Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Lawatan imam anjuran MAIK temui Ku Li jadi tanda tanya

KOTA BHARU, 30 Nov (Hrkh) - Kunjungan imam dari negeri ini ke rumah Ketua Bahagian Umno Gua Musang di Kuala Lumpur, baru-baru ini menjadi tanda tanya kepada orang ramai di sini.

Seramai 108 imam menyertai rombongan tersebut yang dikendalikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan.

Tiga buah bas disewa khas bagi tujuan itu. Mereka dibawa ke rumah Tengku Razaleigh Hamzah di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Ketua Umno Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali.

Naib Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, apakah motif sebenar rombongan imam dari Kelantan dibawa ke rumah seorang pemimpin Umno di Kuala Lumpur.

"Ku Li tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan Maik yang menganjurkan rombongan tersebut. Malah saya diberitahu oleh imam-imam yang hadir bahawa Ibrahim Ali juga berada di rumah Ku Li ketika itu," katanya, di sini.

Harakah keluaran terbaru mendedahkan imam-imam dari Kelantan dibawa ke rumah Ku Li selepas selesai mengadakan lawatan ke Putrajaya.

Mengikut laporan tersebut, setiap imam diberi duit poket sebanyak RM50 seorang dan menginap di sebuah hotel bertaraf tiga bintang. Segala perbelanjaan mereka ditanggung oleh pihak tertentu.

Ustaz Abdul Rahman berkata, lawatan itu sudah jelas berbau politik yang mempunyai mesej jangka panjang bagi menarik perhatian imam-imam.

Katanya, sebahagian besar imam-imam di negeri ini adalah penyokong dan pengerak perjuangan Islam.

Adzhar Ismail dari Bachok berkata, politik untuk memancing undi sudah bermula sekarang dan adalah malang apabila sebuah badan agama digunakan bagi tujuan tersebut.

Katanya, tidak sepatutnya sebuah badan agama yang bertanggungjawab ke atas segala urusan umat Islam memainkan peranan secara tidak langsung mengheret imam di negeri ini ke kancah politik.

Haji Omar Abdullah dari Kedai Lalat berkata, Maik sepatutnya mengelakkan diri daripada terjebak dengan kancah politik kerana apa yang dilakukannya sekarang sudah membayangkan perkara tersebut.

"Kerajaan negeri setiap tahun memperuntukkan sejumlah wang kepada badan agama itu, namun tindak tanduknya kebelakangan ini jelas sekali sudah mencerminkan elemen politik yang bertentangan dengan kerajaan negeri.

"Maik juga tidak mematuhi cuti dua hari seminggu yang diamalkan kerajaan negeri, sebaliknya mengikut cuti bekerja sebagaimana dilakukan kerajaan Pusat," katanya.

Sementara itu, Safuan Hamzah dari Pengkalan Chepa berkata, kunjungan rombongan imam ke rumah Ku Li memperlihatkan seolah-olah pemimpin Umno itu mempunyai hubungan secara tidak langsung dengan Maik.

Katanya, kemungkinan besar pihak berkenaan cuba mempergunakan badan agama itu sebagai benteng terakhir untuk menarik sokongan rakyat Kelantan terhadap Umno.

"Sekiranya mereka mahu menafikan, mengapa lawatan imam yang dikelolakan Maik dibawa ke rumah Ku Li di Kuala Lumpur dan bukan jabatan lain kerajaan bagi memenuhi ruang untuk melawat sambil belajar di sana," tambahnya.

Harakah difahamkan sebelum ini beberapa siri lawatan imam ke Kuala Lumpur ditaja oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Bagaimanapun pada kali ini, Maik sendiri dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan menganjurkan lawatan tersebut.

Lawatan itu diadakan sebelum sambutan Ramadhan baru-baru ini, di mana mereka turut mengadakan pertemuan dengan Penasihat Agama Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Abdul Hamid Othman dan menerima sehelai kain pelikat daripadanya.

Selain itu, rombongan imam dari Kelantan juga berjumpa dengan Presiden Umno di sebuah hotel pada malam akhir lawatan.

Difahamkan sepatutnya seramai 120 imam menyertai rombongan tersebut dengan menaiki tiga bas, bagaimanapun pada saat-saat akhir 12 imam tidak hadir.

Imam-imam yang menyertai lawatan menerima surat jemputan daripada Maik dan kemudian dipanggil melalui telefon bagi memaklumkan program lawatan berkenaan.

Seorang imam yang enggan mendedahkan identitinya memberitahu beliau terpaksa hadir pada program lawatan tersebut kerana khuatir diambil tindakan oleh Maik.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com