Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Mohd Sabu ditangkap lagi

Oleh Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 5 Dis (Hrkh) - Dua orang penganjur dan dua penceramah undangan 'Majlis Nuzul Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang' ditahan di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara (SPU), Butterworth kira-kira empat jam atas tuduhan mengadakan ceramah tanpa permit Isnin, 3 Disember lepas.

Penganjur ialah Pesuruhjaya PAS Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman dan Timbalannya, Ustaz Khalid Man.

Manakala penceramah undangan ialah Ahli Parlimen Kuala Kedah, Haji Mohamad Sabu serta penyampai tazkirah Ramadhan, Ustaz Othman Ibrahim.

Haji Mohamad Sabu ditahan sekitar pukul 12.15 malam manakala Hamdan dua puluh minit kemudian. Sementara itu, Ustaz Khalid dan Ustaz Othman Ibrahim lima minit kemudian. Kesemua mereka di bawa ke Ibu Pejabat Polis Butterworth dengan dua kereta peronda.

Haji Mohamad selesai disoal siasat sekitar 3.50 pagi sementara tiga lagi pukul 4.20 pagi. Kesemuanya dikenakan jaminan mulut dengan empat orang penjamin.

Menyingkap kejadian itu, ianya bermula terhadap ceramah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Haji Omar dua hari sebelum itu apabila pasukan polis datang menasihatkan penganjur supaya jangan adakan ceramah di luar kawasan yang diizinkan iaitu dalam bangunan markas.

Namun untuk mengelak daripada pembatalan, pihak penganjur akhirnya mengikuti nasihat tersebut tetapi pihak polis masih ramai untuk mengawasi keadaan.

Tetapi, berlainan dengan malam ceramah oleh Ahli Parlimen Kuala Kedah kerana pihak polis dan Pasukan Gerak Am (PGA) datang lebih awal dan berbaris di hadapan pintu masuk Markaz Tarbiyah PAS Negeri di Pongsu Seribu, Kepala Batas sewaktu Ustaz Othman Ibrahim mengimami Solat Terawih dan tazkirah.

Bila ceramah bermula beberapa oramg pegawai polis cuba masuk untuk membatalkan tetapi di halang oleh petugas kerana yakin ceramah boleh diadakan di dalam premis parti atau kawasan persendirian.

Akhirnya polis menggunakan pembesar suara menyuruh semua yang hadir dalam bangunan markas itu bersurai kerana ceramah ini tiada permit.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Saudara Azizi Ayub ketika ditemui menyifatkan, tangkapan ini tidak sewajarnya dilakukan kerana PAS mengadakan ceramah dalam premisnya sendiri iaitu dalam markas PAS.

Tindakan keras seperti menghalau peniaga terangnya, juga tidak seharusnya terjadi seolah-olah memberikan gambaran buruk sesuatu akan berlaku di samping menakut-nakutkan pengunjung yang datang.

"Sikap yang ditunjukkan oleh pasukan polis tidak sewajarnya berlaku kerana kita adakan ceramah dalam premis sendiri dan individu yang memberikan penjelasan bukan calang-calang orang sebaliknya Ahli Parlimen yang sah dipilih rakyat," ujarnya.

Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Ustaz Saleh Man pula berkata, ianya boleh di rundingkan di tempat ceramah itu diadakan dan tidak wajar di bawa ke Ibu Pejabat polis kerana ianya menyusahkan ke dua-dua pihak.

Lagipun tambahnya, PAS sentiasa mengikut peraturan seperti adakan ceramah dalam premis sendiri.

"Sebenarnya kejadian itu tidak sebesar mana dan ianya boleh dirundingkan di tempat ceramah sahaja tanpa di bawa ke Ibu Pejabat Polis. Tambahan lagi, PAS sentiasa ikut peraturan yang ditetapkan seperti berceramah dalam bangunan, " terangnya sambil bersyukur tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com