Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Lagi Bukti Baru Khir Rasuah

Oleh : AHMAD LUTFI OTHMAN

Pada 23 Oktober 2001, saya telah membuat aduan rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR), Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di depan Penolong Penguasa Kamaruddin Baharom.

Aduan itu kemudiannya diulangi semula pada 8 November 2001, ekoran kenyataan sumber BPR yang disiarkan akhbar pada 4 November, mendakwa ia bukannya ‘aduan rasmi’ tetapi hanya berbentuk maklumat. Esoknya, 9 November, saya memberi keterangan lanjut di Pejabat BPR Selangor, Shah Alam, selama lebih tiga jam, di depan Penguasa Azni Yahaya.

Saya telah membutirkan lebih sepuluh kes yang mensyakki Dr Khir Toyo menyalahgunakan kuasa atau melakukan amalan korupsi semasa diberi amanah untuk mentadbir kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan. Antaranya, projek Jalan Cross Ban 4 (B44), bernilai RM92.5 juta, sepanjang 20.5 km di Sekinchan yang dianugerahkan kepada sebuah kontraktor yang bermasalah dan hampir disenaraihitamkan, Meram Holdings Sdn Bhd.

Isu mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor meluluskan permohonan tanah di Shah Alam dan Kuala Langat, pada 20 November 2000 dan 4 Julai 2001, kepada syarikat yang dipertikaikan juga telah dibangkitkan terutama kepada empat syarikat yang pengarahnya baru berumur 20 tahun. Tiga dari empat pengarah muda itu hanya dilantik menjadi pengarah syarikat, tidak sampai pun 40 hari sebelum mereka bertiga diluluskan 50 ekar tanah di Kuala Langat.

Dalam aduan pertama saya, pada 23 Okt. di bawah Perenggan E, Perkara 5, saya mencatatkan: “Menteri Besar didakwa menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam satu mesyuarat lembaga, untuk mendapatkan sebidang tanah di Shah Alam, sehingga menyebabkan pengurusan PKNS membuat dua kali tawaran harga tanah tersebut kepadanya. Ini kerana MB tidak berpuas hati dengan tawaran harga yang pertama.”

Pada 30 Oktober 2001, Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Burung, Dato’ Dr Hassan Ali, semasa membahaskan Belanjawan 2002 Negeri Selangor, telah membangkitkan isu berkaitan tanah PKNS itu.

Esoknya, pada 31 Oktober, Menteri Besar, Dr Khir Toyo semasa menggulung perbahasan Belanjawan itu, menolak dakwaan berkenaan. Walaupun mengaku beliau ada ditawarkan tanah milik PKNS tetapi kedua-dua tawaran yang dibuat itu, menurut Dr Khir, adalah dengan harga yang sama. Beliau kemudiannya mendakwa menolak tawaran itu kerana, tambahnya, beliau tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelinya.

Sehubungan dengan itu, pada pagi Selasa lalu, 4 Disember 2001, jam 10.30 pagi, bersamaan 18 Ramadhan 1422, saya sekali lagi mengunjungi Ibu Pejabat BPR di Putrajaya, untuk memberikan maklumat lanjut tentang hal itu. Saya cuba menghubungi pegawai BPR yang menerima ‘maklumat’ dan aduan rasmi tempoh hari. Malangnya Kamaruddin Baharom gagal ditemui.

Salah seorang daripada pegawai bertugas hari itu menasihatkan saya supaya terus saja ke Pejabat BPR di Kompleks PKNS, Shah Alam, kerana, katanya, kes membabitkan Dr Khir itu telahpun dipindahkan ke sana. Nampak mereka agak keberatan menerima maklumat lanjut saya itu.

“Sebenarnya saya lebih selesa membuat laporan di Putrajaya. Bukannya saya mempertikai kemampuan BPR Selangor untuk membuat siasatan tetapi saya rasa lebih molek jika yang hendak disiasat merupakan ketua kerajaan sesebuah negeri, maka pihak yang menyiasat perlu didatangkan dari luar negeri itu, yakni dalam kes ini, dari Putrajaya,” kata saya kepada seorang pegawai BPR.

Hal ini dari awal lagi saya telah timbulkan, bimbang pihak BPR Selangor sendiri tidak cukup selesa untuk memulakan proses siasatan kerana ia membabitkan Menteri Besar Selangor sendiri. Akhirnya, Penolong Penguasa Mohd Nasharudin Amir bersetuju untuk menerima maklumat terbaru itu, khususnya selepas saya berjanji memberi keterangan lanjut di Shah Alam!

Menurut surat tawaran pertama kepada Dr Khir Toyo, bertarikh 13 Februari 2001, Pengurus Besar PKNS, Dato’ Haji Harun Salim, “lanjutan daripada percakapan kita tempoh hari”, mencadangkan satu tapak banglo di Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi kepadanya, dengan butiran berikut:

No. Lot : 14, jalan 2/1 G
Luas Lot: 22,862.54 kaki persegi (0.47 ekar)
Infrastruktur: Siap
Penguasa Tempatan: Majlis Perbandaran Kajang
Harga jualan: RM20.00 sekaki persegi

Melalui surat itu juga, Harun mencadangkan agar Dr Khir “dapat meluangkan masa supaya kami dapat mengaturkan lawatan untuk melihatr sendiri tapak yang dicadangkan ini.”

Agak aneh juga melihat ungkapan yang digunakan oleh Pengurus Besar PKNS sebelum beliau mencadangkan tapak banglo buat Dr Khir, yang juga merupakan Pengerusi PKNS, iaitu “lanjutan daripada percakapan kita”. Siapa ‘kita’, kalau bukan antara Harun dan Dr Khir sendiri.

Soalnya, di manakah lokasi ‘percakapan kita tempoh hari’ itu? Apakah dalam sembang-sembang kosong minum petang ataupun dalam satu mesyuarat lembaga PKNS yang khusus? Menurut sumber, Dr Khir, ‘secara halus tetapi tepat pada sasarannya’, menimbulkan cerita bahawa semasa belum dilantik Menteri Besar, beliau pernah memohon tanah daripada PKNS tetapi tidak dilayan.

Dengan menimbulkan cerita seumpama itu, ia bagaikan dentuman halalintar membelah bumi bagi seorang pengurus besar yang merasakan tempoh perkhidmatannya boleh ditamatkan bila-bila masa saja oleh MB. Justeru, kita tentunya tidak sukar menelah apa yang akan dilakukan oleh pengurus besar itu bila mendengar luahan hati MB mengenangkan pengalaman masa lampaunya dengan PKNS!

Di sinilah yang saya syak berlaku unsur-unsur amalan rasuah yang ketara, sama ada membabitkan menteri besar yang mendapat tanah ataupun pengurus besar yang menawarkan tanah tersebut. Tidak mustahil jika kedua-duanya boleh disabitkan. Saya turut mempersoalkan, apakah Dr Khir mengikuti semua prosedur ketat dalam proses memohon tanah PKNS. Saya kira jawatannya sebagai MB dan juga Pengerusi PKNS tidak mengecualikan beliau dari mematuhi segala prosedur yang diperlukan.

Difahamkan setiap tanah yang diluluskan untuk dijual oleh PKNS akan diperakukan terlebih dahulu oleh mesyuarat lembaga PKNS, yang dipengerusikan Menteri Besar Selangor. Soalnya, apakah Dr Khir meluluskan permohonan tanah untuk dirinya sendiri?

Persoalan lain yang timbul ialah layanan istimewa yang diberikan PKNS kepada Dr Khir apabila harga tanah yang ditawarkan pada surat kedua bertarikh 12 Mei 2001 mendapat potongan hampir 50 peratus. Menurut surat cadangan pertama, harga tanah ialah 22,862.54 kp x RM20.00 sekaki persegi = RM457,250.80, manakala bagi surat tawaran kedua, harga tanah yang dinyatakan ialah RM231,678.00, atau lebih kurang RM10.00 sekaki persegi.

Difahamkan, potongan harga seumpama itu cukup luar biasa dalam amalan lazim pengurusan PKNS. Kakitangan yang bekerja lebih 20 tahun pun khabarnya hanya mendapat potongan sebanyak 10 peratus. Namun tidak dipastikan, apakah ia satu kelaziman bagi PKNS untuk menawarkan tanah dengan harga istimewa kepada semua menteri besar yang baru dilantik?

“Sesiapa yang mendapat tanah daripada PKNS sudah cukup beruntung kalaupun harganya tetap. Ini kerana harga yang ditawarkan PKNS jauh lebih murah daripada harga pasaran,” kata seorang ahli perniagaan yang terbabit dalam hartanah.

“Malah harga pasaran tanah di Seksyen 2, Bandar Baru Bangi itu sekurang-kurangnya RM25 sekaki persegi,” tambahnya.

Bukan soal nilai tanah yang menjadi pertikaian, tetapi kita khuatir jika dalam proses jual-beli sekecil itu berlaku amalan salah guna kuasa, kita bertambah bimbang takut-takut dalam urusan yang lebih besar dan membabitkan lebih banyak wang rakyat, amalan rasuah lebih mudah berleluasa.

Tetapi lebih menakutkan kita jika Menteri Besar sanggup ‘berbohong’ dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor yang lalu, pada 31 Oktober, hanya semata-mata untuk mengelak dari pertuduhan yang dihadapkan ke atasnya.

Benarkah apabila Dr Khir berkata bahawa kedua-dua tawaran terhadap tapak tanah lot banglo di Seksyen 2, Bandar Baru Bangi itu adalah dengan harga yang sama? Kedua, benarkah Dr Khir apabila berkata bahawa beliau menolak tawaran berkenaan sedangkan sumber memberitahu tawaran itu diterimanya dan pembayaran telah selesai dilakukan?

Saya menunggu jawapan Dr Khir.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com