UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Parlimen sudah tidak berfungsi?

Oleh : ROSMIDA ABD RAHMAN

Wakil Memo16, Rosmida Abd Rahman menemubual HUSAM MUSA, seorang ahli parlimen dari parti PAS, Kelantan (Kubang Kerian), yang disifatkan antara pembahas terbaik di Dewan Rakyat.

MEMO16: Sdr dikatakan antara pembahas terbaik di parlimen, terutama dalam menyuarakan isu bersertakan dokumen dan fakta yang konkrit. Sepanjang terlibat sebagai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, setakat ini bagaimana usul-usul tergempar dibawa? Begitu juga dengan masa yang dikatakan terhad dan soalan-soalan tidak dijawab oleh menteri sendiri tetapi hanya melalui wakilnya.

HUSAM MUSA: Sebelum itu saya ingin menyebut misi saya sendiri di parlimen. Pertama, berperanan menyuarakan kepentingan rakyat jelata dalam semua bidang, khusus dalam mendengar luahan hati mereka. Kedua, ahli parlimen PAS mesti menonjolkan kemampuan dan kelebihan dasar PAS, iaitu Islam, dalam semua isu, seperti isu alam sekitar, pertahanan, ekonomi. Ketiga, menjadi watch-man, iaitu mengkritik dan membongkar dasar-dasar kerajaan yang tidak baik, lebih lagi keputusan yang tidak menguntungkan rakyat dan negara. Pada pendapat saya inilah misi dan visi ahli-ahli parlimen PAS.

Berbalik kepada persoalan awal tadi, tentang masa, pada relatifnya perlu ada sekatan. Bagaimanapun kita mesti bijak mengatur strategi dan menggunakan kesempatan yang sedikit dengan semaksimum yang boleh. Dari segi kerajaan, sememangnya mereka mencari peluang menyekat ahli parlimen pembangkang membongkar dan mendedahkan perbuatan buruk kerajaan.

Bagaimanapun kita telah bercakap soal reformasi parlimen. Ini tidak tertakluk kepada masalah masa semata-mata. Antaranya, tanggungjawab menteri menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Tambahan pula perbahasan yang bersangkutan dengan mana-mana kementerian, seharusnya Menteri mesti hadir untuk mengikuti perbahasan dan mengambil tanggungjawab menggulung perbahasan bagi setiap kementerian. Bagi saya, ini adalah satu pengabaian kepada tanggungjawab.

Kedua, perlu ada reformasi dengan menubuhkan jawatankuasa atau komiti, misalnya komiti dalam dan luar negara, komiti siasatan. Apabila berlaku sesuatu isu yang besar dan dibangkitkan dalam parlimen, maka parlimen boleh mengambil tanggungjawab menubuhkan jawatankuasa khusus tertentu bagi menyiasat samada dakwaan pembangkang berasas atau tidak, dan dilaporkan kepada jawatankuasa penuh. Bagaimanapun, ia tidak berlaku di Malaysia.

Begitu juga, sepatutnya ahli parlimen pembangkang diberi kemudahan dalam mendapat maklumat-maklumat tambahan daripada kementerian-kementerian di luar masa parlimen. Ini membolehkan ahli-ahli parlimen pembangkang membuat persiapan dengan lebih berhati-hati dan tepat dengan sesuatu isu.

Bagaimana dengan kemudahan perpustakaan dan pusat penyelidikan untuk menambah sumber pengetahuan kepada Ahli Parlimen pembangkang?

Kemudahan perpustakaan ada. Tetapi apabila saya hendak merujuk isu Kementerian Luar Bandar bagi membuat penyelidikan, sukar untuk mendapat kerjasama. Pihak kerajaan tidak mahu melayan permintaan ahli parlimen pembangkang.

Bagaimana dengan kehadiran menteri-menteri dan ahli parlimen BN ke parlimen? Sebelum ini Mahathir sudah memberi amaran supaya ahli parlimen BN hadir ke sidang parlimen, tetapi beliau sendiri tidak hadir.

Sebenarnya kehadiran ahli parlimen mestilah mengikut model oleh pemimpin mereka. Dahulu, ketika zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau begitu komited dengan kehadiran parlimen. Apabila bersangkutan dengan kementeriannya, beliau akan datang. Bagaimanapun, selepas pilihanraya 1999, dengan jumlah pembangkang bertambah, kerajaan seolah-olah begitu takut untuk berhadapan dengan pembangkang.

Oleh demikian, untuk menjawab perbahasan dan menggulung perbahasan, jarang sekali menteri yang menggulung, tetapi hanya diserahkan kepada Setiasauaha Parlimen atau timbalan menteri yang lain. Ini menyebabkan komitmen ahli-ahli parlimen yang lain untuk hadir tidak begitu menyerlah. Bagaimanapun jika Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri boleh menunjukkan contoh dan teladan, pasti ahli parlimen lain lebih bersemangat.

Rekod kerja PAS di parlimen dijadikan kayu pengukur oleh pengundi. Ada pihak mendakwa rekod ahli-ahli parlimen PAS sepanjang 1990-1999 tidak begitu baik. Mungkin sdr ada pandangan lain?

Prestasi ahli parlimen pembangkang bagi orang awam diukur berdasarkan siaran media massa. Banyak perkara telah kita utarakan tetapi tidak dilaporkan. Oleh demikian, pada anggapan masyarakat, kita tidak memainkan peranan sepenuhnya. Satu saluran untuk membolehkan setiap perkara yang ahli parlimen pembangkang ucapkan dapat disampaikan kepada orang ramai, adalah tajuk yang lain.

Akibat masa yang terhad juga, perkara dibangkitkan tidak menyeluruh. Oleh demikian, media massa yang bersimpati dengan kita boleh berperanan mengembangkan isu-isu yang telah dibangkitkan dalam perspektif lebih menyeluruh. Bukan semata-mata laporan dari parlimen, tetapi menemui ahli-ahli parlimen tersebut sebagai isu lanjutan. Barulah masyarakat akan lihat mereka berperanan.

Saya tidak menafikan, pihak kerajaan memang cuba merendah-rendahkan peranan pembangkang dalam parlimen, supaya wibawa mereka tidak terserlah.

Usul yang sering dibawa ke parlimen oleh ahli parlimen pembangkang kebanyakannya dikatakan usul-usul kecil. Tetapi sesetengah usul itu sepatutnya memerlukan perbahasan secara mendalam. Misalnya perkara Wawasan 2020, dan terbaru – konsep negara Islam. Tiba-tiba sahaja ia diisytiharkan oleh Mahathir: Malaysia negara Islam. Sepatutnya ia perlu dibawa ke parlimen dan dibahaskan dengan teliti. Jelas perkara ini tidak dibahaskan, dan Mahathir melakukan keputusan sendiri.

Kita boleh melihat hal ini dalam perspektif lain, oleh kerana perkara yang dibangkitkan tadi adalah perkara yang dipolitikkan. Sebenarnya BN tidak serius untuk menerapkan perkara yang diisytiharkan. Ia hanya sebagai pengisytiharan politik. Ia tidak memberi kesan terhadap struktur yang sedia ada. Justeru mereka tidak membawa ke parlimen.

Bahkan pembangunan Putrajaya yang melibatkan jumlah lebih kurang RM22 billion nyata sekali tidak pernah dibawa ke parlimen secara tersusun. Ini adalah satu cara bagi kerajaan melepasi semakan yang dibuat oleh ahli parlimen terhadap perkara-perkara besar yang ingin disampaikan.

Setakat ini, peranan dan fungsi parlimen dalam membawa cetusan nurani rakyat, berjaya?

Sebenarnya kita masih di peringkat transisi. Bukan kehadiran kita di parlimen sebagai pembangkang semata-mata. Sekarang adalah proses mempamerkan kematangan dan kebolehan pimpinan parti pembangkang. Justeru, langkah pertama menawarkan diri sebagai kerajaan. Ini adalah satu stepping stone bagi pembangkang dalam membentuk kerajaan.

Kita tidak boleh melihat peranan pembangkang sudah selesai dengan bertambahnya bilangan pembangkang di parlimen. Ini tidak kena. Kita sememangnya berhasrat membentuk kerajaan, dan parlimen adalah satu saluran.

Dalam hal ini perlu diterangkan, bahawa kerajaan menuduh kita ingin melaksanakan perjuangan kita dengan cara militan atau di luar undang-undang. Sekali lagi, penglibatan kita dalam sistem demokrasi berparlimen menunjukkan bahawa kita berhasrat menubuhkan kerajaan mengikut sistem yang ada sekarang, bukan di luar sistem.

Dakwaan bahawa PAS ingin menubuhkan satu negara teokratik, iaitu para mullah berkuasa, adalah satu perkara yang tidak akan berlaku. Rang undang-undang dan semua peraturan akan diluluskan melalui parlimen. Parlimen terdiri dari ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat jelata. Inilah kuasa tertinggi untuk menguruskan negara. Tiada kuasa yang lebih tinggi selain parlimen.

Malah kabinet sendiri bertanggungjawab terhadap parlimen. Ahli kabinet di bawah BA, insya-Allah jika diberi kuasa memerintah, mesti datang dari ahli parlimen, sama ada dari Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Oleh demikian, adalah mustahil yang dipanggil mullah dalam konteks teokratik yang cuba didakwa oleh pengkritik-pengkritik PAS, boleh berlaku. Ini kerana ahli kabinet mesti datang dari kedua-dua dewan, dan bertanggungjawab juga terhadap kedua-dua dewan. Tidak mungkin ada institusi lain yang boleh mengatasi kuasa ahli kedua-dua dewan mengatasi ahli kabinet.

Saya ingin memberi keyakinan terhadap rakyat, terutama masyarakat bukan Islam, bahawa tuduhan yang mengatakan PAS ingin menubuhkan kerajaan teokratik dengan ‘mullah’ berperanan sebagai kuasa mutlak, adalah tidak berasas sama sekali.

Bagaimana dengan persempadanan semula? Hal ini pasti menguntungkan BN.

Kita jangan lemah semangat dengan hal yang diaturkan oleh pihak lawan. Terpulang kepada kita untuk kreatif dan bersungguh-sungguh dalam perjuangan. Kita tidak boleh mengharapkan musuh bersimpati dengan kita. Tetapi perlu ada kekuatan tersendiri bagi menghadapi serangan balas.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 26 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com