UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Akhbar Cabaran diberi amaran keras oleh KDN kerana kes Khir?

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Hrkh) - Akhbar mingguan politik semasa, Cabaran, dikatakan telah menerima amaran bertulis daripada Unit Kawalan Penerbitan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berikutan laporan eksklusif akhbar berkenaan mengenai dakwaan rasuah terhadap Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Menurut sumber, ketua pengarang akhbar yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan itu telah dipanggil ke Ibu Pejabat KDN (Bahagian C) di Putrajaya pada 7 Disember lalu, bagi memaklumkan secara terus isu yang berbangkit.

Akhbar Cabaran, yang diterbitkan sejak setahun lalu, bermula pada pertengahan Oktober lalu, menyiarkan laporan penyiasatan Ahmad Lutfi Othman tentang dakwaan rasuah dan amalan salah guna kuasa Dr Khir Toyo, khususnya berkaitan kelulusan permohonan tanah kepada syarikat yang dipertikaikan, termasuk kepada pengarah yang baru berusia 20 tahun dan hanya menyertai syarikat tidak sampai pun 40 hari sebelum mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor meluluskan permohonan mereka.

Cabaran bukan saja membuat pendedahan mengenai projek membina jalan raya di Sekinchan dan Sungai Panjang, yang kosnya berlipatkali ganda dari taksiran awal dan dianugerahkan kepada sebuah kontraktor bermasalah yang hampir disenaraihitamkan, di kawasan Dr Khir Toyo menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, tetapi juga menyiarkan bukti-bukti bergambar bagi menyokong dakwaan Ahmad Lutfi.

Lutfi, yang merupakan editor kepada dua majalah yang diharamkan KDN, iaitu Detik dan Al-Wasilah, turut membuat tiga kali aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), iaitu pada 23 Oktober, 8 November dan yang terakhir pada 4 Disember lalu.

Isu ini juga menjadi perbahasan hangat di sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, selama tiga hari bermula 29 November lalu.

Bagaimanapun, menurut sumber KDN, Cabaran diberikan amaran bukan kerana menyiarkan laporan berkaitan aduan rasuah Dr Khir tetapi kerana isi kandungannya telah menyimpang daripada permohonan asal, yang bukan lagi memberikan tumpuan kepada hal ehwal semasa tetapi lebih kepada isu-isu politik semasa yang kontroversi.

Dan perkara ini, tambah sumber KDN itu lagi, telah dikesan lama sebelum isu Khir Toyo diperbesarkan oleh akhbar berkenaan, iaitu sejak bilangan terbitannya yang ke-10 lagi.

Cabaran juga dikatakan telah berusaha mempengaruhi pembaca untuk mempertikai kewibawaan Badan Pencegah Rasuah bagi menjalankan siasaran ke atas pemimpin kerajaan.

Dalam pada itu, ada pihak yang lebih condong mengaitkan amaran keras KDN kepada Cabaran itu sebenarnya ditujukan kepada penerbitnya yang dikatakan banyak memberi peluang kepada tulisan-tulisan Ahmad Lutfi.

"Apa saja majalah atau penerbitan berlesen yang dikaitkan dengan Lutfi akan menemui ajalnya. Lihatlah majalah yang cukup popular dulu, yang diterbitkan dua kali sebulan Detik.

"Tindakan KDN mengharamkan Detik hampir sama dengan nasib yang akan diterima oleh Cabaran. Pertama, dikirimkan surat amaran kerana dikatakan melanggar skop isi kandungan yang dipohon dulu. Kedua, pembaharuan permit ditangguhkan. Dan ketiga, ia akan diharamkan terus," kata seorang bekas wartawan politik yang pernah bertugas dengan Detik.

"Jadi, saya bimbang, Cabaran akan mengulangi nasib malang Detik dan Wasilah," katanya lagi.

Lutfi ketika dihubungi berkata, beliau terkejut dengan tindakan KDN itu dan mengharapkan menterinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan bertindak secara matang dan tidak dipengaruhi sentimen politik.

"Berilah peluang kepada akhbar-akhbar nyamuk ini untuk bernafas. Apa salahnya jika akhbar tersebut memberi pandangan yang berbeza dengan akhbar perdana yang dikuasai mutlak oleh Umno," tambahnya.

"Sudahlah penerbitan tidak berkala yang saya usahakan, seperti Memo, dirampas sewenang-wenangnya, terutama sekali Memo14 yang dirampas lebih 43,000 naskhah di kilang percetakan, sebelum sempat kami mengedarkannya, tapi sekarang akhbar yang berpermit pun hendak dihalang," kata Lutfi, yang juga jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI).






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com