UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Bagaimana pergolakan sebenar politik MCA

Oleh : Ong Tee Keat

Sebenarnya isu pengambilalihan saham dalam Nanyang Siang Pau yang dikatakan menjadi pencetus kepada krisis sekarang cuma merupakan salah satu isu. Ia bukan punca kepada masalah yang timbul dalam MCA.

Pengambilalihan saham Nanyang Siang Pau itu telah pun membangkitkan bangkangan dan juga bantahan daripada kalangan pemimpin MCA.

Sebelum isu itu, terdapat juga beberapa isu lain yang telah pun dibangkitkan oleh Pemuda MCA. Umpamanya, saya pernah menimbulkan isu Yayasan Chang Ming Thien yang mula berbangkit pada tahun 1981 semasa saya baru keluar dari Universiti Malaya.

Yayasan Chang Ming Thien ialah sebuah tabung yang ditubuhkan untuk membantu pelajar-pelajar fakir miskin yang ingin memasuki IPTA (institusi pengajian tinggi awam) dan IPTS (institusi pengajian tinggi swasta). Penubuhan yayasan itu pada tahun 1981 menghadapi pelbagai masalah termasuk satu kes mahkamah membabitkan bank.

Pada tahun 2000, apabila kes mahkamah itu telah pun selesai, saya dengan tulus ikhlas menyuarakan keprihatinan saya untuk mendesak parti MCA supaya menghidupkan semula tabung itu sebab penubuhannya sudah pun berlarutan selama 20 tahun tetapi sampai kini ia tidak mengeluarkan bantuan yang diharap-harapkan kepada kumpulan sasaran.

Pada saya, isu itu jika tidak diselesaikan, akan menjadi satu liabiliti politik khususnya ke atas MCA dan Barisan Nasional.

Saya timbulkan isu ini dan peringatkan pucuk pimpinan MCA supaya kalau boleh yayasan itu hendaklah cepat-cepat dihidupkan semula. Malangnya, walaupun niat saya baik tetapi ia telah membangkitkan kemarahan Presiden MCA.

Ini berlaku pada bulan Oktober tahun 2000.

Selepas itu saya memberikan beliau penjelasan tentang apa yang terbuku dalam hati saya. Walaupun isu itu kemudian telah reda tetapi nampaknya ia hanya reda pada diri saya, tetapi tidak pada orang lain.

Apa yang malang, menjelang pilihan raya kecil di Lunas pada bulan November 2000, saya sebagai Ketua Pemuda MCA rasa terpanggil untuk membantu kempen kerajaan di Lunas.

Selepas berbincang dengan rakan-rakan seperjuangan daripada Pemuda UMNO dan MIC, saya memutuskan bahawa satu mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA lebih elok diadakan di Lunas untuk membangkitkan semangat ahli-ahli akar umbi MCA.

Semuanya telah dirancang, tetapi saya tidak sangka cadangan yang berniat baik itu telah disabotaj oleh orang tertentu yang menggertak pemimpin-pemimpin Pemuda MCA supaya tidak menghadirinya.

Itu satu pukulan yang tidak disangka.

Walaupun demikian saya tetap berkempen di Lunas khususnya di kalangan masyarakat Cina. Sungguhpun ketika itu emosi masyarakat Cina cukup membimbangkan ekoran isu-isu seperti Sekolah Wawasan dan Suqiu, saya sanggup berdepan dengan mereka walaupun saya dicaci cela.

Ketika itu memang ramai pemimpin MCA diperli secara terbuka dan semua berita itu tersiar dalam akhbar-akhbar Cina.

Kalau kita menyingkap kembali kepada sejarah yang lebih jauh sedikit, pada tahun 1990 terdapat perbalahan antara Dr. Ling dan Timbalan Presiden MCA ketika itu, Tan Sri Lee Kim Sai.

Jangan lupa bahawa saya adalah bekas setiausaha politik kepada Kim Sai.

Itu yang pertama. Yang kedua ialah sejak tahun 1990, dalam setiap pemilihan parti MCA, saya sebenarnya kena bertanding bukan atas cai (restu) oleh pihak presiden.

Saya bertanding dalam MCA macam saya ini calon bebas pada tahun 1990, 1993, 1996 dan 1999.

Dalam keempat-empat kali saya bertanding pelbagai jawatan dalam MCA, termasuk pertandingan terakhir jawatan Ketua Pemuda MCA, saya tidak direstui. Ini memanglah sedikit sebanyak menyumbang kepada kekeruhan yang dimaksudkan.

Dalam berpolitik, ramai yang tahu sifat saya. Saya bukan kaki ampu. Saya tidak suka ampu. Kadang-kadang ada orang kata ini adalah kelemahan Ong Tee Keat. Memanglah, itulah diri saya yang sebenar.

Latar belakang saya ialah saya seorang jurutera. Latar belakang itu mengajar saya bercakap secara terbuka, lantang dan berdasarkan kesahihan fakta dalam menangani apa juga masalah.

Antara tahun 1983 dan 1985, berlaku krisis MCA. Masa itu Dr. Neo Yee Pan berlawan dengan Tan Koon Swan. Seterusnya Dr. Ling menggantikan Koon Swan. Buat sementara waktu krisis itu reda.

Kita kena melihat krisis yang reda itu dalam konteks persepsi dan mentaliti akar umbi MCA selepas krisis politik yang begitu tenat.

Selepas tahun 1985, ramai ahli MCA telah naik jemu dengan perbalahan yang berlaku.

Pada mula-mula Dr. Ling memimpin MCA, semua ahli akar umbi MCA - walaupun mereka tidak sehaluan - memahami bahawa sekiranya parti itu tidak dapat dimantapkan, MCA akan binasa begitu sahaja.

Dan jangan lupa bahawa selepas krisis MCA tamat pada tahun 1986, pada masa itu Kim Sai selaku Timbalan Presiden juga memainkan peranan yang cukup penting membantu menstabilkan MCA hingga tahun 1990.

Bila berlaku perbalahan di antara Dr. Ling dan Kim Sai yang menjadi timbalannya, saya sebagai setiausaha politik kepada Kim Sai cukup sedar bahawa ini berpunca daripada kehilangan kepercayaan Kim Sai dan ahli-ahli MCA peringkat akar umbi terhadap kepimpinan Dr. Ling.

Kononnya banyak janji Dr. Ling tidak dikotakan. Biarpun demikian, iktibar daripada krisis tahun 1983-85 yang berlalu itu tetap diambil kira.

Itulah sebabnya Kim Sai tidak pernah bertanding melawan Dr. Ling walaupun ada ura-ura kononnya dia hendak merebut jawatan presiden pada tahun 1990.

Malangnya, dia tidak bertanding dan langkah itu telah mengakibatkan persaraan Kim Sai daripada politik tidak lama kemudian.

Dalam politik masyarakat Cina, kalau seseorang pemimpin itu tidak jadi bertanding dalam pemilihan parti, maka terhakislah sokongan akar umbi terhadapnya. Oleh kerana saya bekerja dengan Kim Sai pada masa itu, saya juga terjejas.

Saya ini dicap sebagai orang Kim Sai.

Amalan politik Cina tidak macam politik UMNO. Dalam UMNO, Dr. Mahathir Mohamad boleh mengambil kembali pemimpin-pemimpin UMNO yang pernah tidak sehaluan dengan beliau.

Tetapi dalam MCA lain. Sekali sudah kena cap sebagai penentang presiden, maka habislah orang itu.

Sekarang kita nampak wujud perbalahan antara Dr. Ling dan Datuk Lim Ah Lek yang juga Timbalan Presiden MCA, Naib Presiden Datuk Chua Jui Meng dan seorang lagi Naib Presiden, Datuk Chan Kong Choy.

Jangan lupa bahawa ketiga-tiga orang pemimpin ini satu ketika lalu cukup rapat dengan Dr. Ling khususnya Ah Lek.

Ah Lek ini tidak pernah jadi kontroversial dalam apa-apa pergolakan politik. Dia seorang gentleman dan berprinsip. Masyarakat Cina hormat dia atas sifatnya itu.

Dia bukan seorang yang banyak cakap. Dia bukan seorang yang suka berpidato. Tetapi dengan Dr. Ling, sekarang ini Ah Lek sudah sampai ke tahap konfrontasi yang sedemikian rupa. Apa sebenarnya berlaku?

Saya rasa puncanya melibatkan dua dimensi. Yang pertama, kepimpinan sebuah parti seperti MCA perlu berwawasan, proaktif dan apa yang penting ialah kepimpinan itu perlu menyumbang kepada keupayaan parti untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat Cina khususnya golongan remaja dan belia.

Pada masa ini, saya tidak nampak kepimpinan MCA menawarkan harapan itu. MCA memerlukan idea baru, tenaga baru, nafas baru dan apa yang lebih penting ialah budaya politik yang baru.

Golongan muda Cina yang terpelajar kini mengalami anjakan paradigma dari segi kebolehan untuk menyuarakan pandangan mereka.

Ramai yang melihat kepimpinan MCA di bawah Dr. Ling tidak dapat memahami aspirasi ini. Kepimpinan MCA sekarang menganggap kumpulan remaja dan belia Cina sebagai tukang ikut dan mesin mengundi saja.

Pertelagahan peribadi antara pemimpin memang wujud. Bagaimanapun, pada pandangan saya ia hanya faktor sekunder. Faktor terpenting ialah perkara-perkara pokok yang saya nyatakan itu.

Saya rasa ia sudah terlambat. Dulu selepas beberapa isu yang saya bangkitkan, saya ada berjumpa Dr. Ling. Saya tidak sangka selepas saya jumpa dia, dia pula drafkan satu kenyataan dan minta saya turunkan tandatangan saya atas kenyataan itu.

Saudara tahu apa kenyataan tersebut? Ia berbunyi saya Ong Tee Keat menyokong kepimpinannya.

Bila saya bangkitkan sesuatu isu, ia bukan kerana saya hendak jatuhkan atau sokong sesiapa. Saya timbulkan sesuatu isu kerana saya berasa terpanggil untuk berbuat demikian demi kebaikan parti, komuniti saya dan Barisan Nasional. Ia bukan kerana saya hendak merebut jawatan dia.

Saya rasa sudah terlambat untuk saya berjumpa Dr. Ling bagi membincangkan masalah ini.

Masalah saya dengan dia ialah prejudis: Bukan prejudis saya terhadap dia tetapi prejudis dia terhadap saya.

.....................................
Datuk Ong Tee Keat adalah Ketua Pemuda MCA yang baru digantung jawatannya.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com