Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Menanti kelahiran sebuah ‘Filem Tok Guru’

Oleh : DINSMAN

‘SEMINGGU Dalam Kehidupan Tok Guru Nik Aziz’. Memang saya obses dengan benda ini. Apa tidaknya. Sudah lebih satu tahun saya membawanya kesana kemari. Bermula pada Oktober 2000.

Mulanya bukan cerita ‘seminggu’, tapi cerita yang ‘lengkap’ mengenai seorang tokoh manusia serba sederhana yang luarbiasa. Saya bandingkan dia dengan Ghandi. Bukan dari segi kepercayaan agama, tapi kemanusiaan. Tak ada bandingan lain. Selepas Ghandi, dialah – yang seperti itu. Serba sederhana, lembut – tapi luarbiasa.

Kalau Ghandi boleh menjadi sesuatu yang menarik perhatian dunia (bertaraf dunia), maka Nik Aziz pun tidak kurangnya. Cuma ketokohannya (imannya, taqwanya, amalnya, iltizamnya, pengabdiannya kepada Tuhan, perjuangannya untuk sesama manusia) belum diberi perhatian sedemikian rupa. Padahal spesis yang seperti ini saya percaya sangat diperlukan oleh dunia hari ini, untuk … ? Untuk … barangkali untuk mengembalikan dunia ke arah yang lebih baik.

Hah, melampau betul pemikiran saya ini! Meletakkan Nik Aziz di tempat yang sehebat itu?

Apa, salahkah? Salahkah letak orang seperti Nik Aziz di tempat sehebat itu. Tetapi tidak salah meletakkan orang seperti Mahathir Mohamad di tempat itu? Atau orang seperti Michael Jackson, atau seperti Julia Robert?

Saya telah mengikuti dia – dan kaji lebih kurang – cuba mendalami visinya, perjuangannya – memang dia spesis luar biasa. Bukan tidak ada kelemahan. Kerana dia manusia mestilah ada kelemahan. Tetapi dia luarbiasa. Seorang manusia yang hebat, tetapi tidak hebat. Dia boleh menjadi contoh kepada manusia lain. Terutamanya bagi mereka yang hendak mengenali Islam, atau hendak mempelajari Islam, atau hendak mendalami Islam, atau hendak berpegang teguh dengan Islam – dia boleh menjadi contoh.

Bahkan dialah contoh terbaik pemimpin yang ada di atas muka bumi pada hari ini. Yang saya kenal. Mungkin ada yang saya tak kenal, saya tak tahulah. Dan yang ada negeri/negara di bawah pentadbirannya. Memang hebat! Tetapi Nik Aziz sendiri tidaklah hebat. Dia macam manusia biasa saja. Spesis dia spesis manusia biasa. Tapi!

Dan yang pentingnya, dalam konteks filem, kehidupan Nik Aziz adalah satu kehidupan yang colourful, berwarna-warni, menarik, dan sangat menarik untuk dijadikan bahan filem.

Saya mula merakamkan peristiwa-peristiwa penting untuk diadun jadikan filem ini pada Oktober 2000. Tetapi beberapa minggu kemudian kerja itu terbantut. Ada beberapa masalah. Dan apabila masalah dapat diatasi maka disambunglah semula proses yang tergendala itu. Akhirnya daripada sesuatu yang dirancangkan ‘lengkap’ untuk filem mengenai seorang tokoh, terpaksa diubah menjadi “seminggu dalam kehidupan” sahaja.

Namun idea asal untuk melahirkan sebuah filem mengenai Tok Guru ini tetap tidak ditinggalkan. Masih lagi berlegar-legar dalam kepala. Obses. Mesti dilahirkan. Sekarang sedang bincang dengan Nasir Jani - sang pengarah filem yang pernah menggemparkan dunia Malaysia itu. Nasir memang setuju – Excited lagi.

Antara filem yang lakonan dengan filem yang real. Itulah dia! Yang mana satu? Nasir cuba timbulkan kemungkinan filem yang lakonan. Sambil itu dia pun excited juga membuat kerja editing bahan video (footage) yang real.

Ini dokumentari - memang. Tapi ini pun filem. Cuma yang ini tidak ada lakonan. Buat apa lakonan kalau yang realnya ada? Kadang-kadang yang real itu lebih hebat daripada yang fiksyen (lakonan). Dan dalam kes ini yang lakonan tidak mungkin mengatasi yang real, iaitu Tok Guru Nik Aziz itu sendiri.

Merakamkan kehidupan seminggu Tok Guru Nik Aziz ini – tanyalah Nasir – susah nak cakap – pengalamannya – memang real. Nik Aziz adalah Nik Aziz seperti biasa. Kami tidak mengganggu perjalanannya yang real itu. Tetapi kami membuat penggambaran. Dan Nik Aziz seperti menganggap kami ini tidak ada di situ. Kalau kami sempat, sempatlah. Kalau kami tak sempat, tak sempatlah. Tak ada perbincangan.

Ada yang terjadi sangat cantik sekali. Dan ada yang terlepas.

Memang penggambarannya lain daripada penggambaran lakonan. Tetapi apabila semua bahannya dikumpul, disusun, diadun – saya mengharapkan ia akan menghasilkan sebuah filem. Dan saya membayangkan ‘filem’ ini ditayangkan di pawagam-pawagam di seluruh Malaysia.

Saya percaya orang ramai akan membanjiri pawagam di seluruh negara, untuk menonton ‘Filem Tok Guru’ ini. Kalaulah hal itu boleh terjadi di negara kita ini. Kalaulah negara Malaysia kita ini seperti negara Amerika Syarikat atau England, yang demokrasinya membenarkan perkara seperti ini dilakukan, maka bolehlah kita saksikan satu peristiwa menarik ini.

Orang akan membanjiri pawagam-pawagam di seluruh negara – termasuk anak-anak muda, rockers, rappers, semuanya tak terkecuali – baik Melayu baik Cina baik India, semuanya akan menonton Tok Guru Nik Aziz di pawagam-pawagam … dan semuanya akan jatuh hati dengan Tok Guru Nik Aziz – yang terserlah keikhlasan dan kejujurannya dalam kepimpinan.

Memang tidak ada pemimpin lain lagi dalam dunia ini yang seperti dia. Dan orang akan percaya dunia boleh menjadi lebih baik sekiranya yang memimpinnya adalah orang seperti Tok Guru Nik Aziz ini. Bukan orang Islam sahaja yang akan menerima dia, orang bukan Islam pun akan menerima dia.

Memang saya obses dengan benda ini. Memang luarbiasa. Tanyalah Nasir!






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 12 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com