Oleh : Ahmad Lutfi Othman
Pada Oktober 23 lalu saya telah membuat aduan
rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di
hadapan Penolong Penguasa Kamaruddin Baharom di Ibu Pejabat Badan
Pencegah Rasuah (BPR), di Putrajaya.
Aduan itu kemudiannya dibuat semula pada November 8 ekoran kenyataan
sumber BPR yang disiarkan sebelum ini mendakwa ia bukannya 'aduan rasmi'
tetapi sekadar maklumat. Pada hari berikutnya saya memberi keterangan
lanjut di pejabat BPR Selangor selama lebih tiga jam. Kenyataan saya
dibuat di hadapan Penguasa Azni Yahaya.
Dalam aduan itu saya membutirkan lebih sepuluh kes membabitkan Dr Khir
menyalahgunakan kuasa atau melakukan korupsi semasa mentadbir Selangor.
Antaranya ialah projek Jalan Cross Ban 4 bernilai RM92.5 juta sepanjang
20.5 km di Sekinchan yang dianugerahkan kepada kontraktor bermasalah
iaitu Meram Holdings Sdn Bhd.
Isu mesyuarat exco kerajaan negeri meluluskan permohonan tanah di Shah
Alam dan Kuala Langat, pada November 20 tahun lalu dan Julai 4 lalu
kepada syarikat tertentu juga dibangkitkan terutama kepada empat syarikat
yang pengarahnya baru berumur 20 tahun. Tiga dari empat pengarah muda
itu dilantik menjadi pengarah syarikat tidak sampai pun 40 hari sebelum
mereka bertiga menerima 50 ekar tanah di Kuala Langat.
Dalam aduan pertama saya, pada Oktober 23 di bawah perenggan E, Perkara
5, saya mencatatkan: "Khir didakwa menggunakan kuasa dan pengaruhnya
sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam satu
mesyuarat lembaga, untuk mendapatkan sebidang tanah di Shah Alam,
sehingga pengurusan PKNS membuat dua kali tawaran harga tanah tersebut
kepadanya. Ini disebabkan Dr Khir tidak berpuas hati dengan tawaran harga
pertama."
Pada Oktober 30 ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN)
Selangor yang juga Adun Sungai Burung, Datuk Dr Hassan Ali, semasa
membahaskan Belanjawan 2002 bagi Selangor telah membangkitkan isu berkaitan tanah
PKNS itu.
Pada hari berikutnya Dr Khir menggulung perbahasan Belanjawan dengan
menolak dakwaan itu. Walaupun mengaku beliau ada ditawarkan tanah milik
PKNS tetapi kedua-dua tawaran yang dibuat itu adalah dengan harga yang
sama.
Beliau (Dr Khir) kemudiannya mendakwa menolak tawaran itu kerana beliau
tidak mempunyai cukup wang untuk membelinya.
Maklumat lanjut
Sehubungan itu pada jam 10.30 pagi, Disember 4, saya mengunjungi Ibu
Pejabat BPR di Putrajaya untuk memberi maklumat lanjut perkara itu. Saya
cuba menghubungi pegawai BPR yang menerima maklumat dan aduan rasmi
tempoh hari. Malangnya Kamaruddin Baharom gagal ditemui.
Salah seorang pegawai bertugas hari itu menasihatkan saya supaya terus
saja ke pejabat BPR di Shah Alam kerana kes membabitkan Dr Khir itu
telah dipindahkan ke sana. Nampak mereka keberatan menerima maklumat
lanjut saya.
"Sebenarnya saya lebih selesa membuat laporan di Putrajaya. Bukannya
saya mempertikai kemampuan BPR Selangor untuk membuat siasatan tetapi
saya rasa lebih elok jika yang hendak disiasat adalah ketua kerajaan
sesebuah negeri, maka pihak yang menyiasat perlu dari luar negeri berkenaan,
yakni dalam kes ini, dari Putrajaya," saya menjelaskan kepada seorang
pegawai BPR.
Saya bimbang BPR Selangor tidak selesa memulakan proses siasatan kerana
ia membabitkan Menteri Besar Selangor. Akhirnya, Penolong Penguasa Mohd
Nasharudin Amir bersetuju menerima maklumat terbaru itu khususnya
selepas saya berjanji memberi keterangan lanjut di Shah Alam!
Menurut surat tawaran pertama kepada Dr Khir bertarikh Februari 13
tahun ini, Pengurus Besar PKNS, Dato' Haji Harun Salim mencadangkan satu
tapak banglo di Seksyen 2 tambahan, Bandar Baru Bangi kepada Khir dengan
butiran berikut: No. Lot : 14 Jalan 2/1 G, keluasan 22,862.54 kaki
persegi (0.47 ekar) dan harga jualan RM20.00 sekaki persegi.
Melalui surat itu Harun mencadangkan agar Dr Khir dapat meluangkan masa
melawat tapak yang dicadangkan.
Cerita lama
Menurut sumber, Dr Khir menimbulkan cerita bahawa semasa belum dilantik
Menteri Besar beliau pernah memohon tanah daripada PKNS tetapi tidak
dilayan.
Dengan menimbulkan cerita seperti ia bagaikan dentuman `halalintar
membelah bumi’ bagi seorang pengurus besar yang merasakan tempoh
perkhidmatannya boleh ditamatkan bila-bila masa saja oleh Menteri Besar.
Tidak sukar untuk meramal apa yang akan dilakukan oleh pengurus besar
itu apabila mendengar luahan hati Menteri Besar mengenangkan pengalaman
silamnya dengan PKNS.
Saya rasa itu adalah detik permulaan amalan rasuah ketara sama ada
membabitkan Menteri Besar yang mendapat tanah atau pengurus besar yang
menawarkan tanah itu.Tidak mustahil jika kedua-duanya boleh disabitkan.
Saya juga mempersoalkan apakah Dr Khir mengikuti semua prosedur ketat
dalam proses memohon tanah PKNS. Saya kira jawatannya sebagai Menteri
Besar dan Pengerusi PKNS tidak mengecualikan beliau dari mematuhi segala
prosedur yang diperlukan.
Difahamkan setiap tanah yang diluluskan untuk dijual oleh PKNS akan
diperakukan terlebih dahulu oleh mesyuarat lembaga PKNS yang
dipengerusikan Menteri Besar Selangor. Soalnya, apakah Dr Khir meluluskan permohonan
tanah untuk dirinya sendiri?
Persoalan lain yang timbul ialah layanan istimewa PKNS kepada Dr Khir
apabila harga tanah yang ditawarkan pada surat kedua bertarikh Mei 12
tahun ini mendapat potongan hampir 50 peratus.
Menurut surat pertama, harga tanah ialah RM457,250 manakala bagi surat
tawaran kedua harga tanah yang dinyatakan ialah RM231,678.
Potongan luar biasa
Difahamkan potongan harga itu cukup luar biasa dalam amalan pengurusan
PKNS. Kakitangan yang bekerja lebih 20 tahun pun khabarnya hanya
mendapat potongan sebanyak 10 peratus. Namun tidak dipastikan apakah ia satu
kelaziman bagi PKNS untuk menawarkan tanah dengan harga istimewa kepada
semua Menteri Besar yang baru dilantik?
"Sesiapa yang mendapat tanah daripada PKNS sudah cukup beruntung
kalaupun harganya tetap. Ini kerana harga yang ditawarkan PKNS jauh lebih
murah daripada harga pasaran," kata seorang ahli perniagaan yang terbabit
dalam hartanah.
"Malah harga pasaran tanah di Seksyen 2, Bandar Baru Bangi itu
sekurang-kurangnya RM25 sekaki persegi," tambahnya.
Bukan soal nilai tanah yang menjadi pertikaian tetapi kita khuatir jika
dalam proses jual-beli sekecil itu berlaku amalan salah guna kuasa kita
bertambah bimbang takut-takut dalam urusan yang lebih besar dan
membabitkan lebih banyak wang rakyat, amalan rasuah lebih mudah berleluasa.
Tetapi lebih menakutkan kita jika Menteri Besar sanggup berbohong dalam
persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu semata-mata untuk mengelak
dari pertuduhan yang dihadapkan ke atasnya.
Benarkah apabila Dr Khir berkata bahawa kedua-dua tawaran terhadap
tapak tanah lot banglo di Seksyen 2, Bandar Baru Bangi itu adalah dengan
harga yang sama?
Kedua, benarkah Dr Khir berkata bahawa beliau menolak tawaran berkenaan
sedangkan sumber memberitahu tawaran itu diterimanya dan pembayaran
telah selesai dilakukan? Saya menunggu jawapan Dr Khir.
--------------------------------------------------------------------------------
AHMAD LUTFI OTHMAN, bekas pengarang majalah Detik yang diharamkan,
merupakan penulis politik yang prolifik, selain pengarang dan penerbit
bahan-bahan bacaan yang berani berdepan dengan Kementerian Dalam Negeri.
Beliau juga merupakan bekas pengarang Harakah dan pernah menjadi aktivis
pelajar.