Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Tolaklah peguam negara, hakim boneka

Oleh : KIM QUEK

Kenaikan pangkat Datuk Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara adalah tamparan kepada semua rakyat Malaysia, kerana perlantikan itu datang selepas Mahkamah Persekutuan (mahkamah tertinggi di negara ini) secara praktiknya telah ‘menyalibkan’ beliau kerana dituduh memainkan peranan memalsukan bukti terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam perbicaraan ke atasnya.

Di dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan baru-baru ini (28 Jun 2001) yang menolak pensabitan kesalahan "menghina mahkamah" ke atas peguam Anwar, Zainur Zakaria, hakim-hakim berkali-kali mempersoalkan kewajaran tindak-tanduk Gani dalam hubungan dengan tuduhan bahawa ia memainkan peranan menggunakan gertakan hukuman mati untuk mendapatkan bukti palsu dari kawan Anwar bagi tujuan mensabitkan Anwar dengan kesalahan.

Ucapan hakim-hakim tanpa boleh disangkal lagi membangkitkan wujudnya pakatan jahat antara pendakwa dan hakim untuk menjatuhkan hukuman salah kepada Anwar secara palsu.

Gani sepatutnya disiasat

Sebagai ketua pendakwa dalam perbicaraan Anwar, Gani sepatutnya disiasat serta-merta dan dibawa ke pengadilan kerana tuduhan aktiviti jenayah ke atasnya.

Sebaliknya, apa yang memeranjatkan negara ini, beliau kini dinaikkan pangkat sebagai Peguam Negara yang begitu berkuasa, kedudukan yang diberikan budibicara untuk mendakwa atau tidak ke atas seseorang.

Perlantikan yang memeranjatkan itu, datang setelah berlakunya dua perlantikan yang meragukan di dalam kedudukan tertinggi kehakiman, adalah isyarat yang jelas bahawa campur tangan yang hodoh ketua badan eksekutif sekali lagi berlaku dalam kesediaan untuk memerangi reformasi dalam kehakiman yang diinisiatifkan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Mohd Dzaiddin Abdullah.

Dua perlantikan dalam badan kehakiman yang dimaksudkan itu ialah perlantikan hakim besar Malaya, Datuk Ahmad Fairuz dan perlantikan Tan Sri Mohtar Abdullah sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Fairuz atas sifatnya sebagai hakim mahkamah rayuan sebelum ini telah menolak rayuan Zainur yang dijatuhkan hukuman kerana "menghina mahkamah", yang mana hukuman itu kemudiannya ditolak dengan kecaman yang keras oleh Mahkamah Persekutuan pada 28 Jun 2001 kerana hukuman itu penuh dengan perkara-perkara yang tidak wajar dan tidak mengikut peraturan.

Cara Fairuz yang terlalu yakin sebagai hakim, dan juga kenaikan pangkatnya mengatasi hakim lain yang lebih kanan dan cemerlang rekodnya telah menjadi bahan kritikan keras dalam jurnal Majlis Peguam, Insaf.

Mohtar pula adalah bekas peguam negara yang mengepalai pendakwaan dalam perbicaraan Anwar.

Selain dari tindak-tanduknya yang sangat dipertikaikan dalam perbicaraan keji ke atas Anwar, termasuk penglibatannya dengan Gani dalam skandal mereka-reka bukti yang dinyatakan sebelum ini, beliau juga dikritik beberapa kali semasa menjalankan tugas sebagai peguam negara yang melakukan pendakwaan berpilih atau selektif, mengetepikan tuduhan jenayah termasuk tuduhan merogol dan rasuah ke atas seorang pemimpin kanan Umno sambil begitu cepat bertindak di dalam mendakwa secara tidak adil pemimpin pembangkang kerana mendedahkan aktiviti jenayah pemimpin-pemimpin kerajaan.

Perlantikan-perlantikan penuh keraguan itu tidak syak lagi mengakibatkan kegemparan yang serius dan keadaan yang amat memeranjatkan tentang adakah ikrar Ketua Hakim Negara untuk memulihkan kebebasan kehakiman akan dipatahkan, lebih-lebih lagi apabila tempoh dua tahunnya yang singkat akan berakhir dalam masa setahun lagi.

Bagi negara seperti Malaysia, yang sudah pun kehilangan fungsi demokrasi check and balance, perjuangan untuk memulihkan kebebasan kehakiman adalah soal hidup dan mati.

Pembangkang ditekan, pilihanraya jadi sandiwara

Di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selama dua dekad, Malaysia telah dilunturkan dari demokrasi kepada kediktatoran melalui penguatkuasaan keras undang-undang yang menekan.

Parlimen kini dikerdilkan sebagai semata-mata rubber stamp kepada badan eksekutif, kebebasan akhbar tidak wujud, TV dan radio hanya menyiarkan propaganda kerajaan, perhimpunan umum anjuran pembangkang diharamkan, pemimpin-pemimpin pembangkang ditangkap dan ditahan dengan tidak diketahui bila akan dibebaskan tanpa sebarang perbicaraan, kehakiman dijadikan pengecut (sehingga baru-baru ini) dan pilihanraya hakikatnya adalah sandiwara.

Pemerintahan tunggal Dr Mahathir telah mengakibatkan rasuah dan kronisme yang parah yang hanya memanfaatkan golongan elit dengan menggunakan alasan perlaksanaan polisi bertindak yang bersunguh-sungguh bagi kepentingan orang-orang Melayu.

Polisi-polisi pilih kasih yang mencengkam dan meluas berasaskan kaum kini membahayakan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa, dan sekaligus membahayakan survival ekonominya di dalam dunia yang diglobalisasikan.

Salah urus yang begitu ketara dan perampokan besar-besaran dana awam telah menghabiskan sumber-sumber Malaysia.

Mengatasi semuanya, pendakwaan kejam dan tidak adil terhadap Anwar dan penindasan kejam ke atas gerakan Reformasi yang dipimpin oleh Anwar telah menjerumuskan nama Malaysia di kalangan masyarakat antarabangsa.

Kedaulatan undang-undang di negara ini telah terbenam jauh ke bawah sehingga menyebabkan ia belum lagi mendapat keyakinan pelabur.

Dalam keadaan yang begitu mendukacitakan, satu-satunya cara berperlembagaan yang masih terbuka kepada rakyat Malaysia yang mahukan reformasi bagi mencapai objektif mereka untuk mengundurkan kuasa politik yang sedang mencengkam negara ini ialah dengan mendapatkan keadilan dari pihak kehakiman.

Kehakiman yang benar-benar bebas akan dapat memulihkan keadilan kepada rakyat, dan mengembalikan arena pertandingan yang sama rata dan seimbang antara pihak yang sedang berkuasa dan mereka yang mencabarnya.

Contoh yang praktikal ialah rayuan terakhir Anwar ke terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atasnya di dalam perbicaraan pertama, yang sebelum ini dijangka akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada 12 November 2001, tetapi ditangguhkan kerana, kita diberitahu, hakim yang terlibat sakit.

Bagaimana jika rayuan Anwar berjaya?

Jika Anwar berjaya dalam rayuan ini, begitu juga di dalam rayuan ke atas hukumannya di dalam perbicaraan kedua, beliau akan dibebaskan dari penjara.

Begitu juga, para pemimpin Reformasi yang kini ditahan tanpa bicara di bawah ISA, juga mengemukakan rayuan terakhir mereka kepada Mahkamah Persekutuan atas penolakan permohonan habeas corpus mereka.

Perbicaraan tersebut, yang sebelum ini dijangka diadakan pada 20 November 2001, juga ditangguhkan kerana, kita diberitahu sekali lagi, hakim yang terlibat sakit.

Jika para pemimpin Reformasi ini berjaya di dalam permohonan mereka, ini bermakna mahkamah telah mengambil peranan untuk menghentikan penyalahgunaan ISA yang kini begitu berleluasa dan membabi buta untuk mematahkan penentangan politik yang sah.

Kesan gabungan kepada pembebasan Anwar dan para pemimpin Reformasi akan terus menguatkan semula pengaruh KeADILan.

Dengan reputasi Anwar yang baik sebagai pemimpin yang dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa dan populariti yang begitu meluas di kalangan masyarakat Melayu terus kukuh, tidak syak lagi beliau akan memberikan cabaran yang hebat kepada Dr Mahathir.

Dan gerakan Reformasi, dengan membawa slogan perjuangan anti-rasuahnya di atas platform pelbagai kaum, tentunya akan menjadi alternatif yang berkesan kepada Barisan Nasional yang sedang berkuasa yang begitu terbelit dengan politik wang dan perkauman yang ketinggalan zaman.

Senario di atas bukanlah satu impian, tetapi realiti yang nyata, jika Ketua Hakim Negara berjaya memulihkan kehakiman sebagai institusi yang bebas dan berkesan, dan dengan itu menyempurnakan fungsinya di bawah Perlembagaan.

Oleh kerana semua parti pembangkang telah pun mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar sebagai bakal perdana menteri, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk menggabungkan semua kekuatan pembangkang menjadi kerajaan yang berkesan dengan bakat-bakat yang mencukupi untuk memimpin Malaysia di dalam cabaran yang tidak pernah berlaku yang kini dihadapi oleh Malaysia di dalam persekitaran baru revolusi IT dan globalisasi.

Dan Malaysia masih boleh lagi diselamatkan dari salah perintah Dr Mahathir yang berlanjutan.

Bukanlah sukar untuk melihat berlakunya perkara itu, jika negara ini hendak mempertahankan survivalnya sebagai demokrasi yang berkesan; Ketua Hakim Negara mestilah dibenarkan melaksanakan reformasinya di dalam kehakiman, tanpa halangan dari pihak eksekutif.

Reformasi kehakiman tidak menjadi

Perlantikan Gani sebagai peguam negara, Fairuz sebagai hakim besar Malaya dan Mohtar sebagai hakim Mahkamah Persekutuan sudah pasti merupakan halangan besar yang dibuat untuk menentang dan menggelincirkan reformasi kehakiman yang berjalan baik setakat ini.

Oleh kerana Perdana Menteri adalah penggerak utama kesemua perlantikan ini di bawah Perlembagaan, tekanan yang maksimum mestilah dilakukan untuk memaksa beliau berundur dari apa yang kini dilakukannya.

Kehakiman yang dihormati adalah pertahanan terakhir kita untuk menentang cengkaman Perdana Menteri ke atas apa sahaja saki-baki hak-hak asasi manusia yang masih ada pada kita.

Marilah kita tetapkan sekarang bahawa Perdana Menteri tidak boleh melampaui batas dalam nafsunya yang tidak pernah puas untuk memperhambakan kita.

Marilah kita menolak peguam negara boneka dan hakim-hakim boneka dengan segala kekuatan kita.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 12 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com