UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Rancangan Pakatan Pembangkang Baru ?

Oleh : DR SYED HUSIN ALI

Sehingga hari ini keADILan dan PRM belum lagi menerima, secara rasmi atau tidak rasmi, sebarang undangan atau penjelasan daripada DAP mengenai apa yang disebut sebagai rancangan mengadakan pakatan pembangkang yang baru, tidak termasuk PAS. Kami hanya melihat atau mendengar dari media saja mengenainya. Kami percaya pihak pimpinan DAP sudah pun membincangkan cadangan ini secara terperinci dan mencapai persetujuan mengenainya.

PRM sudah tentu akan membincangkan perkara ini dengan mendalam serta serius sekiranya dikemukakan kepada kami secara langsung dan tidak melalui media. Kami perlu membincangkannya di peringkat pimpinan, dan sekiranya perlu, di peringkat anggota juga. Bahkan, oleh kerana kami masih menjadi anggota dan mendukung Barisan Alternatif (BA), kami juga perlu membincangkannya dalam Majlis Pimpinan BA. Kami berpendapat perkara ini perlu didekati dengan cara yang demokratik.

PRM menerima dengan hati terbuka sebarang pandangan orang lain tentang apakah yang baik atau tidak baik bagi perjuangan serta masa depan parti dan juga negara. Sehubungan ini kami menghormati hak Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh, untuk mengemukakan pandangan beliau sendiri tentang siapa yang lebih baik menjadi sahabat politik kami. Akan tetapi, dengan rendah diri kami berpegang teguh bahawa corak perjuangan serta visi masa depan kami perlulah ditentukan oleh semua pemimpin serta anggota parti kami, bukan kerana tekanan dari luar.

DAP telah keluar dari BA setelah mengadakan perbincangan dua pihak (bilateral) dengan PAS mengenai isu Negara Islam. Walaupun isu ini telah dibincangkan dalam rangka bidang BA pada mulanya, akan tetapi akhirnya keADILan dan PRM seolah-olah diketepikan. Bahkan apabila DAP keluar dari BA ia dilakukan secara mengejut, dan kami mengetahui hanya melalui media. Namun demikian, walaupun merasa kesal kami tetap menghormati keputusan DAP itu.

Kami percaya Presiden keADILan, Dr Wan Azizah, ikhlas dan serius apabila mengharapkan DAP akhirnya dapat kembali ke BA semula. Pada masa yang sama kami memahami bahawa dalam keadaan sekarang memang sulit sekali bagi DAP berbuat demikian. Oleh kerana itu, kami berharap BA bersama-sama DAP akan bersedia untuk memulakan perbincangan bagi menjalin kerjasama atau persefahaman yang baru, supaya dapat memberikan persaingan lebih berkesan kepada BN dalam pilihanraya akan datang.

Sehubungan ini kami ingin menyeru agar semua parti, pertubuhan, golongan dan individu yang mahu melihat perubahan, keadilan, demokrasi, perpaduan negara dan kebajikan rakyat di Malaysia, sama-sama berbincang untuk mencari jalan kerjasama atau persefahaman. Untuk memudahkan ini, sebarang bentuk tuduhan dan kecaman sesama sendiri yang tidak membantu dalam perpaduan gerakan pembangkang perlulah diberhentikan. Jauh lebih banyak persamaan daripada perbezaan di antara kita yang boleh menjadi asas kerjasama atau persefahaman tersebut.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 23 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com