Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Pilihanraya Kampus: Menggarap Idealisma Pelajar

Pilihanraya kampus tahun ini mendapat publisiti meluas dalam semua media massa baik media perdana mahupun alternatif. Utusan Malaysia yang diketahui kepunyaan Umno turut memberikan ruang meluas sepanjang tempoh pemilihan MPP yang baru.

Utusan terang-terang mengesahkan kewujudan dua fraksi dalam pilihanraya di setiap kampus di antara yang menyokong kerajaan dan anti- establishment di mana ia menyatakan di muka hadapan pada satu hari bahawa kumpulan yang menyokong kerajaan menang di satu kampus.

Yang menghairankan apabila kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah mengharamkan pertandingan secara berkumpulan demi mengelakkan ianya dicemari dengan pengaruh politik luar yang membawa maksud pertembungan di antara kumpulan pro- PAS dengan pro- Umno, tetapi semua tetap mudah melabelkan calon ini mewakili salah satu daripada kumpulan di atas walaupun mereka bertanding secara individu.

Kumpulan yang pro- kerajaan dinaungi oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang dibiayai oleh Umno ataupun di sesetengah kampus sebagai tajaan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP), manakala fraksi yang disifatkan pro- pembangkang adalah mewakili Gabungan Pelajar Islam Semenanjung (GAMIS) yang simpati kepada PAS, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang pro Anwar Ibrahim dan golongan ketiga yang memperjuangkan aktivisma pelajar yang marah kepada kelemahan pentadbiran HEP.

Keputusan pilihanraya kampus bersifat seimbang di mana kumpulan yang didakwa sebagai pro- pembangkang memenangi majoriti kerusi di kebanyakan universiti yang terkenal di negara seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Manakala kumpulan pro- kerajaan menguasai kebanyakan IPT baru dan yang dikongkong kerajaan termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej Universiti Islam Malaysia dan Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn.

Keputusan yang seimbang ini amat baik demi mewujudkan checks and balances dalam Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang masih belum wujud secara rasminya. Percambahan dan perbezaan pendapat dalam MPPK nanti amat dituntut dan dinanti-nantikan demi memartabatkan gerakan pelajar Malaysia ke arah yang lebih mampan dan tidak lagi lesu.

Akhirnya penulis berharap agar ianya boleh dijadikan sebagai satu penggerak ke arah gerakan pelajar Malaysia yang bersifat bebas tanpa berpaut kepada kerajaan mahupun pembangkang. Satu hari nanti, mungkin gerakan pelajar kita mampu benar-benar memperjuangkan idealisma gerakan pelajar untuk membela nasib pelajar dan masyarakat terbanyak.

Abu Mujahed Abdullah Azzam dan Nurul Aini Ariffin
mpkangar_2004@yahoo.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 14 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com