UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




JANGAN DIANGGAP REMEH AMARAN DR. KHIR TOYO !

Di dalam satu temuramah yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan pada bulan November 2001, Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo telah meramalkan pembangkang tidak akan mendapat walaupun satu kerusi di negeri itu pada pilihanraya umum yang akan datang.

Sementara reaksi Ketua Pembangkang DUN Selangor, Dr. Hassan Ali terhadap kenyataan Dr. Khir yang disiarkan di dalam sebuah tabloid politik tempatan menampakkan seolah-olah Dr. Hassan mengaggap pandangan Dr. Khir sebagai sesuatu yang remeh.

Sebagai seorang Menteri Besar, Dr. Khir mempunyai banyak “peluru” untuk “menembak” parti-parti pembangkang. Walaupun beliau mempunyai ramai musuh di dalam UMNO sendiri namun keupayaan beliau untuk “menyengat” tidak seharusnya diperlekehkan oleh sesiapapun. Oleh itu ramalan yang dibuat oleh beliau tidak seharusnya dianggap remeh.

Dr. Hassan Ali dan pemimpin-pemimpin PAS di Selangor sepatutnya menganalisa kenyataan Dr. Khir itu dengan lebih kritikal. Ianya tidak sepatutnya diketepikan begitu sahaja kerana ianya mempunyai makna yang lebih mendalam.

Ianya juga merupakan satu amaran dari Dr. Khir bahawa UMNO dan BN akan melakukan tindakan-tindakan yang lebih drastik untuk menyekat kemaraan pembangkang di Selangor.

Walaupun setelah serangan ke atas WTC dan cubaan untuk mengaitkan PAS dengan Taliban, UMNO dan BN masih gagal untuk mendapatkan semula sokongan yang padu dari orang-orang Melayu di Selangor. Ini pula ditambah dengan pendedahan pelbagai penyelewengan yang dikaitkan dengan Dr. Khir maka UMNO dan BN di Selangor sudah tentunya berada di dalam keadaan yang amat tertekan. Mereka yang tertekan pula selalunya akan bertindak di luar dari kebiasaan. Inilah yang dilakukan oleh Dr. Khir dan kuncu-kuncunya sekarang ini.

Fenomena ini bukan sahaja telah melanda UMNO dan BN di Selangor tetapi UMNO dan BN keseluruhannya. Kita telah melihat bagaimana mereka mengamuk setelah ditolak oleh pengundi-pengundi Melayu pada Pilihanraya Umum 1999. Menghadkan keluaran Harakah, sekatan ke atas ceramah umum dan tangkapan pemimpin-pemimpin pembangkang di bawah ISA merupakan cubaan mereka untuk melumpuhkan parti-parti pembangkang.

Di Selangor pula kita dapat melihat bagaimana ahli-ahli jawatankuasa masjid dan surau ditukar dengan sewenang-wenangnya. Sekatan ke atas ceramah umum di Selangor bolehlah dikatakan di antara yang paling ketat pernah dikuatkuasakan di negara kita. Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) pula memusuhi tazkirah lebih dari memusuhi kegiatan-kegiatan maksiat yang semakin menjadi-jadi di negeri itu. Yang paling terkini pula adalah PASTI yang cuba diharamkan semata-mata dipercayai kerana dendam pemimpin-pemimpin UMNO.

Sebelum tindakan-tindakan ini, ramai di Selangor yang tidak terfikir bahawa UMNO dan BN akan bertindak sedemikian. Namun bagaikan pahlawan purba yang telah ditikam ketika bertarung ianya akan mengamuk dan cuba membunuh seramai mungkin sebelum menemui ajalnya sendiri.

Begitulah juga UMNO di Selangor yang walaupun saat kematiannya tidak ketahui namun lebih banyak lagi tindakan-tindakan ganas dan tidak masuk akal akan menyusul. Maka kenyataan Dr. Khir bahawa pembangkang tidak akan menang mana-mana kerusi di Selangor merupakan satu isyarat bahawa beliau dan UMNO akan terus mengamuk.

Segala jentera kerajaan akan dikerah dan wang ringgit sama ada yang halal ataupun yang haram akan dibelanjakan untuk merealisasikan cita-cita dan matlamat Dr. Khir ini.

Oleh itu tugas pemimpin-pemimpin PAS di Selangor adalah bukan sekadar mentertawakan Dr. Khir dengan menganggap beliau sedang bermimpi di siang hari. Tetapi tugas mereka adalah untuk memastikan dari sudut mana mereka akan diserang. Mereka mestilah dapat meramalkan apakah sekatan-sekatan dan peraturan-peraturan baru yang akan diwujudkan oleh pentadbiran BN di Selangor. PAS Selangor mestilah mempunyai pelbagai perancangan sebelum UMNO dan BN mengamuk lagi.

Rakyat Selangor sedang memperhatikan peertembungan yang sedang berlaku. Mereka tahu tindakan-tindakan ke atas parti-parti pembangkang adalah mencabuli hak-hak asasi manusia. Tetapi mereka juga mahukan pembangkang yang bijak dan berwibawa jika benar mereka akan menabalkan pembangkang hari ini sebagai kerajaan di masa akan datang.

Mereka sudah tentu tidak mahu pembangkang yang hanya pandai merungut apabila dikenakan sekatan. Mereka akan tentu lebih yakin dengan pembangkang yang sudah bersedia dengan pelan-pelan alternatif atau “contingency plans” apabila berhadapan dengan sesuatu peraturan atau situasi yang baru.

Bagai orang yang bermain catur, ianya mestilah dapat membaca ke hadapan sepuluh langkah lawan. Begitulah juga di dalam politik di mana amat penting kita dapat meramalkan tindakan-tindakan musuh sebelum ianya dilaksanakan.

Walau bagaimanapun bagi perkembangan-perkembangan terkini di Selangor, telah terdapat “element of surprise” atau unsur-unsur kejutan di dalam tindakan-tindakan BN terhadap parti-parti pembangkang. Di dalam banyak hal, PAS dan parti-parti pembangkang kelihatan terkejut dan terkebil-kebil apabila berlaku sesuatu.

Tindakbalas itu menunjukkan mereka tidak terlebih-dahulu dapat menyangka apa yang akan dilakukan oleh BN maka oleh itu tidak menampakkan terdapat perancangan untuk menghadapi sesuatu tindakan oleh BN.

Di dalam usaha untuk mengharamlam PASTI di Selangor, PAS Selangor nampaknya telah gagal mencium muslihat UMNO walaupun bangunan-bangunan baru Tabika Kemas telah mula dibina sebelum pengumuman pengharaman dibuat.

Apabila Ketua Polis Selangor mengharamkan perhimpunan umum selepas tragedi Kg. Medan, tidak kelihatan apa-apa program-program alternatif yang dilaksanakan dengan segera. Senario politik di Selangor menjadi sepi. Rakyat Selangor hanya diberikan alasan tidak ada ceramah kerana tidak ada permit. Hanyalah setelah beberapa bulan pengharaman ini dibuat barulah terdapat tindakbalas-tindakbalas efektif yang dapat dilihat oleh masyarakat. Ini seolah-olah pengharaman tersebut tidak dijangka oleh PAS. Apakah PAS memikirkan UMNO dan BN akan membiarkan PAS terus berhubungan dengan rakyat tanpa sebarang sekatan ?

Sehubungan itu, tidak mustahil Harakah akan diharamkan oleh itu perlu ada pelan tindakan yang akan dilaksakan dengan segera jika perkara ini berlaku. Kita tidak mahu PAS berada di dalam keadaan terpinga-pinga. Rakyat mahu melihat PAS telah bersedia dan tidak sekadar mengecam sesuatu tindakan BN.

Oleh itu adalah diharapkan PAS Selangor yang tidak ketandusan tenaga-tenaga berkebolehan dan berpengalaman di dalam pelbagai bidang tidak akan sekali lagi lena ketika UMNO dan BN sedang membuat perancangan mereka.

Janganlah PAS dan rakan-rakan di dalam BA dibuai mimpi bahawa UMNO dan BN di negeri Selangor sedang kelemasan dan tertekan maka oleh itu tidak dapat berbuat apa-apa. Selalunya orang yang sedang tertekan yang paling merbahaya dan perlu diberi perhatian yang lebih.

Oleh :-
ISKANDAR A. SAMAD
iskandar_samad@hotmail.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 29 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com