Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Berpegang dengan Islam menyeluruh

Oleh TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG

Muslimin Sidang Jumaat sekalian!

Bulan Rabi’ul Awwal telah berlalu meninggalkan kita, meninggalkan kepada kita kenangan dan ingatan tentang sejarah kelahiran Rasulullah S.A.W., yang disambut dengan berbagai cara. Marilah kita menghayati sepanjang masa dengan peri pentingnya kelahiran baginda, dengan sama-sama kita mendengar Firman Allah S.W.T. dari Surah As-Saff ayat 9 yang bermaksud: "Dialah (Allah) yang telah mengutuskan rasulnya dengan petunjuk dan agama yang benar, supaya dimenangkannya ke atas agama keseluruhan, walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin."

Rasulullah S.A.W. membawa agama yang penting kepada manusia, sehingga baginda menjadi penutup kenabian dan kerasulan, tidak ada lagi nabi dan rasul selepas daripada baginda. Barang siapa mengaku menjadi nabi selepas Rasulullah S.A.W. dia menjadi kafir dan sekiranya sesiapa mengikutnya, maka dia menjadi kafir juga.

Muslimin sekalian!

Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. untuk seluruh manusia sehingga hari qiamat, tidak kira bangsa dan keturunan mana, negeri mana dan waktu mana.

Berbeza dengan rasul-rasul sebelum daripadanya, mereka diutuskan untuk kaum tertentu sahaja dan untuk tempoh masa yang tertentu sahaja. Seluruh manusia wajib beriman kepada Rasulullah S.A.W. dan yakin bahawa ajaran yang dibawanya, al-Quran dan Sunnah ajarannya membatalkan dan menasakhkan ajaran kitab-kitab yang diturunkan terdahulu daripadanya.Walaupun kitab-kitab terdahulu datang daripada Allah S.W.T. dan wajib diimani, tetapi sama sekali tidak boleh diamalkan sekiranya bertentangan dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Oleh itu apabila Saidina Omar bin al-Khattab r.a. tertarik kepada cerita-cerita yang dibawa oleh ahli kitab, dan meminta izin daripada Rasulullah S.A.W. untuk beliau menulis dan menyalinnya, Rasulullah S.A.W. melarangnya dengan keras. Rasulullah S.A.W. menegaskan kepada Saidina Omar yang bermaksud Al-Quran yang dibawanya sudah cukup dan lengkap. Sekiranya Nabi Musa masih hidup wajib kepada Nabi Musa mengikut ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. Allah S.W.T. telah melengkapkan ajaran Islam dan Islam mengatasi agama-agama yang lain. Agama-agama yang lain itu termasuklah agama-agama samawi yang diselewengkan, agama-agama ciptaan manusia, undang-undang dan ideologi serta cara hidup yang lain daripada Islam, yang dipanggil agama atau teori-teori.

Sekiranya Islam menasakhkan agama samawi, ajaran Rasul-rasul yang terdahulu, yang tidak boleh lagi diamalkan sekiranya bertentangan dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W., maka bagaimana pula dengan teori-teori dan cara hidup yang direka-reka sendiri oleh manusia biasa, bukan nabi dan rasul. Tentulah teori dan fahaman-fahaman tersebut lebih sesat dan lebih jauh daripada ajaran Islam. Di antara kesan-kesan daripada tersebarnya fahaman-fahaman dan teori-teori yang lain daripada ajaran Islam, umat Islam memahami Islam secara sempit.

Mereka faham Islam itu hanyalah sembahyang, puasa, zakat, haji, umrah, membaca al-Quran dan berzikir sahaja. Sekiranya fahaman-fahaman dan ideologi-ideologi itu diamalkan, bermakna menyanggah matlamat diutuskan Rasulullah S.A.W. supaya agama Islam mengatasi ke atas agama-agama yang lain. Marilah kita menjadi pengikut setia Rasulullah S.A.W. di dunia dan di akhirat. Jika tidak, kerana kita mengambil fahaman-fahaman lain sebagai cara hidup, kita akan dihalau oleh malaikat daripada meminum air daripada kolam Kauthar, yang dikhaskan oleh Allah S.W.T. kepada Rasulullah S.A.W. yang sekiranya dapat minum daripadanya tidak akan dahaga selama-lamanya.

Walaupun wajah seseorang itu ada tanda wudhu’, dia tetap dihalau oleh malaikat daripada menghampiri kolam Kauthar, bukan kerana tidak sembahyang tetapi kerana menyeleweng daripada ajaran Rasulullah S.A.W. di dalam perkara-perkara yang lain. Oleh itu beristiqamahlah kita dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W., ajaran yang lengkap dan menyeluruh.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara semuanya (secara menyeluruh) dan jangan kamu ikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya dia menjadi musuh kamu yang nyata." (Surah al-Baqarah: 208)






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 18 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com