Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Khir Toyo tidak bercakap di Dewan Undangan Negeri Selangor

Oleh : WARTAWAN DETIKDAILY

SHAH ALAM: Aktivis media, Ahmad Lutfi Othman, yang membuat laporan ketiga kes rasuah Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo, Selasa lalu di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya telah diminta memberi keterangan lanjut Jumaat lalu, 7 Disember jam 9.30 pagi.

Penguasa Azni Yahaya dari Pejabat BPR Shah Alam merakamkan keterangan Lutfi ekoran penemuan bukti terbaru kes rasuah Khir Toyo yang membabitkan penawaran tapak banglo oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Segala-galanya berjalan lancar dan pihak BPR Selangor saya lihat bersungguh-sungguh menyiasat kes ini, meskipun ianya membabitkan Menteri Besar Selangor," kata Ahmad Lutfi selepas selesai ditemubual Azni, sejam kemudian.

"Saya harap siasatan kes ini tidak diganggu oleh mana-mana pihak yang berkepentingan," tambahnya menjawab kemusykilan kemungkinan ada pemimpin atasan kerajaan yang cuba campur tangan dalam kes berkenaan.

Lutfi yang membuat aduan pertama pada 23 Oktober membutirkan dengan lebih terperinci tentang dakwaannya mengenai tawaran tanah 'secara luar biasa' oleh PKNS kepada Khir, yang juga Pengerusi Lembaga PKNS.

Meskipun pada awalnya Lutfi mendakwa lokasi tanah yang ditawarkan Pengurus Besar PKNS, Dato' Harun Salim itu di Shah Alam, tetapi selepas beliau mendapat bukti lanjut, lokasi tanah sebenarnya ialah di Seksyen 2, Bandar Baru Bangi.

"Dua kemusykilan saya timbul apabila melihat bukti itu, pertama, apakah Dr Khir Toyo melalui prosedur yang betul semasa memohon tanah tersebut. Yang kedua, apakah satu kelaziman bagi pihak PKNS untuk menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus kepada pembeli tanah PKNS sedangkan sesiapa yang berjaya membeli tanah PKNS dengan harga penuh pun boleh dikira beruntung kerana harga itu jauh lebih rendah daripada harga pasaran," tambah Lutfi.

Jelasnya lagi, kalau pun menjadi amalan pengurusan PKNS untuk membuat potongan istimewa ke atas tanah miliknya yang hendak dijual, sepatutnya yang mendapat keistimewaan itu bukannya Menteri Besar, apatah lagi Dr Khir merupakan Pengerusi Lembaga PKNS sendiri.

"Yang wajar mendapat potongan sehingga 50 peratus ialah pembeli dari kalangan mereka yang tidak mampu, bukannya seorang Menteri Besar," tambah Lutfi lagi.

Bekas Ketua Editor Detik itu, sambil menunjukkan dua salinan surat tawaran dari PKNS kepada Khir, berkata, siasatan pihaknya menunjukkan, hatta kepada kakitangan PKNS sendiri, potongan harga maksimum ke atas tanah-tanah PKNS hanyalah di sekitar 10 peratus sahaja.

Sedangkan Khir mendapat potongan hampir 50 peratus dan kiraan menunjukkan Menteri Besar Selangor itu mendapat keuntungan lebih RM110,000 dengan harga baru yang ditawarkan.

Menurut surat bertarikh 13 Februari 2001, Pengurus Besar PKNS, Harun Salim menawarkan tanah seluas 22,862.54 kaki persegi, di Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi, kepada Khir dengan harga jualan RM20.00 sekaki persegi.

Bagaimanapun pada 12 Mei, Harun sekali lagi menawarkan tanah yang sama, dengan keluasan sama, kepada Khir, dengan harga jualan RM231,678.00 atau lebih kurang RM10 sekaki persegi.

Apabila isu ini pertama kali ditimbulkan oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Dato' Dr Hassan Ali di persidangan DUN, 31 Oktober lalu, Khir mengaku ada menerima kedua-dua tawaran itu, tetapi harganya adalah sama dan beliau akhirnya menolaknya kerana dikatakan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelinya.

Bagaimanapun, Lutfi menyanggah penjelasan Khir dengan berkata: "Saya ada bukti bahawa Khir menerima tawaran itu dan sudahpun membuat pembayaran ke atasnya. Saya tidak pasti apakah Khir boleh dikatakan telah berbohong di Dewan yang mula itu."






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 9 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com