Berikutan kematian ADUN Indera Kayangan, Datuk Khor
Liang Tee, negeri Perlis seperti yang penulis harapkan
sebelum ini akan kembali ceria seumpama raya apabila
bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu di
antara Barisan Nasional (MCA) dengan Barisan
Alternatif (keADILan).
Belumpun mendiang dibakar, sudah kedengaran di sini
perebutan di kalangan pemimpin MCA untuk melobi supaya
masing-masing dipilih menjadi calon. Orang-orang team
A pimpinan Datuk Seri Dr Ling Liong Sik sedang berebut
dengan team B yang diketuai oleh Datuk Lim Ah Lek.
Barisan Nasional dijangka akan terus memainkan isu
pembangunan demi mempertahankan kerusi tradisinya ini.
Tetapi sejauhmana isu ini dapat mempengaruhi rakyat
sukar untuk ditafsirkan kerana DUN ini merupakan
satu-satunya DUN yang terletak di kawasan bandar di
negeri ini manakala isu sedemikian lebih sesuai bagi
kawasan-kawasan pedalaman.
Seorang guru yang sempat ditemui di satu taman
perumahan dalam kawasan Indera Kayangan ini
memberitahu penulis bahawa Menteri Besar telah
meluluskan projek penurapan jalan di dalam taman
tersebut yang dimohon sejak dua tahun lalu di mana
kerja-kerja telahpun dimulakan sejak hari ini (22
Disember 2001).
Kawasan Indera Kayangan ini mempunyai komposisi
penduduk yang bercampur antara masyarakat Melayu dan
Cina, iaitu 47.9 peratus pengundi Cina, 46.8 peratus
pengundi Melayu sementara 5.3 peratus lagi adalah
pengundi India.
Haji Ahmad Haji Hasan, Ketua Cawangan PAS Guar Syed
Alwi dalam kawasan DUN ini ketika diajukan persoalan
sejauhmanakah umpan-umpan pembangunan segera dapat
mempengaruhi pengundi berkata pengundi di sini sebagai
orang bandar, rata-ratanya golongan bijak dan
sederhana dari segi pendapatannya tidak akan mampu
untuk dibeli undi mereka dengan nilai sekadar jalan
tar.
Pilihanraya kecil bagi kawasan itu dijangka diadakan
dalam tempoh 60 hari sebaik sahaja Suruhanjaya
Pilihanraya Malaysia diberitahu. Speaker DUN Perlis
sudah memaklumkannya kepada SPR semalam.
Mungkinkah BN akan tersilap strategi sekiranya
meneruskan taktik ini, jawapnnya sama-samalah kita
tunggu nanti. Jika tebukti mereka tersilap, maka akan
berlakulah ‘Lunas kedua’.
Abu Mujahed Abdullah Azzam dan Nurul Aini Arifin
mpkangar_2004@yahoo.com