UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Merdeka dari fahaman penjajah

Muslimin sidang Jumaat sekalian,

PERTAMA-TAMANYA marilah kita menyatakan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah yang mengurniakan kepada kita tanah air yang tercinta ini, yang diisi dengan kepelbagaian dari segi penduduk, dan sumber alam semulajadi, rakyat yang terdiri dari berbagai kaum, menganut berbagai agama dan mengikut berbagai budaya.

Sumber alam di atas muka bumi, di dalam perut bumi dan didasar lautan merupakan satu kurniaan yang sangat besar dan sangat unik. Sejauh mana kita dapat mengendali semua perkara ini akan menentukan sejauh mana kita merdeka dan kita mengisi kemerdekaan di dalam erti kata yang sebenarnya.

Muslimin sekalian!

Untuk memahami hakikat yang sebenarnya marilah kita mendalami seruan daripada Allah, Tuhan mencipta seluruh alam yang mengurniakan kemerdekaan yang sebenar kepada kita. Firman Allah yang bermaksud: " Wahai manusia, abdikan diri kamu kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan mencipta orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. Dialah juga yang telah menciptakan untuk kamu bumi menjadi hamparan dan langit sebagai binaan dan dia menurunkan daripada langit, air hujan maka dia mengeluarkan dengannya daripada buah-buahan yang menjadi rezeki kepada kamu. "Maka janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah pada hal kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah: 21-22)

Itulah kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan yang sebenar hanya berlaku apabila seluruh alam termasuk manusia hanya mengabdikan diri kepada Allah, kepada pencipta mereka. Tidak ada di kalangan mereka yang memperhambakan di antara satu sama lain.

Jika dibiarkan perhambaaan di kalangan makhluk maka berlakulah penjajahan bukan sahaja penjajahan di antara negara-negara bahkan penjajahan di antara manusia dengan manusia, di antara masyarakat dan masyarakat, di antara individu dengan individu dan penjajahan manusia ke atas makhluk yang lain dengan menyalahgunakan alam semulajadi dengan cara merosak dan memusnahkan bumi ini.

Muslimin sekalian!

Apabila seorang pemimpin kecil Islam yang bernama Rub’i bin Amir menemui Rustam pemimpin Rom yang pada masa itu menjadi salah satu kuasa besar yang menjajah negeri-negeri yang lain, beliau menegaskan kepada pemimpin Rom tersebut dengan katanya yang bermaksud: "Allah mengutuskan kami untuk mengeluarkan sesiapa yang mahu daripada mengabdikan diri kepada sesama hamba kepada mengabdikan diri kepada Allah daripada kezaliman pelbagai agama kepada keadilan Islam dan daripada dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat."

Itulah kemerdekaan bukan sekadar kemerdekaan untuk beberapa tahun dan beberapa abad. Kemerdekaan yang mempunyai wawasan yang panjang, wawasan dari dunia sehingga akhirat dari dunia sehingga meninggal dunia dan hidup di alam akhirat yang kekal abadi. Itulah kemerdekaan yang di kehendaki oleh Allah.

Sidang Jumaat sekalian!

Untuk memahami kemerdekaan kita juga perlu mengenali siapakah penjajah di dalam sejarah negara kita, penjajah bermula daripada penaklukkan portugis pada tahun 1511 masihi. Kemudiannya, diikuti oleh penjajahan yang lain. Perjuangan kemerdekaaan di dalam negara kita tidak bermula daripada abad ini tetapi bermula sejak dari datangnya penjajah.

Pemimpin dan rakyat bersama-sama menentang penjajah dan di sana ada pemimpin yang terkorban di dalam menentang penjajah. Kita tidak boleh melupai peristiwa kesultanan Melaka yang menentang penjajah sejak beratus ratus tahun tidak menyerah kalah, walaupun menghadapi teknologi barat yang angkuh dan kita tidak boleh lupa kepada Kesultanan Perak, di mana ada di kalangan mereka yang dibuang negeri kerana menentang Perjanjian Pangkor.

Bagi Negeri Terengganu khususnya kita tidak boleh melupai sejarah kegemilangan Sultan Terengganu menolak perjanjian di antara Siam dan Inggeris. Apabila Siam menyerahkan negeri Terengganu kepada Inggeris sultan Terengganu menjawab apa hak Siam ke atas negeri Terengganu? Siam tidak pernah menjajah Terengganu. Penyerahan bunga emas adalah hubungan diplomatik dan persahabatan bukan bermakna menyerahkan kedaulatan, maka penyerahan Terengganu oleh Siam kepada Inggeris tidak bermakna.

Negeri Terengganu menjadi negeri terakhir campurtangan Inggeris iaitu pada tahun 1928. Rakyat Negeri Terengganu tidak menyerahkannya secara percuma, mereka melakukan tunjuk perasaan walaupun di dalam kekemiskinan dan kelemahan, yang menunjukkan mereka tidak menyerah kalah. Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbung yang dianggap sebagai pemimpin yang menentang penjajahan telah ditahan dan dibuang negeri, masih ada yang masih hidup dan sempat melihat peristiwa bersejarah ini. Inilah perjuangan kemerdekaan yang tidak bermula dengan Malayan Union.

Malayan Union hanyalah satu dari satu golongan penjajahan. Kita perlu menyedari walaupun kita telah mencapai kemerdekaan di sana masih ada rangkaian penjajahan yang sengaja di balut dan melilit kemerdekaan yang kita capai. Bermula daripada Perlembagaan Persekutuan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid dengan ahli-ahlinya tidak ada seorang penduduk pun dari negara ini. Oleh itu mereka tidak memahami hasrat tuan punya Negara dan tanahair ini.

Muslimin sekalian,

Adalah menjadi kewajipan kepada kita merungkai belenggu yang masih mengikat kemerdekaan yang kita sambut ini dan kita perlu memahami gejala-gejala politik yang tidak sihat, gejala ekonomi yang terus menjadikan kita di kalangan negara yang membangun, gejala sosial dengan kadar jenayah yang meningkat, keruntuhan akhlak kepada peringkat yang menakutkan dan memalukan.

Marilah kita berlaku adil terhadap diri kita sendiri. Jangan berbohong sekiranya kita tahu ia adalah pembohongan dan jangan berbangga dengan memuji diri sendiri. Marilah dengan keinsafan kita mengisi kemerdekaan ini dengan membuang saki baki budaya penjajah, ideologi dan saki baki sikap penjajah.

Kita mengambil yang baik daripada apa yang ditinggalkan oleh penjajah dengan kita menegakkan kebaikan yang sedia ada pada diri kita. Dalam masa yang sama, kita bersedia membuang keburukan yang ada pada diri kita sendiri dengan adil dan ikhlas.

Insyallah, sekiranya kita dapat melakukan perkara itu dengan sebaik-baiknya, kita juga adalah bangsa dan umat yang boleh menempa kejayaan dan kemajuan sebagaimana bangsa-bangsa lain di dunia. Kiranya kemuliaan itu sebenarnya dikurniakan oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendaki dari kalangan hamba-hambanya.

Allah mengurniakan segala kemenangan dan kesenangan, ketinggian dan kebesaran kepada sesiapa sahaja di kalangan mereka yang baik dan kalangan mereka yang jahat. Allah memberi kebaikan hanya kepada mereka yang dipilih oleh Allah yang benar-benar ikhlas, jujur dan benar-benar mencari kebaikan.

Allah memberi kekuasaan kepada nabi-nabi dan rasulnya dan Allah menamatkan kekuasaan itu untuk menjadi pengajaran kepada kita. Kekuasaan diberi kepada raja Namrud yang mendirikan Kerajaan Babylon, diberikan kepada Firaun yang mendirikan tamadun kebendaan Mesir, diberikan kepada Cina dan India yang masih dilihat sebahagian bakinya.

Allah juga memberi pemerintahan kepada nabi Daud dan Nabi Sulaiman a.s. Allah juga memberi kerajaan kepada Nabi Muhamad S.A.W. Semua kerajaan tersebut hilang dan sudah tiada mengikut ajal dan umurnya yang telah ditetapkan oleh Allah. Adalah menjadi perkara yang menakjubkan mengapa Allah meninggalkan saki-baki tamadun kebendaan musuh-musuhnya tetapi Allah tidak meninggalkan saki baki tamadun Rasul-rasulnya yang berbentuk kebendaan dan kemewahan.

Sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita kerana masih ada tamadun kebendaan Mesir, Arab, Iran, Turki dan Syria yang menjadi bekas kerajaan Babylon. Masih ada Peninggalan kerajaan Majapahit dan beberapa peninggalan tamadun yang ditinggalkan oleh golongan jahiliah.

Muslimin sekalian,

Semua perkara ini hendaklah dijadikan pegajaran bahawa pembangunan manusia hendaklah dimulakan dengan membangun diri manusia sendiri. Tanpa membangunkan diri terlebih dahulu dengan akhlak dan perangai yang diasaskan di atas beriman kepada Allah, tamadun kebendaan akan menghancurkan manusia itu sendiri.

Dengan ilmu ketamadunan tanpa akhlak, manusia bukan membuat senjata untuk mempertahankan diri di dalam menegakkan kebenaran, tetapi mesti mencipta senjata-senjata yang boleh membunuh berjuta-juta orang di dalam sekelip mata sahaja tanpa sempadan. Orang yang tidak bersalah menjadi korban, yang uzur menjadi mangsa dan orang yang tidak terlibat menerima hukuman.

Marilah kita memahami hakikat kemerdekaan di dalam erti kata yang sebenar. Kita menjadikan kefahaman ini sebagai permulaan di dalam mengisi kemerdekaan. Perjuangan selepas kemerdekaan belum lagi selesai untuk mencapai dan mengamati kemerdekaan yang dijanjikan oleh Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu, bahawa dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum daripada mereka khalifah, dan akan menguatkan dan membanggakan agama (Islam) yang diredhainya untuk mereka, dan akan menggantikan bagi mereka keamanan selepas ketakutan. "Mereka terus beribadah kepada Ku dan tidak menyengutukan sesuatu denganKu. Dan sesiapa yang kufur selepas itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka." (Surah An-Nur : 55)






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 29 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com