daerah terlibat sedangkan ayahnya masih bertugas di negeri Selangor? Tidakkah ini menimbulkan kecurigaan?

Saya tidak berhajat untuk membuat senarai panjang tentang perkara-perkara penting yang menjadi pokok kepada kontroversi, keraguan, ketidaktelusan dan penyembunyian fakta seperti yang disebutkan dalam laporan kepada BPR.

Bagi saya inilah di antara persoalan pokok yang mesti di beri keutamaan oleh Dr Khir dalam wawancaranya. Kegagalan beliau menjawab soalan-soalan ini menambahkan lagi syak dan ragu saya terhadap kewibawaan beliau.

Cara beliau cuba mencari kambing hitam menampakkan gelagat beliau yang bertambah menggelabah apatah lagi di kalangan orang Umno sendiri sudah mula hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau. Sejak dari awal kita di beritahu pemilihan beliau sebagai Menteri Besar banyak menimbulkan tanda tanya.

Khir dalam jawapannya bagi menangkis dakwaan rasuah kepadanya sering mengaitkan bahawa apa saja keputusannya dalam hal kelulusan tanah adalah merupakan kelulusan Exco secara kolektif. Maknanya dia langsung tidak ada kepentingan dalam proses membuat keputusan itu.

Saya ingin memetik buku tulisan bekas menteri Tan Sri Megat Junid bertajuk "Getek" di muka surat 75. Buku itu menyebut "Cengkaman MB atau KM terhadap rakyat dan ahli-ahli Umno cukup kuat," kata Megat Junid dalam bukunya. "… kadang-kadang kelulusan tanah dan balak tidak pun di bawak ke Mesyuarat Exco. Terutama kelulusan yang tidak begitu besar. Yang buat keputusan hanya MB, Pengarah Tanah dan Pengarah Hutan …"

Petikan ini membantu kita memahami keadaan sebenarnya. Saya mewakili rakyat amat bersedih kalau kata-kata Megat Junid ini menggambarkan apa yang terjadi di negeri Selangor. BPR sebagai badan berwibawa sudah tentu akan menyiasat perkara ini secara yang paling profesional. Kita harap BPR akan membantu rakyat mengetahui duduk perkara yang sebenarnya. Kini rakyat sedang menunggu dan nama Menteri Besar mesti dibersihkan dengan segera.

Sepanjang Dr menimbulkan isu rasuah Khir ini, bermula di sidang DUN dan kemudiannya dalam majlis-majlis ceramah, apa respons rakyat terhadapnya, terutama sekali pengundi di sekitar Tanjong Karang.

Rakyat Selangor adalah rakyat yang faham tentang perjalanan sistem demokrasi. Rakyat Selangor juga adalah rakyat yang perihatin, bermaklumat dan rata-ratanya kritikal. Hal ini menyebabkan mereka sangat tidak berpuas hati cara isu ini ditangani dan didedahkan.

Bayangkan sudah begitu lama timbulnya isu ini, sudah dilaporkan kepada BPR dibahaskan di Dewan Undangan Negeri dan juga di Parlimen tetapi tidak dipaparkan di media massa. Isu ini telah di"blackout" kan daripada media. Mujurlah ada Harakah, ada Cabaran, ada laman-laman web rakyat yang prihatin.

Di sana sini rakyat tertanya-tanya. Rakyat inginkan penjelasan. Rakyat sayangkan ketelusan, rakyat negeri Selangor tidak mahu terus menanggung malu akibat perbuatan menteri-menteri besar yang lalu yang mencatitkan rekod hitam semasa diberi amanah memegang kuasa. Rakyat di Tanjong Karang sebagai rakyat yang paling hampir dengan Dr Khir Toyo sudah tentu merasakan diri mereka mesti terlibat untuk menentukan negeri Selangor tidak sekali lagi dilanda malapetaka akibat kecurangan seorang Menteri Besar. Penduduk Sabak Bernam, Tanjong Karang dan Kuala Selangor sangat mengharapkan agar BPR dapat menyelamatkan keadaan. Taktik yang digunakan akhir-akhir ini untuk mencari kambing hitam, saya menelahkan akan memakan diri MB sendiri.

Pihak Umno menuduh bahawa PAS sengaja menabur fitnah kepada Khir kerana bimbangkan pengaruh peribadinya dalam pilihan raya akan datang, yang boleh menyebabkan PAS kehilangan semua kerusi yang ada. Khir dikatakan mempunyai reputasi yang baik sekali terutama untuk menentang PAS.

Kalau kita masih ingat, pada minggu-minggu pertama Dr. Khir memegang jawatan beliau memilih untuk memperkotak-katikkan YAB Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz dan membuat beberapa cabaran kepada beliau secara begitu biadap sekali. Kemudian dituruti dengan tindakan ganas mengharamkan ceramah-ceramah umum.

Berikutnya beliau mengharamkan ceramah-ceramah di masjid. Beliau juga mengambil tindakan drastik ke atas PASTI (institusi pra-sekolah anjuran PAS) dan banyak lagi yang pelik-pelik yang tidak berlaku sebelum ini. Isu salahguna kuasa dan rasuah ini benar-benar menjadi pukulan maut penyudah terhadap karier beliau sebagai MB.

Kalau diizinkan beliau terus berkuasa dengan peribadi dan kewibawaan yang tercemar, saya khuatir akan wujud keadaan anarki di negeri Selangor. Saya berlindung kepada Allah supaya ini tidak berlaku.

Rakyat negeri Selangor amat cerdik. Enam orang pembangkang yang mereka pilih adalah terdiri daripada anggota yang berwibawa, berkelulusan tinggi, berpengalaman luas, komited kepada tugas dan idealisme perjuangan memertabatkan rakyat dan negeri Selangor.

Prestasi mereka selama ini di dalam dan di luar Dewan amat dikagumi. Isu-isu yang mereka pilih adalah isu-isu yang fundamental, berkait terus dengan rakyat dan mempunyai kepentingan dan keperluan terkini. Bandingkan kewibawaan mereka dengan sesetengah ADUN Umno.

Pilihan rakyat untuk menerajui negeri Selangor adalah PAS/ BA. Bayangkan di setengah-setengah kawasan Parlimen dan DUN negeri Selangor calon-calon Umno mengalami kemerosotan undi ribuan peratus yang belum pernah terjadi sebelum ini. Insya-Allah, dengan sentiasa mengharapkan pertolongan Allah negeri Selangor akan menjadi selamat bila PAS/ BA dipilih menjadi kerajaan penyelamat.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 1 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com