Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Perpaduan Ummah Kunci Kejayaan

Assalamualaikum wrhbth.

Ma'asyiral Muslimin wa zumratal mukminin rahimakumullah Hari ini kita menyambut kemenangan. Kita menyambut kemenangan ke atas hawa nafsu kita dan kita menyambut kemenangan yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Maka marilah kita gunakan kesempatan pada pagi yang mulia ini untuk mempertingkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah. Kita berazam tidak akan kembali melakukan maksiat, dan kita berazam untuk mengekalkan ketaatan dan kesungguhan ibadat yang telah kita tunjukkan sepanjang bulan Ramadhan yang lepas. Sesungguhnya, kita tidak tahu sama ada kita akan berjumpa dengan bulan Ramadhan akan datang atau tidak.

Marilah juga kita memanjatkan setinggi-tinggi syukur kita kepada Allah s.w.t, yang telah mengumpulkan kita pada pagi ini, dalam keadaan aman tenteram, sihat sejahtera dan bergembira dengan kedatangan Aidilfitri. Kita bersyukur juga kerana kita telah berjaya menjalani ibadah puasa sebulan lamanya dengan penuh ketaatan dan kesungguhan. Kita bersyukur kerana kita telah diberi berbagai-bagai nikmat. Sekiranya kita cuba menghitung nikmat-nikmat tersebut, nescaya kita tidak akan berdaya menghitungnya. Maka sudah sememangnya kita patut mensyukuri nikmat-nikmat tersebut. Kita mensyukurinya dengan mematuhi segala perintah Allah. Tidak patut bagi seorang hamba yang telah diberikan nikmat, kemudian melanggar perintah pemberi nikmat tersebut. Allah s.w.t berfirman didalam surah Ad-Dhuha, ayat 11:

Ertinya: Dan hendaklah kamu menyebut (iaitu mensyukuri) nikmat Tuhanmu.

Allah Akbar 3x

Saudara-saudara kaum Muslimin rahimakumullah,
Kita bersyukur kepada Allah kerana telah menganugerahkan kita nikmat keamanan dalam negeri kita yang tercinta ini. Kita bersyukur kepada Allah kerana walaupun kita sedang mengalami kemelesetan ekonomi, kita tetap tidak kebuluran dan kehausan. Ini adalah nikmat Allah kepada kita atas usaha berterusan kita untuk menikmati kestabilan dan kemakmuran negara. Marilah kita terus berkerja keras agar nikmat Allah s.w.t ini terus dianugerahkan kepada kita. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Anfal, ayat 53:

Ertinya: Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkanNya kepada sesuatu kaum hingga kaum itu merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Atas nikmat-nikmat ini, kita berada dalam keadaaan yang selesa berbanding dengan umat Islam lain di merata dunia. Tetapi sebagai umat Islam, kita harus mengenang penderitaan saudara-saudara kita yang tidak bernasib baik seperti kita. Mereka menderita dari kebuluran, kehausan, kesejukan, peperangan dan sebagainya. Maka dalam kita bergembira pada hari ini, ingatlah bahawa masih ada di kalangan saudara-saudara kita yang tidak dapat merasai nikmat seperti mana yang kita rasai pada hari ini. Oleh itu, sudah semestinya kita menambahkan rasa syukur kita kepada Allah s.w.t. Janganlah kita terus melakukan maksiat dan dosa-dosa. Ditakuti kelak, Allah akan menarik nikmat-nikmat tersebut dari kita.

Saudara-saudara sekelian,
Antara nikmat terbesar Allah yang dianugerahkan kepada kita, adalah menjadikan kita sebagai umat Islam, umat Nabi Muhammad s.a.w. Umat Islam adalah umat yang terpilih kerana umat ini mempunyai beberapa ciri-ciri yang tidak terdapat di umat-umat yang lain.

Umat Islam adalah umat global, atau umat sejagat. Umat Islam tidak terbatas dengan sesebuah kampung, kumpulan, mazhab atau negara. Rasulullah s.a.w apabila mengasaskan negara Islam, ia tidak tertumpu kepada kota Madinah sahaja. Malah apa yang berlaku terhadap orang Islam di negara lain juga mendapat perhatian dan tumpuan Rasulullah s.a.w. Sebagai contoh, apabila Raja Najasyi yang beriman, meninggal dunia, Rasulullah s.a.w mendirikan solat jenazah ghaib bersama para sahabat. Maka kita tidak boleh membataskan diri kita kepada hal keadaan kampung kita sahaja, atau hal keadaan negara kita sahaja. Sebaliknya, kita perlu memperluaskannya agar kita ambil tahu juga hal keadaan umat Islam di merata dunia. Allah s.w.t berfirman didalam surah Al-Anbiya, ayat 92:

Ertinya: Sesungguhnya ini adalah umat kamu, iaitu umat yang satu. Dan Aku (yakni Allah) adalah Tuhan kamu maka sembahlah Aku.

Daripada ayat yang dibacakan tadi, kita boleh ambil kesimpulan bahawa kita sebagai umat Islam, diwajibkan agar bersatu. Kita tidak mampu berpecah-belah kerana ia akan membawa kepada kelemahan dan kehancuran kita. Seperti kata pepatah: Bersatu kita teguh, bercerai kita runtuh. Kita tidak mampu untuk membeza-bezakan antara kita sehingga berpuak-puak. Sehingga setiap puak memandang bahawa puaknya sahaja yang benar dan puak yang lain tidak berapa tepat dalam mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. Janganlah kita mensucikan diri dan memandang orang lain rendah, sedangkan kita tidak tahu sama ada diri kita atau diri mereka yang lebih dipandang tinggi oleh Allah. Kita tidak tahu sama ada mereka atau kita yang diterima amalannya oleh Allah. Ini boleh berlaku apabila timbul sifat ta'asub, atau fanatik kepada sesuatu fahaman. Sifat-sifat seperti inilah yang memberi peluang kepada Syaithan untuk melemahkan perpaduan antara kita. Sesungguhnya jika umat Islam bersatu, tiada kuasa di atas muka bumi ini yang mampu menghancurkannya. Ingatlah firman Allah s.w.t dalam surah Ali Imran, ayat 103:

Ertinya: Dan hendaklah kamu berpegang teguh dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah-belah.

Allah Akbar 3x

Sidang jemaah rahimakumullah,
Kita adalah umat pertengahan. Allah s.w.t telah menyifatkan kita dengan ciri ini dalam firmanNya:

Ertinya: Dan begitulah Kami jadikan kamu sebuah umat pertengahan agar kamu menjadi saksi ke atas manusia. (Al-Baqarah, 143)

Tugas kita menjadi umat pertengahan adalah agar kita menjadi contoh dan ikutan kepada manusia lain. Apakah erti pertengahan ini? Pertengahan di sini bermaksud bersederhana dalam segala segi. Kita tidak melampau dalam mengejar kekayaan dunia, dan kita tidak melampau dalam segi rohani sehingga meninggalkan kelazatan dunia. Ini tidak bermakna bahawa kita merasa cukup dengan apa yang ada sehingga tidak mahu berusaha lebih. Ini adalah satu tafsiran yang salah. Sesungguhnya, Islam menggalakkan umatnya agar berusaha dan terus berusaha mempertingkatkan diri mereka dunia dan akhirat. Tetapi dalam kita berbuat demikian, perlulah ada pertengahan, iaitu kita mengimbangi dunia dan akhirat. Janganlah kita terlalu mengejar dunia sehingga lupa atau kurang masa untuk akhirat. Begitu juga dalam kita mengejar ganjaran akhirat, janganlah kita lupa tentang kehidupan kita di dunia ini. Allah s.w.t telah menerangkan kepada kita tentang pengimbangan ini dalam firmanNya didalam surah Qasas, ayat 77:

Ertinya: Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (keni'matan) duniawi. Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.

Allah Akbar 3x

Saudara-saudara yang dirahmati Allah,
Antara ciri umat Islam adalah ia merupakan umat yang berakhlak dan beradab. Sesungguhnya ini adalah antara tujuan utama Rasulullah s.a.w diutuskan. Beliau bersabda:

Ertinya: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.

Dan jika dikaji sejarah, kita dapat lihat bagaimana manusia tertarik memeluk agama Islam hanya dengan melihat budi pekerti Rasulullah s.a.w yang tinggi dan mulia. Kita sebagai umatnya perlu mencontohinya. Kita mempunyai Al-Quran. Dan Al-Quran telah mengajar kepada kita akhlak yang mulia. Kita mempunyai Rasulullah s.a.w. Dan Rasulullah s.a.w telah menunjukkan kepada kita akhlak yang mulia. Jadi adakah wajar jika ada sebahagian dari umat Islam tidak berakhlak mulia, tidak beradab sopan santun? Sehingga dicemuh dan dipandang rendah? Ini boleh terjadi jika kita kurang mempelajari Al-Quran. Kita kurang mengkaji dan membaca sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w, bagaimana akhlak beliau yang mulia. Ttidak mahu ambil tahu atau sedikit mengambil tahu tentang sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w. Sedangkan Rasulullah adalah ketua kita, yang akan memberi syafaatnya kepada kita di akhirat kelak. Tidakkah kita akan malu kelak untuk memohon pertolongan dari Rasulullah s.a.w di akhirat kelak, jika kita tidak ambil peduli tentang beliau?

Bersempena hari yang mulia ini, marilah kita mempertingkatkan budi pekerti kita. Kita bersikap suka bermaafan, kita membaiki hubungan sesama kita, menghormati orang tua dan mempunyai perasaan belas kepada orang yang lebih muda. Marilah kita menjadi umat yang beradab mulia sehingga disegani umum dan agar semua dapat melihat kecantikan agama dan kemuliaan budi pekerti penganut agama Islam.

Allah Akbar 3x

Saudara-saudara sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadhan telah meninggalkan kita. Bulan yang penuh dengan rahmat dan pengampunan. Bulan yang telah melatih kita meningkatkan ibadah kita kepada Allah, dengan puasa, solat, zikir, membaca Al-Quran, bersedekah dan berzakat. Marilah kita pastikan bahawa dibulan-bulan akan datang kita dapat sekurang-kurangnya merajinkan diri kita melakukan ibadah sunnah. Kalau dahulunya kita tidak melakukan solat sunat rawatib, maka selepas Ramadhan ini kita membiasakan dan meneruskan ibadah solat sunat rawatib. Kalau dulunya kita jarang membaca Al-Quran, maka sekarang ini kita teruskan ibadah membaca Al-Quran yang telah kita pupuk semasa bulan Ramadhan yang lepas.

Ketahuilah saudara-saudara sekelian bahawa antara sunnah Rasulullah s.a.w adalah berpuasa enam hari pada bulan Syawal. Ia adalah satu ibadah yang digalakkan. Sabda Rasulullah s.a.w:

Ertinya: Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa.

Janganlah kita lepaskan peluang keemasan ini. Kita rebut ganjaran pahala yang besar yang dijanjikan hanya dengan melakukan puasa selama enam hari sahaja. Kita boleh melakukannya dengan berturut-turut, atau berpecah-pecah. Bagi kaum wanita pula, mereka boleh mengumpulkan niat berpuasa qadha dengan puasa sunat enam hari ini. Akan tetapi jika mereka memisahkannya maka itu adalah lebih baik.

Saudara-saudara sekelian,
Dalam kita menziarahi keluarga dan sahabat handai pada hari yang mulia ini, janganlah kita mengabaikan hak jasmani dan rohani kita. Hak jasmani adalah menjaga kesihatan diri kita agar tidak jatuh sakit kerana terlalu banyak mengisikan makanan dan minuman dalam perut. Sesungguhnya perut kita sudah terbiasa kosong pada siang hari selama sebulan lamanya. Jika kita terlalu banyak memasukkan makanan dan minuman dengan tiba-tiba, ia akan memudaratkan kesihatan kita.

Hak rohani pula adalah kita terus iltizam dengan ibadah yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan. Janganlah mencuaikan solat atau melambatkannya dalam keghairahan kita menyambut Aidilfitri ini. Sebulan sudah catatan amalan kita dibersihkan dari dosa, maka janganlah kita mengkotorkannya dengan dosa-dosa yang baru pula.

Semoga segala amal soleh kita diterima oleh Allah s.w.t, ameen ya Rabbal `Alamin.

Wassalam

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Aidilfitri
16 Disember 2001 / 1 Syawal 1422






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com